Wednesday, April 20, 2011

HIV - SUAMI MESTI BERTANGGUNGJAWAB...


KUALA LUMPUR: Nafsu iblis suami yang gemar ‘makan luar’ dengan mengamalkan seks bebas, termasuk meniduri pelacur mengundang tragedi kepada isteri mereka.

Beberapa isteri malang kini hanya menunggu masa ‘dijemput’ ajal selepas dijangkiti virus HIV daripada suami masing-masing.

Mereka yang tidak mengetahui aktiviti ‘gelap’ suami kini menderita dengan pelbagai penyakit berbahaya selain putus harapan untuk meneruskan sisa hidup.

Terbaru, empat isteri yang dijangkiti HIV datang ke pejabat Biro Aduan MCA untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai masa depan anak masing-masing selepas kematian mereka.

Seorang daripada mereka ialah suri rumah, M Jothi, 24, yang menjadi mangsa penganiayaan suami yang aktif melakukan seks bebas tanpa memikirkan nasib isteri dan anak perempuannya berusia setahun setengah.

Dia yang berasal dari Selangor mendakwa hanya mengetahui dijangkiti HIV ketika datang ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kandungannya berusia lapan bulan.

Menurutnya, doktor yang menjalani ujian darahnya mendapati dicemari HIV hasil hubungan kelamin bersama suami.

“Saya kemudian pulang dan cuba mendapatkan penjelasan suami, namun tidak diendahkan. Malah, dia enggan mengaku pembawa virus terbabit hasil aktiviti seks bebasnya.

“Lebih memeranjatkan apabila saya mendapat bukti laporan kesihatan menunjukkan suami sudah menghidapi Aids sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Dia kini dijangkiti penyakit batuk kering kesan daripada virus HIV yang menyerang sistem pertahanan tubuhnya.

Katanya, doktor menjangka dia hanya mampu hidup untuk tempoh beberapa bulan lagi.

Jothi berkata, suaminya yang dikenali sebagai Mohan dan bekerja sebagai jurukimpal dipercayai mendapat jangkitan HIV selepas kerap melakukan hubungan ranjang dengan wanita tidak dikenali, termasuk pelacur.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan menderita, Mohan yang berusia 26 tahun akhirnya menghembus nafas terakhir pada 29 April lalu.

“Saya yang menjadi ibu tunggal berusaha mendapatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Mohan, tetapi terkejut apabila pegawai KWSP mendakwa saya tidak mempunyai hak untuk mengeluarkannya,” katanya.

Katanya, pegawai KWSP itu mendakwa Mohan hanya meletakkan nama abangnya pada borang penamaan waris menyebabkan si isteri hilang hak memiliki wang berkenaan.

Jothi sedih kerana akan meninggalkan anak perempuan kecil yang tidak mengetahui apa-apa.

“Dia bakal menjadi yatim piatu atas dosa bapanya,” katanya.

Anak Jothi yang disahkan doktor selamat daripada menghidap virus HIV akan dipelihara neneknya berusia 50-an selepas suri rumah terbabit meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong, berkata penularan virus HIV semakin serius yang menjadi faktor keruntuhan rumah tangga di Malaysia kini.

Menurutnya, isteri yang dijangkiti HIV seolah-olah menerima hukuman mati tanpa melakukan sebarang kesalahan atau dosa.

“Empat wanita malang yang datang ke biro didapati pasrah dengan apa yang berlaku. Mereka sekadar meminta bantuan supaya anak yang masih hidup diberikan perhatian sewajarnya supaya tidak hidup melarat.

“Apa yang menyedihkan, mereka disisih anggota keluarga kerana bimbang dijangkiti,” katanya yang meminta suami berfikir panjang sebelum melakukan perkara boleh meragut nyawa isteri dan anak.


Sumber: sini