Monday, April 25, 2011

HIV- KESAN SAMPINGAN RAWATAN HAART



Jumaat lepas (22 April 2011) aku mula menjalani rawatan HAART. Bila mula, bermakna ianya kekal seumur hidup. Kombinasinya sahaja yang mungkin berubah mengikut keadaan atas nasihat doctor. Untuk memahami terapi HAART, klik sini  

Baru hari keempat menempuhnya, dah ramai kawan-kawan yang bertanyakan pengalaman aku. Maklumlah kebanyakannya seperti aku, kurang pengalaman kerana baru sahaja didiagnos. Yang berpengalaman pula bertanya untuk memberikan sokongan. 

Sebenarnya aku sedang tercari-cari dan ‘menganalisis’ mengenai kesan sampingan rawatan HAART melalui pengalaman sendiri. Jadi perkongsian pengalaman ini hanya dalam tempoh 4 hari ini sahajalah. Besok lusa aku tak tahu. Jika ada perubahan, maklumat seterusnya akan dikongsikan dalam entries yang lain.

Tapi sebelum tu nak kongsi, sebenarnya aku sedih juga dengan result ujian CD4 yang hanya menunjukkan 46 sel. Maklumlah aku rasa ‘sihat,’ cuma bacaan CD4 yang rendah menunjukkan system imunisasiku bermasalah. Bermakna aku perlu memulakan terapi HAART.

Aku positifkan fikiran. Sekurang-kurangnya result tersebut adalah didikan Allah supaya aku lebih bersungguh-sungguh memperbaiki diri, menjaga kesihatan dan berusaha mendapatkan rawatan awal. Daripada risaukan tentang kesan sampingan HAART, lebih baik aku risau sekiranya virus resistant terhadap HAART jika lewat bertindak. Umurku bukannya muda atau badan masih kuat seperti orang lain.

Bila virus resistant dan terlantar sakit akibat penyakit opportunistic, akhirnya orang akan hantar ke hospital juga. Akan diberi rawatan yang sama bahkan mungkin lebih berat. Jadi lebih elok aku berikhtiar awal daripada terlewat. 

Suka atau tidak, aku dah terhimpit ke dinding. No where to run and no where to hide. Tiada pilihan kecuali melawan virus dengan cara yang aku yakin dan selagi berpeluang. Aku tahu aku tidak keseorangan dan soal takdir terserah kepada Allah.




Kombinasi yang diberikan kepadaku kali ini ialah 2 NRTI + 1 NNRTI iaitu kombinasi Combivir (Lamivudine & Zidovudine) dan Nevirapine.

Combivir ni mesti diambil 1 biji setiap 12 jam = 2 kali sehari.
Nevirapine pula mesti diambil 1 biji setiap 24 jam = 1 kali sehari. (2 minggu pertama)
Selepas 2 minggu, Nevirapine mesti diambil sama seperti Combivir tadi.

Sekali pandang, gerun aku melihatnya. Banyaknya dadah yang mesti ditelan. Itu tidak termasuk Metformin dan Simvastin untuk kawalan diabetes dan cholesterol serta bermacam-macam supplement food.   

Secara umum, antara kesan sampingan sementara yang mungkin berlaku apabila mengambil HAART ialah muntah, kepeningan, sakit kepala, loya-loya, cirit birit, pancreatitis, pucat (disahkan dengan ujian darah) kerengsaan badan atau otot (myopathy), perubahan warna kuku, ruam yang teruk (Steven Johnson Syndrome), kebas atau sakit kaki,gangguan fungsi hati dan lain-lain. klik sini
   
Nevirapine

Melalui pembacaan dan perkongsian pengalaman rakan-rakan pembawa HIV yang lain, ramai yang mengatakan kesan sampingan awal agak teruk. (walau bagaimanapun ianya banyak bergantung kepada ketahanan badan seseorang). Sangat sedikit yang mengatakan hampir tiada kesan sampingan tetapi kesemuanya bersetuju ianya berakhir dengan hasil yang positif.

Bila begitu, aku pun menggelabah juga. Siapa yang nak sakitkan diri sendiri?

Alhamdulillah berkat sokongan keluarga, Dr. Iskandar, As, Adi, puan Annafira, Rizal, Iman dan ramai lagi insan-insan mulia pengunjung blog, aku kuatkan hati. Macam-macam yang mereka pesan, “Mesti kuat jiwa dan minda, mesti banyak minum air kosong untuk buang toxic, be strong and stay strong to support each other, u can do it, u can win if u want…” Jazakallah khier…

Jadi bagaimana?

Setakat ni Alhamdulillah hampir tak ada kesan sampingan langsung. Mengantuk sikit-sikit tu biasalah (positif-dapat tidur lena sebab aku dah lama tak dapat cukup rehat). Jarang-jarang sangat ada terasa sedikit loya- Semua tu (mengantuk dan loya) aku boleh hilangkan dengan hanya melakukan senaman ringan.

Kadang-kadang ada juga rasa gatal-gatal di kawasan punggung tapi janganlah layan sangat. Pastikan kuku pendek. Selebihnya adalah normal.

Aku mampu menjalani rutin seperti biasa, melayan karenah anak-anak, berblog, ‘jogging’ (berjalan pantas sebenarnya) atau sekurang-kurangnya kayuh basikal static buruk kat rumah ni. Selera makan aku kekal tinggi hingga aku pening mengawal diet. Berat badan bertambah 2.5 kg dalam masa 2,3 bulan ni.

Cuma aku akui bercuti dalam sehari dua ni. Bukan apa, kerja aku memerlukan aku kelihatan sentiasa cergas, ceria (hati menangis siapalah yang tahu) dan bergerak aktif berurusan dengan clients. Bila orang nampak kita ‘sihat’, mulalah suruh dan ajak macam-macam. Ikut salah, tolak pun salah. Malas nak dijadikan isu, lebih baik aku betul-betul rehatkan fizikal & minda.

Aku yakin kesan sampingan HAART tak mampu menandingi keberkatan doa dan sokongan yang diberikan kepadaku. Ini inayah Allah dan berkat doa semua pihak.  Syukur Alhamdulillah…

Kepada kawan-kawan pembawa HIV yang bakal mengambil HAART, usahlah bimbang. Kita tak boleh manja-manja sangat. Pembawa HIV adalah  orang yang hebat dan kuat. Stigma, judgmental dan discrimination semua kita mampu tempuh, apa sangatlah setakat alahan ambil  HAART? Hehe..