Sunday, April 17, 2011

MENCARI KETENANGAN HATI MENGIKUT ISLAM



Di dalam kitab At-Tibyan Fi Adabi Hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada 5

1.      Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya
2.      Mengosongkan perut
3.      Bangun bersolat malam
4.      Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur
5.      Duduk di majlis orang-orang soleh.

Pertama : Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah bagi saya ramai di kalangan umat Islam yang melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kedua : Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.

Saya pernah melihat kawan-kawan ketika kenduri begitu tamak mengambil makanan sampai penuh pinggan, kemudian akhirnya tidak dapat menghabiskan makanannya. Pertamanya ia tamak, keduanya dia membazir. Kedua-duanya perangai syaitan.


Ketiga : Ramai orang boleh bangun malam. Bangun sebab mahu kencing, atau kerana anak menangis, atau kerana mau tonton Euro, atau kerana waktu penerbangan, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau 2 rakaat, memang sangat berat.

Keempat : Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.

Kelima : Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan jiwa. Ia jauh lebih mulia berbanding berada di disko, kedai kopi atau di padang bola.

Anda mahu menjadikan hati tenang daripada resah gelisah? 5 perkara ini adalah penawarnya.


Firman Allah yang bermaksud:
“…Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”


Sumber: sini