Tuesday, April 19, 2011

PANDANGAN SERONG LEBIH MEMBUNUH PESAKIT HIV & AIDS



TATKALA isu HIV dan Aids diutarakan, pasti ada di antara kita yang langsung tidak peduli mengenai penyakit itu malah tidak kurang pula yang mencemuh kerana menganggap ia penyakit ‘orang jahat’.

Biarpun berulang kali kempen kesedaran dijalankan Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), masyarakat negara ini seakan buta dan tuli kerana masih tebal dengan perasaan skeptikal ekoran bimbang turut sama dijangkiti penyakit itu.

Perasaan dan pandangan skeptikal itulah secara perlahan-lahan cuba dirobohkan oleh Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman meskipun sedar laluannya penuh berliku.

Sejak beliau mewakili MAF selaku Pengerusi dan ahli Exco MAC, pelbagai cara sudah dicuba untuk mendidik masyarakat negara ini yang masih belum terbuka untuk menerima penghidap HIV dan Aids hidup di kalangan komuniti

“Secara umumnya, masyarakat kita masih belum terbuka dengan idea hidup bersama penghidap HIV dan Aids kerana perasaan syak wasangka dan prejudis masih tebal dalam diri mereka.

“Halangan-halangan seperti inilah yang paling sukar sepanjang karier saya kerana majoriti masih enggan menerima penghidap HIV dan Aids sebagai sebahagian daripada masyarakat kita,” ujarnya.

Tambah wanita ini, pengalamannya menangani penghidap HIV dan Aids sejak hampir 20 tahun lalu, selain berdepan teman rapat yang disahkan menghidapnya, membuatkan beliau terus aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan HIV dan Aids di seluruh dunia.

“HIV dan Aids ini bukan semata-mata boleh dirawat oleh sains dan perubatan tetapi terbukti banyak cara untuk mengelakkan jangkitan itu daripada berlaku.

“Namun, masyarakat kita enggan melihat bukti-bukti itu dan hanya sedar apabila makin ramai yang dijangkiti sehingga ia mencecah ribuan pesakit.

“Penghidap HIV dan Aids ini juga manusia yang berhak diberi peluang meneruskan kehidupan seperti biasa, jadi mereka amat memerlukan bantuan sokongan berterusan daripada orang di sekelilingnya.

“Jangan wujudkan unsur diskriminasi terhadap mereka tetapi bantulah mereka ini daripada segi sokongan dan keperluan lain supaya jangka hayat penghidap HIV dan Aids ini dapat dipanjangkan.

“Apa yang lebih membunuh mereka bukanlah penyakit itu tetapi pandangan serong, diskriminasi dan tindakan memulaukan pesakit daripada menjalani kehidupan mereka sebagai manusia.

“Ketepikan dulu penilaian moral kita terhadap mereka. Apa yang penting, buka minda serta bantu mereka dan dengan pengetahuan daripada kempen-kempen yang giat dijalankan kerana kita sebenarnya berupaya mengelakkan HIV dan Aids daripada merebak di kalangan masyarakat di negara ini.

“Apabila kita sudah mula dapat menerima penyakit ini sebagai sebahagian daripada kehidupan kita, ia akan menjadi lebih mudah untuk merawat lalu mengelakkannya,” tegas Adeeba.

Meskipun tampak mudah, jawatan dan fungsinya dalam dua badan pertubuhan Aids itu tidak semata-mata menggerakkan kempen tetapi turut terbabit dalam kajian berterusan mengenai penyakit berjangkit seperti Aids, tibi, denggi dan sebagainya.

“Saya mula menangani penghidap HIV dan Aids pada 1991 ketika menjalani latihan dalam penyakit berjangkit di Universiti Monash, Australia.

“Saya seterusnya ditugaskan di unit HIV dan Aids selama dua tahun, 1993 hingga 1994, dan kembali ke Malaysia selepas memperoleh Fellowship di Royal Australasian College of Physicians pada 1995,” katanya.

Ketika mula bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), skop pekerjaannya lebih kepada pencegahan wabak seperti denggi, tibi dan virus-virus baru.

“Paling getir ketika kami perlu mengkaji dan mencari rawatan sesuai untuk virus Nipah yang melanda negara pada 1999. Tambahan ketika itu saya mengandung anak kedua, jadi situasi amat genting dan menakutkan hingga suami menggesa saya beralih ke unit lain.

“Jadi apabila ada yang bertanyakan sama ada saya berisiko dijangkiti Aids, saya rasa virus lain lebih bahaya kerana boleh disebar melalui udara sedangkan Aids tidak akan merebak dengan cara begitu.


“Malah, merawat Aids sebenarnya lebih mudah daripada merawat penyakit kencing manis. Penghidap Aids cuma perlu hadir mendapatkan rawatan setiap sebulan sekali dan hanya ikut urutan ubat yang perlu diambil,” tambahnya.

Selain melakukan tugasan rutin di PPUM dan kerap ke luar negara menghadiri bengkel serta seminar berkaitan Aids, wanita kelahiran Kota Bharu ini turut bertindak sebagai pensyarah dan penyelidik di Pusat Kecemerlangan Kajian Aids (Ceria) di Universiti Malaya serta beberapa pusat kajian klinikal antaranya di Kuantan dan Penjara Kajang.

Melihat kepada jadualnya yang padat, tentunya bekas penuntut Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, ini tidak mempunyai masa untuk bersantai apatah lagi bersama keluarga.

“Walaupun sibuk, saya akan cuba pulang ke rumah sebelum jam 10 malam kerana waktu malam adalah masa bersama keluarga. Saya juga akan pastikan tidur pada jam 10 malam kerana esoknya saya akan bangun antara jam 4 ke 5 pagi.

“Apabila benar-benar lapang, saya membawa anak-anak keluar menonton wayang atau membeli-belah. Disebabkan suami juga sering bertugas di luar negara, sesekali kami akan turut serta menemaninya.

“Tetapi sejak kebelakangan ini kami mula kurang menghabiskan masa di luar. Lebih senang di rumah, sama ada menonton televisyen atau bermain permainan video.

“Saya kini ‘gila’ bermain Scrabble di iPad dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menghadapnya bersama anak-anak,” ujarnya yang turut meminati novel nukilan dua penulis popular, Ian McEwan dari Britain dan Tim Winton dari Australia.


PROFIL

TARIKH LAHIR: 16 Disember 1963

ASAL: Kota Bharu, Kelantan

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Zainab, Kota Bahru Kolej Tunku Kurshiah, Seremban Universiti Monash, Australia

STATUS: Berkahwin, dua anak lelaki

JAWATAN:
1.`        Presiden Majlis Aids Malaysia
2.         Pengerusi Yayasan Aids Malaysia

ANTARA PENGALAMAN:
1.         Speaker untuk seminar Persidangan Aids Antarabangsa di Mexico (2010)
2.         Speaker dan ahli jawatankuasa bagi Second Independent Evaluation UNAIDS di Geneva (2010)
3.         Speaker bagi Briefing on the HIV/AIDS Situation in Asia di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York (2007)
4.         Salah seorang ahli kumpulan penyelidik perubatan bagi menangani virus Nipah (1999)


Sumber: myMetro