Saturday, April 09, 2011

DADAH & HIV BOLEH DICEGAH. SAYANG BIAR BERPADA!


SAYANG BAWA REBAH

KUALA LUMPUR: Kerana sayangkan suami, seorang isteri sanggup memusnahkan masa depannya apabila rela berkongsi hobi menghisap syabu semata-mata tidak mahu lelaki berkenaan berkongsi gian bersama penagih lain di luar.

Pengorbanan ‘membabi buta’ itu akhirnya memakan diri apabila dia turut bergelar penagih syabu selepas ketagih dan berasa seronok menikmati benda haram itu.

Lebih memilukan, gara-gara mahu suami sentiasa ada di rumah, empat anak mereka ibarat ‘penonton setia’ setiap kali mereka berkongsi menjamah ‘hidangan’ haram itu.

Begitulah yang dilalui Mia, 30, yang bukan saja ketagih dadah tetapi pandai menjual dadah dan mencuri demi memastikan bekalan syabu yang dinikmati bersama suaminya tidak putus.

“Mulanya dulu saya memang tidak tahu apa-apa mengenai dadah, tetapi segala-galanya bermula selepas suami memperkenalkannya kepada saya.

“Disebabkan sayang kepadanya (suami) dan tidak mahu perkahwinan kami hancur, saya nekad mengikut hobinya menghisap syabu sehingga tahu jenis dan lubuk untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui wartawan Metro Ahad, baru-baru ini.

Menurut Mia, ketika mula mengetahui suaminya penagih syabu, dia sering bertengkar hinggakan ada masanya sepak terajang singgah ke badannya.

Disebabkan tidak mahu perkahwinannya hancur, terutama empat anak hasil perkongsian hidup mereka, dia meminta suami memperkenalkannya dengan syabu.

Keputusan itu diambil selepas tidak mahu suaminya pergi ‘melayan’ nafsu gian di luar selain ingin memantau pergerakannya.

“Saya khuatir jika dia (suami) keluar dan buat lebih daripada menghisap syabu seperti berkongsi jarum suntikan... sebab itu saya minta dia perkenalkan barang berkenaan kepada saya supaya sama-sama boleh melayannya di rumah.

“Waktu dia bawa benda itu balik, dia beritahu saya dadah berkenaan dipanggil syabu dan tidak memberi kesan pada masa panjang kerana tidak menyebabkan gian berpanjangan,” katanya.

Walaupun Mia mengakui takut pada mulanya, dia kemudian nekad mencuba selepas melihat demonstrasi dilakukan suaminya yang melayan ‘barang’ terbabit tanpa perlu menggunakan jarum suntikan.

“Takut memang ada, tetapi selepas didesak dan memikirkan tidak mahu dia kecewa dan pergi kepada rakan gian yang lain, akhirnya saya cuba juga,” katanya.

Ketika pertama kali ‘menikmati’ syabu, dia mengakui terasa dirinya di awang-awangan sehingga memikirkan perkara pelik dan kadangkala tidak ingat mengenai sebarang perkara yang berlaku sebelum tersedar daripada tidur.

“Selepas dua tiga kali kena penangan syabu, saya rasa seperti boleh mengawalnya dan lebih membuatkan saya mengidam apabila ia menjadi makanan tenaga kepada saya.

“Bayangkan, selepas melayannya tubuh rasa sungguh bertenaga dan nafsu seks juga menjadi kuat,” katanya.

Malah, disebabkan seronok mengambilnya, Mia mengakui pernah melayan syabu secara terbuka di depan anak berikutan tidak mampu menahan rasa ketagihan.

“Waktu rasa ketagih itu datang, memang saya tidak risau kerana ia tidak menyebabkan tubuh menggigil atau mengganggu emosi.

“Cuma yang ada perasaan seronok ingin mengambilnya dan tenaga juga terasa bertambah selain tidak penat,” katanya.

Disebabkan itu juga lama-kelamaan dia terjebak dengan beberapa kegiatan jahat yang dilakukan suaminya seperti mencuri kerana sumber kewangan tidak cukup bagi membeli ‘barang’ berikutan suaminya yang tidak bekerja.

“Pernah satu ketika kerana asyik melayan syabu, anak kami tidak makan kerana duit habis membeli dadah. Jadi, hendak dijadikan cerita, saya ikut suami mencuri barang, termasuk besi, bagi dijadikan modal untuk membeli barangan keperluan rumah dan membeli dadah,” katanya.

Bagaimanapun, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah’. Akhirnya Mia dan suaminya ditahan polis di rumahnya selepas disyaki menjual barangan curi.

Suaminya ditahan kerana mengaku melakukan beberapa kecurian dan dia pula ditahan selepas ujian air kencing mendapati dirinya positif dadah jenis syabu.

Selepas dijatuhkan hukuman denda dan dibebaskan, sementara suaminya masih dalam peringkat bicara atas kesalahan membabitkan beberapa kes curi, Mia mengakui sudah bertaubat dan menyesali perbuatannya.

Lebih membuatkan dia menyesal apabila mengenangkan nasib anaknya jika dia turut dipenjara.

Walaupun kini menjalani proses pemulihan, ada kala perasaan gian untuk ‘melayan’ dadah itu tetap datang.

“Mujur saya hanya mengikut suami pergi mencuri dan ditahan. Jika tidak, mungkin lebih banyak dan lebih besar kegiatan jenayah yang saya dan suami lakukan.

“Ini semua kerana dadah yang kami ambil dan selepas apa yang saya lalui ini, pesan saya kepada orang lain, jangan sesekali mencubanya walaupun sedikit,” katanya.

Sebabnya, kata Mia, jika sekali mencuba, jiwa sentiasa bergolak untuk merasainya lagi.


Sumber: mymetro