Friday, April 08, 2011

70% PENAGIH GUNA DADAH SINTETIK

BANGI: Kecenderungan penagih memilih dadah jenis baru (sintetik) seperti syabu dan ecstasy di Malaysia dijangka meningkat berdasarkan trend bulanan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan statistik perangkaan kadar penagih dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meningkat secara mendadak.

Menurutnya, sebanyak 70 peratus penagih menggunakan dadah sintetik manakala selebihnya penagih tegar dadah tradisional seperti heroin.

“Kebanyakan golongan ini memilih dadah sintetik kerana ia dikatakan tidak memberi kesan penggantungan seperti heroin, sedangkan penggunaannya secara berterusan turut mendatangkan kesan sama,” katanya dalam sidang media Majlis Penutup Bengkel Kenali Anak Kita (KAK) Zon Tengah, di sini, semalam.

Mengejutkan apabila beliau mengumumkan sebanyak 20 peratus daripada pengguna dadah sintetik itu adalah pelajar berusia 14 hingga 16 tahun, berbanding heroin yang membabitkan remaja lepasan sekolah menengah Menurutnya, anak muda itu berjaya dikenalpasti menerusi siri ceramah dan datang ke Pengasih secara sukarela.

Katanya, selain beranggapan dadah sintetik lebih mudah digunakan, golongan terbabit mempunyai akses bekalan yang mudah termasuk di pusat hiburan dan farmasi.

Menurutnya, menerusi bengkel KAK, ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dapat pendedahan meluas mengenai dadah, sekali gus menggalakkan mereka melakukan pencegahan awal.

Bengkel anjuran Pengasih dengan kerjasama Petronas, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Kementerian Pelajaran Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PIBG itu berlangsung selama tiga hari membabitkan 51 peserta.


Sumber: mymetro