Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) hari ini telah melakukan kunjungan hormat ke PTF yang terletak di Jalan Ipoh Kecil, Off Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. DPPP diwakili oleh Ust.Nasruddin Hassan At Tantawi selaku Ketua PEMUDA (KP) DPPP. Turut bersama beliau ialah Timb. Ketua DPPP, Ust.Azman Shapawi, Ust.Abd.Hadi selaku Pegawai Khas KP DPPP dan Fadhil Osman sebagai Pegawai Media.
Kunjungan kami disambut oleh En.Raymond Tai, Pemangku Pengarah Esekutif. Bertujuan untuk mendekatkan DPPP dengan masyarakat, langkah melakukan lawatan ke PTF dilihat amat bertepatan.
PTF yang ditubuhkan sejak 22 tahun dahulu berfungsi sebagai satu yayasan yang memberikan pengetahuan tentang AIDS dan HIV serta tempat perlindungan bagi pesakit HIV, Mak Nyah, Penagih Dadah. Malah PTF menyediakan beberapa program yang berbentuk motivasi kepada pesakitnya. “Yayasan ini juga mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah HIV dan AIDS.
Yayasan ini bermatlamatkan supaya pesakit-pesakit HIV dan AIDS ini tidak disisihkan dan dibuang daripada komoniti masyarakat” kata En. Raymond. PTF telah menyediakan beberapa program untuk komuniti-komuniti yang mempunyai peratusan yang besar untuk menghidap penyakit ini. Yayasan ini juga memberikan ‘ guide and support ‘ kepada pesakit-pesakit HIV ini supaya mereka lebih berkeyakinan untuk hidup.
PTF merupakan satu yayasan khidmat masyarakat yang cuba membimbing dan memberi dorongan kepada pesakit-pesakit HIV dan individu-individu yang terdiri daripada Pekerja Seks, Mak Nyah, Gay yang dianggap seperti ‘sampah masyarakat’ untuk terus hidup dalam keadaan yang lebih baik dan berkualiti. PTF juga membimbing agar dapat mengawal virus HIV dari terus merebak dan tersebar dengan tanpa kawalan.
Kebajikan juga dititikberatkan kepada individu-individu ini yang mana mereka ini telah dipinggirkan oleh masyarakat lain hatta keluarga sendiri dan memberi keyakinan kepada individu-individu ini untuk mereka terus hidup seperti orang lain. Kepada yang beragama Islam, setiap hari sabtu diadakan kelas Fardhu Ain hasil kerjasama dengan JAKIM. Ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan golongan-golongan ini.
Menurut Pengarah Program Transeksual, Sulastree Ariffin, antara masalah yang dihadapi oleh PTF selain ialah kekurangan penempatan yang disediakan untuk menampung komuniti-komuniti ini terutamanya mereka yang terjebak dengan pengambilan dadah amat membimbangkan sedangkan peningkatan pesakit HIV semakin bertambah.
Berdasarkan statistik terkini daripada Majlis Aids Malaysia, suri rumah adalah antara penghidap tertinggi HIV dengan jumlah 2,865 dan 568 pesakit Aids sehingga Jun 2009. Malah amat mengejutkan apabila jumlah suri rumah yang dijangkiti kedua-dua virus itu jauh lebih tinggi berbanding pekerja seks yang hanya mencecah 551 kes penghidap HIV dan 79 kes Aids
Masyarakat sebegini juga tidak diberikan’ruang dan peluang’ untuk mereka memperbaiki taraf hidup mereka.
Minda masyarakat yang sememangnya prejudis dan negatif kepada individu-individu yang sebegini. Ditambah tekanan daripada pihak keluarga yang tidak boleh menerima mereka terutama daripada kalangan mak nyah menyebabkan semakin bertambahnya ahli di dalam komuniti ini.
Begitu juga peranan akhbar di Malaysia ini yang sentiasa mensensasikan berita tentang golongan Mak Nyah dan Pekerja Seks sehingga mereka terlupa untuk mengambil tahu sebab mereka menjadi begitu
Hasil perbincangan, KP DPPP merasakan wujudnya satu ‘dinding pemisah’ di antara golongan ini dan masyarakat. Umumnya para ilmuan hanya pandai memberikan hukum kepada sesuatu perkara akan tetapi tidak memberikan jalan penyelesaian terhadap perkara itu. Sedangkan setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaian. “Allah swt tidak menurunkan sesuatu masalah kecuali mesti disertakan dengan jalan penyelesaian” ujar KP DPPP.
Pemahaman agama amat penting bagi mereka yang belum terjebak dengan gejala seperti ini akan tetapi bagi mereka yang tidak bernasib baik, mereka harus dipimpin ke jalan yang benar.Bimbing mereka kembali mengenali tuhan bukan menyisihkan mereka lalu membuatkan mereka terus hanyut dibawa arus gelora yang amat ganas di kota metropolitan ini.
KP DPPP berjanji akan berusaha membawa permasalahan mereka ini ke peringkat yang lebih tinggi dan akan dibincangkan secepat mungkin baik di peringkat Parlimen amnya dan PAS serta Pakatan Rakyat khususnya. KP DPPP juga berjanji ini bukanlah lawatan yang terakhir pertama dan terakhir, tetapi merupakan titik tolak permulaan kepada perubahan terhadap yayasan ini. DPPP juga menawarkan sekiranya memerlukan khidmat sukarelawan yang terdiri daripada pemuda, DPPP sanggup menghulurkan bantuan.
Wallahualam
Sumber: sini