Mac 8, 2007
ADA orang menyebut cinta itu buta. Orang bercinta selalunya sanggup berbuat apa sahaja untuk membuktikan betapa dalamnya cinta mereka.
Kerap kali pula tindakan mereka tidak dapat difahami orang lain. Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pengorbanan seorang gadis yang bercinta dengan lelaki yang disahkan pembawa kuman HIV seperti didedahkan dalam Harian Metro baru-baru ini.
Kerap kali pula tindakan mereka tidak dapat difahami orang lain. Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pengorbanan seorang gadis yang bercinta dengan lelaki yang disahkan pembawa kuman HIV seperti didedahkan dalam Harian Metro baru-baru ini.
Persoalan yang ingin kita lihat apakah pendapat Islam dalam perkara ini? Wajarkah seseorang yang sudah disahkan HIV positif berkahwin dengan penghidap penyakit yang sama? Wajarkah orang yang sihat berkahwin dengan pasangan disahkan HIV positif? Sekiranya mereka berkahwin, bagaimana kehidupan mereka selepas berkahwin? Apa akan berlaku kepada anak yang bakal lahir?
Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya pernah berpesan: “Perempuan itu dikahwini kerana empat: Kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya. Pilihlah yang beragama nescaya selamatlah kamu.”
Bagaimanapun, lelaki dalam mencari pasangan biasanya akan melihat rupa paras dan sesekali faktor lain.
Islam menyarankan agar memilih bakal isteri yang baik, berpegang teguh kepada ajaran agama, menjaga maruah diri dan baik akhlaknya. Maka dengan izin Allah S.W.T, akan selamatlah rumah tangga yang dibina.
Jika lelaki disarankan membuat pilihan seperti itu, apakah pula kedudukan bagi seorang wanita? Sudah tentu lebih wajar untuk menilai dan mengkaji siapakah calon suaminya, kerana seorang isteri akan lebih tertakluk kepada suaminya.
Imam Hassan pernah ditanya seorang bapa: “Dengan siapakah perlu aku kahwinkan anak perempuanku? Beliau menjawab; ‘Kahwinkanlah dengan lelaki yang beragama dan bertakwa. Jika dia sayang pada anakmu, dia akan melayannya dengan baik. Jika tidak sayang, dia tidak akan melayannya dengan buruk.’
Justeru, apabila Islam menyarankan supaya menilai bakal pasangan sebelum berkahwin, ia menunjukkan perkahwinan dalam Islam sesuatu yang dirancang. Ia bukan berdasarkan nasib semata-mata dan membuat keputusan mengikut nafsu dan emosi. Perkahwinan dalam Islam bukan satu perjudian, ia tidak mengikut nasib semata-mata tetapi dirancang dan disusuli usaha dan doa kepada Allah.
Menurut UNICEF, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai bilangan pesakit HIV yang ramai dan bertambah setiap tahun. Bilangan kes jangkitan HIV yang dikesan daripada tahun 1986 sehingga Jun 2006 adalah 73,427.
Daripada jumlah itu, 8,334 meninggal kerana AIDS dan secara purata 17 orang meninggal setiap hari kerana penyakit ini. (lihat http://www.unicef.org/malaysia/hiv_aids_4166.html) Ia menjadi satu isu besar membabitkan semua agama dan bangsa. Apabila jumlah terbabit ramai dan hidup bersama dalam masyarakat, bukan suatu yang pelik sekiranya seorang wanita bertemu dan bercinta dengan seorang lelaki pembawa HIV positif atau sebaliknya.
Secara dasarnya, pembawa HIV juga sama dengan manusia lain. Mereka berhak hidup dan merasai kenikmatan dan kebahagiaan sepanjang hayat. Mereka juga mempunyai naluri untuk mempunyai keluarga dan disayangi.
Pada masa sama, masyarakat harus faham bahawa penyakit itu boleh merebak melalui pelbagai cara seperti melalui hubungan kelamin bersama pembawa HIV, pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah dan daripada cara yang tidak disangka seperti pemindahan darah bagi pesakit di hospital (walaupun ini kes terpencil).
Pada masa sama, masyarakat harus faham bahawa penyakit itu boleh merebak melalui pelbagai cara seperti melalui hubungan kelamin bersama pembawa HIV, pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah dan daripada cara yang tidak disangka seperti pemindahan darah bagi pesakit di hospital (walaupun ini kes terpencil).
Wajarkah seorang yang sihat memilih dan dibenarkan berkahwin dengan seorang yang diketahui HIV positif? Isu itu sebenarnya membabitkan banyak aspek.
Ia aspek kemanusiaan, keagamaan dan undang-undang. Dari segi kemanusiaan, untuk melarangnya adalah suatu yang rumit kerana hubungan itu membabitkan perasaan dan hati.
Selalunya, seseorang boleh berfikir secara tenang dan menilai baik buruk jika bersangkutan dengan perkara lain tetapi tidak dalam hal hati dan perasaan. Seorang yang bercinta sama ada dengan pasangan HIV positif atau sesiapa sekalipun banyak dikuasai emosi dan perasaan.
Apabila mendapat larangan, ada yang patuh dan ada yang berusaha untuk melawan bagi membuktikan keputusannya adalah wajar atas dasar cinta.
Dari segi pandangan agama, terdapat beberapa perkara yang harus diperhatikan. Perkahwinan dalam Islam suatu yang mulia. Ia tidak bergantung semata-mata kepada nasib tetapi perancangan, usaha dan doa.
Seorang perempuan yang membuat keputusan hari ini untuk menerima dan berkahwin dengan seseorang lelaki akan memberi kesan kepada seluruh kehidupannya.
Anak yang lahir akan turut menerima kesannya. Mereka perlu membuat pemilihan yang bijaksana secara waras dan tenang.
Dalam membuat keputusan, Islam menggariskan tatacara agar mendapat keputusan terbaik. Firman Allah bermaksud “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan…” (al-Baqarah: 195). Sekiranya diketahui bahaya akan menjelma, jangan sama sekali terjun ke dalamnya. Ia akan merosakkan diri.
Kaedah fiqah turut menegaskan, “Menolak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat.” Ini bermaksud, sekiranya sesuatu perkara yang mempunyai kebaikan dan juga kemudaratan, maka kemudaratan itu hendaklah ditolak.
Mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan diketahui HIV positif, akan mengundang banyak masalah dan mudarat. Oleh itu, menolak mudarat yang bakal berlaku adalah lebih utama daripada mengambil manfaat perkahwinan itu sendiri.
Adalah dicadangkan pihak mufti bersidang dengan segera untuk mengeluarkan fatwa berkenaan isu itu dan diwartakan untuk perhatian dan ikutan semua umat Islam di Malaysia.
Dari segi undang-undang, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri hanya meletakkan syarat umum pasangan berkahwin seperti umur pengantin, pemastautin dan pertunangan. Tidak ada peruntukan khusus mengenai syarat pengantin sama ada seorang yang sakit, muflis dan penghidap penyakit berisiko.
Beberapa negeri yang mensyaratkan bakal pengantin melalui pemeriksaan darah dan menjalani sesi kaunseling sebelum berkahwin adalah wajar dan sangat baik demi kesejahteraan pasangan.
Dalam kitab, pasangan yang mempunyai keaiban seperti alat kelamin tidak berfungsi dan sebagainya, semua mazhab sependapat jika seorang perempuan membuat keputusan bersetuju berkahwin dengan lelaki yang diketahui mempunyai keaiban, haknya untuk fasakh dianggap terbatal selepas perkahwinan.
Begitu juga jika keaiban berlaku selepas perkahwinan tetapi isteri menyatakan keredaannya terhadap kecacatan itu, justeru, ketika itu haknya menuntut fasakh menggunakan alasan keaiban juga dianggap terbatal.
Persoalan yang berbangkit daripada kes sebegini adalah bagaimana jika isteri yang bersetuju berkahwin dengan seorang yang berpenyakit, tetapi selepas itu tidak mampu menghadapi tekanan yang diakibatkan daripada perkahwinan itu.
Apakah wajar dia kemudian memohon untuk bercerai kerana suaminya menghidap AIDS? Alangkah peritnya kehidupan yang akan dihadapinya nanti.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Sumber: sini