Pekerja social adalah antara golongan yang sering dilupakan peranannya oleh kebanyakan anggota masyarakat. Sebagai tanda sokongan, aku akan kongsikan serba sedikit maklumat mengenai mereka secara beransur-ansur untuk renungan bersama. Mereka adalah antara golongan yang sangat banyak berjasa.
KEMENTERIAN UTAMA KESELAMATAN, PERLINDUNGAN RAKYAT
SECARA purata, Malaysia mempunyai lebih 2,000 pekerja sosial dengan hanya 10 peratus atau 200 orang diiktiraf sebagai berkemahiran, berpengetahuan, berkualiti dan profesional dalam menangani pelbagai gejala sosial sedangkan bidang itu sudah lama wujud.
Dengan hampir saban hari ada saja terpampang laporan mengenai pelbagai isu sosial serta jenayah seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pengabaian warga emas, kemelaratan pengemis dan sebagainya di media arus perdana, maka peranan serta tanggungjawab pekerja sosial dianggap sangat relevan pada masa kini.
Malah, semua gejala sosial yang semakin meningkat itu memerlukan kaedah lebih holistik untuk ditangani terutama dengan cabaran era globalisasi, jaringan keselamatan tradisional, keluarga dan komuniti yang kian terhakis menjadikan ia bertambah menjadikan permasalahan sosial bertambah kompleks dan perkhidmatan pekerja sosial bukan lagi dianggap tugas mudah.
Khidmat dan peranan pekerja sosial tidak boleh dipandang sepi kerana komuniti kita seharusnya ada individu yang mampu bijak berkomunikasi, memahami, menyelami pemasalahan membabitkan isu kebajikan dan kemasyarakatan supaya ia dapat ditangani dengan berkesan.
Oleh itu, sudah tiba masanya
Berdasarkan laporan, tujuh pusat pengajian tinggi tempatan (IPTA) dan Institut Sosial Malaysia ada menawarkan kursus di peringkat ijazah, sijil serta diploma dalam bidang pengkhususan itu.
Bagaimanapun, jumlah pekerja sosial yang cemerlang dan profesional masih rendah. Oleh itu, individu sedia ada perlu diberi latihan lanjutan di pusat pengajian serta institusi yang diberi akreditasi bagi meningkatkan kecekapan mengendalikan isu berkaitan.
Apa yang penting, pekerja sosial memerlukan kriteria tertentu sebagai syarat utama dalam memahami Modul Kerja Sosial mencakupi mempunyai ilmu asas membantu manusia dalam masyarakat, mampu menangani permasalahan isu sosial, mengetahui perubahan yang wujud dalam sistem sosial, mahir meneroka serta mengenal pasti isu masyarakat sekali gus membuat keputusan apa yang perlu dilakukan seterusnya.
Dengan adanya kriteria berkenaan, ia mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti dan profesional kepada golongan sasaran. Sudah tiba masanya, negara mengemaskini kurikulum yang lebih komprehensif bagi menepati tuntutan masa kini serta setanding piawaian peringkat antarabangsa.
Keputusan Kabinet mewujudkan Piawaian Kompetensi Kerja Sosial Kebangsaan yang akan ditubuhkan pada bila-bila masa ini disifatkan sebagai langkah ke hadapan kerajaan meningkatkan kualiti dan profesionalisme bidang berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, begitu optimis untuk melahirkan seramai mungkin pekerja sosial di negara ini yang benar-benar berkelayakan menangani pelbagai isu kemasyarakatan yang memerlukan tindakan intervensi serta penyelesaian masalah sosial oleh tenaga kerja profesional, pengetahuan dan berkemahiran.
Katanya, di Malaysia sejak 60 tahun lalu, sudah wujudkan pekerja sosial untuk membantu isu kebajikan dan kemasyarakatan.
“Selepas tempoh itu, pekerja menghadapi pelbagai cabaran berikutan peningkatan isu sosial yang semakin kompleks seperti penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, keganasan di kalangan kanak-kanak, pengabaian warga emas, pengemis dan sebagainya.
“Tindakan intervensi dan penyelesaian memerlukan tenaga kerja profesional dan berpengetahuan dan berkemahiran dalam kerja sosial,” katanya.
Kementerian, katanya, akan mengambil langkah keputusan Kabinet secepat mungkin, peningkatan tahap profesionalisme dalam bidang kerja sosial mencerminkan komitmen kementerian terhadap penjagaan dan keselamatan perlindungan masyarakat khususnya golongan sasaran seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan masalah fizikal dan mental dan golongan terdedah kepada eksploitasi.
Dengan kewujudan piawaian standard itu dianggap bersesuaian dan sebagai era baru dalam bidang kerja sosial dan pembabitan lebih aktif pekerja sosial dan pengamal sosial yang sudah mula diperjuangkan sejak tujuh tahun lalu.
“Jika kita tidak membuat persediaan berkaitan mulai sekarang, saya khuatir kita tidak mampu menangani masalah sosial yang melanda negara. Ini adalah langkah jangka panjang. Seperti isu pembuangan bayi jika tidak ditangani dengan baik, ia akan membawa masalah lebih besar kepada masyarakat. Kita perlu tenaga pekerja sosial terlatih dan mempunyai ilmu kemahiran untuk mengambil tindakan dan memberi maklumat balas kepada kerajaan.
“Hasil daripada keputusan, pegawai kebajikan masyarakat yang dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah pegawai yang terlatih dan berpengetahuan dan tidak semua orang boleh terbabit. Tidak semua yang mahir untuk melakukan kerja terbabit,” katanya.
Beliau berkata, pekerja sosial perlu mempunyai ijazah dalam bidang berkenaan supaya mampu menangani isu dengan lebih berkesan, selain penyediaan kursus sama pada peringkat sijil dan diploma oleh Institut Sosial
Dengan tindakan itu, ia boleh menentukan banyak masalah diselesaikan bersama dan kumpulan sasar yang memerlukan bantuan dapat memberi perkhidmatan terbaik.
“Dengan adanya program, kita memasuki era baru ke arah membentuk satu profesion yang ada piawaian kecekapan yang standard sekali gus menentukan perkhidmatan kebajikan dan kerja sosial menjadi lebih berkualiti berlandaskan kepada profesionalisme,” katanya.
Pada masa sama, Majlis Kerja Sosial untuk mengawal selia pengamal dan pendidik kerja sosial ditubuhkan bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan mahu meletakkan profesion berkenaan pada tahap lebih tinggi pada masa depan.
Kementerian juga akan menggubal Akta Pekerja Sosial secepat mungkin supaya ia sejajar dengan matlamat meningkatkan tahap profesionalisme bidang berkenaan.
Selain itu, kementerian itu akan memastikan Kementerian Pengajian Tinggi menyeragamkan kurikulum pendidikan sosial di semua institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus pada peringkat ijazah di bidang itu.
Jabatan Perkhidmatan Awam pula menetapkan syarat kelayakan lantikan pekerja sosial dalam sektor awam, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan membuat pengambilan pekerja sosial ke dalam perkhidmatan awam yang menepati syarat kelayakan nanti.
“Apa yang lebih penting, peningkatan tahap profesionalisme itu mencerminkan komitmen kementerian terhadap penjagaan keselamatan dan perlindungan kepada seluruh rakyat di negara ini, khususnya golongan yang memerlukan bantuan seperti kanak-kanak dan OKU serta yang mengalami masalah fizikal serta mental bagi mengelak terdedah kepada eksploitasi dan ancaman,” katanya.
Sumber: sini