Thursday, April 28, 2011

TANGANI HIV DAN AIDS SECARA BERHEMAH


KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia seharusnya sudah semakin sedar akan situasi genting yang sedang menyelubungi negara kita akibat serangan senyap epidemik HIV.

Berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan, kes terkumpul orang yang positif HIV di negara ini telah meningkat dengan banyaknya sejak kes pertama HIV dilaporkan pada 1986.

Sehingga penghujung 2007, terdapat 80,938 orang yang dijangkiti HIV sementara untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, terdapat 1,766 kes baru, menjadikan bilangan orang yang hidup dengan HIV di negara ini melonjak kepada 82,704.

Perangkaan orang yang hidup dengan HIV (OHH) di negara ini dijangka meningkat kepada kira-kira 300,000 menjelang 2015 seandainya tidak ada usaha konkrit untuk membendung penyebaran HIV dan Aids.

Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, Pengarah Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan memberitahu perangkaan ini dalam ucapannya pada pelancaran Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008 mengenai "Woman and Girls Confronting HIV and Aids in Malaysia" yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut Dr Hasan, angka tertinggi OHH yang dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan ialah pada 2002, melibatkan 6,978 kes.

Angka tersebut adalah yang tertinggi iaitu 28.5 peratus bagi setiap 100,000 orang tetapi ianya kini menurun kepada 16.7:100,000 pada 2007.

Di sebalik peruntukan RM500 juta kerajaan untuk pelaksanaan Pelan Strategik Nasional dan Program Pengurangan Bahaya 2006-2010, Dr Hasan berkata, pengurusan isu HIV dan Aids memerlukan komitmen peringkat tinggi dari pelbagai pihak.

"Tindakan pencegahan dan pemantauan perlu dilaksanakan secara bersepadu sebelum penyebaran berleluasa HIV.

"Kempen kesedaran awam mengenai risiko penyebaran HIV perlu dipertingkatkan dan mereka yang berisiko perlu menjalani ujian bagi menentukan status HIV serta melibatkan diri dalam mengawal penyebaran virus ini," tegasnya.

ANTARA FAKTA YANG MENGGEMPARKAN

Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008 setebal 101-halaman mendedahkan banyak fakta yang menggemparkan mengenai epidemik HIV di negara ini.

Lelaki adalah majoriti (92 peratus) kes HIV terkumpul sementara bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan kurang daripada 10 peratus.

Pada masa ini, sebahagian besar kes penularan HIV berpunca menerusi pengguna dadah suntikan atau IDU (72.7 peratus) diikuti oleh hubungan heteroseksual (15.3 peratus) dan hubungan homoseksual (1.7 peratus).

Dari segi kaum, sehingga Disember 2007, majoriti kes HIV terdiri daripada lelaki Melayu berusia 20-39. Jangkitan HIV menerusi IDU dilaporkan begitu ketara di kalangan Melayu dan India.

Bagi orang Cina pula, mereka dilaporkan dijangkiti HIV menerusi hubungan heteroseksual.

Laporan tersebut juga melaporkan epidemik HIV telah merebak kepada masyarakat Orang Asli (0.04 peratus) dan penduduk peribumi di Malaysia Timur (Bumiputera Sabah - 0.5 peratus, Bumiputera Sarawak - 0.4 peratus).

Golongan belia berusia 13-29 tahun mewakili 35.9 peratus daripada semua kes HIV di Malaysia setakat ini, majoriti daripadanya lelaki dan IDU.

PEWANITAAN HIV

Menurut Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008, wanita kekal sebagai satu daripada populasi yang semakin pantas dijangkiti HIV di Malaysia.

Meskipun nisbah wanita dan kanak-kanak perempuan yang dilapor dijangkiti HIV sehingga Disember 2007 kurang daripada 10 peratus, tempoh lima tahun kebelakangan ini melihat kenaikan dramatik bilangan kes baru di kalangan wanita.

Sejak kes HIV pertama dilaporkan di negara ini pada 1986, kaum lelaki adalah penghidap paling ramai virus ini, sebahagian besarnya akibat tabiat berisiko berkait dengan penggunaan dadah, terutamanya menerusi suntikan.

Bagaimanapun, profil mereka yang baru dijangkiti HIV dan menanggung kesan akibat epidemik HIV di Malaysia secara beransur kian berubah wajah di mana semakin ramai perempuan dijangkiti virus ini.

Menurut laporan tersebut, bilangan kes baru wanita dan kanak-kanak perempuan yang dijangkiti HIV meningkat 39 peratus dari 629 kes pada 2002 kepada 875 pada 2006. Jika dibanding bilangan kes baru 2006 dengan 1997 (197 kes baru), kenaikan yang dicatat ialah 344 peratus.

Sehingga Disember 2007, jumlah terkumpul kes wanita yang dijangkiti HIV ialah 6,834 wanita berbanding 74,104 lelaki.

Dari segi kes kematian Aids dan yang berkaitan dengan Aids di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan, bilangannya, masing-masing 1,438 dan 847.

Daripada 6,834 wanita Malaysia yang dijangkiti HIV sejak 1988, 59 peratus kes dilaporkan antara 2002 dan 2006.

Tempoh yang sama juga menyaksikan 65 peratus kes wanita Aids dan 59 peratus kematian berkait dengan Aids di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Di Malaysia, meskipun gambaran umum epidemik HIV sebahagian besarnya bertumpu kepada kumpulan populasi tertentu seperti pengguna dadah, wanita dijangkiti HIV dan menderita Aids akibat pelbagai keadaan dan persekitaran selain daripada mengguna dadah secara suntikan.

Disebabkan faktor biologikal, wanita menanggung risiko 2-4 kali lebih tinggi daripada lelaki untuk dijangkiti HIV menerusi hubungan seks tanpa perlindungan di samping rentanan akibat keadaan sosio-ekonomi.

WAJAH TAK KETARA HIV DAN AIDS

Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah yang turut hadir pada pelancaran Laporan Kementerian Kesihatan dan UNICEF 2008 turut melahirkan rasa khuatir beliau terhadap trend pewanitaan HIV di Malaysia.

"Pada 1990, hanya seorang daripada setiap 86 kes jangkitan baru HIV adalah di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan. Pada penghujung 2007, bilangannya ialah seorang daripada enam jangkitan baru.

"Memeranjatkan juga apabila tinjauan pada 2006 menunjukkan lebih ramai suri rumah yang diuji positif HIV berbanding pekerja seks.

"Di sebalik setiap statistik, setiap wanita, anda akan dapati beribu-ribu kanak-kanak yang tinggal di rumah yang dibayangi HIV. Kanak-kanak ini adalah wajah tak ketara HIV dan Aids, dan penderitaan mereka sering dilupakan.

"Yang menyedihkan juga hak mereka turut terabai dalam kemelut moral yang sering dikaitkan dengan isu HIV," katanya.

Menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, bagi keluarga yang menanggung kesan akibat HIV dan Aids, penyakit itu sebenarnya bukan isu yang mencetuskan impak besar.

Dengan rawatan yang berkesan, katanya, penyakit tersebut dapat dikawal secara berkesan buat beberapa tahun dan ini menjamin keluarga kekal bersatu dan para ibu dapat terus menjaga dan mengasuh anak-anak mereka dengan sepenuh kasih sayang.

IMPAK CELAAN

Bagaimanapun, beliau berkata, impak terbesar datang daripada stigma sosial atau celaan masyarakat.

"Ibu-ibu yang ditemui di mana keluarga mereka menanggung kesan akibat HIV dan Aids paling takut dengan orang di sekeliling mereka. Mereka takut dengan reaksi kawan-kawan mereka, daripada sanak-saudara, rakan sekerja dan masyarakat mereka.

"Ada satu kes di mana pekedai di Kedah enggan membenarkan seorang wanita yang positif HIV daripada memasuki kedainya.

"Perasaan takut kepada HIV dan Aids telah dibiarkan mempengaruhi serta mencorak pemikiran sehingga menguasai pertimbangan kita sehingga melukai perasaan orang di mana keadaannya adalah lebih teruk daripada kesan penyakit itu sendiri.

"Stigma atau celaan bukan sahaja mengaibkan mereka yang positif HIV tetapi juga mendatangkan kehinaan kepada anggota keluarga mereka," katanya lagi.

Tunku Puteri Intan Safinaz menambah, stigma juga boleh menyebabkan seseorang itu yang lazimnya dibantu apabila mengalami kesusahan menjadi mangsa kebencian kawan dan jiran.

"Ianya tak berakhir di situ, stigma juga boleh membuatkan suami yang positif HIV menjadi terlalu takut untuk membenarkan isterinya diuji HIV. Stigma juga boleh membuatkan seseorang wanita itu menjadi terlalu malu sehingga dia tidak mendapatkan rawatan, yang bererti kematian awal dan anak-anak kecil akan membesar tanpa ibu mereka," katanya.

Masih mengenai stigma, menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, ia juga boleh menyebabkan anak-anak yang positif HIV dipulau oleh guru dan kawan sekolah mereka.

Katanya, stigma juga boleh memaksa anak yang menjadi yatim piatu akibat Aids tinggal di lorong-lorong kerana tidak ada siapa yang mahu menjaga mereka.

"Isu-isu ini adalah realiti dan berlaku setiap hari," beliau berkata.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pada pandangan Tunku Puteri Intan Safinaz, usaha mengurangkan impak HIV memerlukan keperluan dan isu wanita bukan sahaja ditangani di peringkat global, negara tetapi juga masyarakat.

"Kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah sosio-ekonomi yang menyumbang kepada risiko wanita untuk dijangkiti HIV termasuk kemiskinan, ketidakadilan jantina, kekurangan peluang ekonomi dan pendidikan serta perlindungan perundangan dan hak asasi. Untuk berjaya, semua halangan ini perlu diatasi," katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Tunku Puteri Intan Safinaz menjelaskan, suara kaum lelaki yang lantang diperlukan bukan sahaja untuk bercakap menentang keganasan ke atas wanita tetapi juga menggesa yang lain supaya menjauhi tabiat seksual yang membahayakan wanita dan kanak-kanak perempuan di samping mendidik anak perempuan mereka.

Wakil UNICEF ke Malaysia, Youssouf Oomar senada dengan pandangan yang disuarakan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz mengenai tanggungjawab bersama dalam menangani isu HIV dan Aids.

Beliau berkata: "Kita perlu menyokong perubahan tingkah laku, mencabar diskriminasi ke atas orang yang posifit HIV serta mewujudkan persekitaran di mana wanita, belia dan kanak-kanak yang menanggung kesan akibat HIV menerima semua bentuk perlindungan, penjagaan dan sokongan yang mereka perlukan."

UNICEF, katanya, akan terus menyokong usaha Malaysia dalam menangani isu rentanan wanita dan dalam hal demikian, pengetahuan wanita dan kanak-kanak akan jangkitan HIV serta pendidikan kesihatan mengenai reproduktif seksual perlu ditingkatkan.

"Kita perlu juga meningkatkan kemampuan mereka untuk melindungi diri daripada HIV serta menentang diskriminasi jantina dan keganasan," kata Oomar.

PENTINGNYA GOLONGAN MUDA

Menurut Oomar, kaum wanita juga perlu diberi hak untuk membuat keputusan positif dalam berdepan dengan epidemik HIV, bukan semata-mata untuk kepentingan diri mereka tetapi juga anak mereka.

"Dianggarkan hampir 2,000 kanak-kanak di Malaysia positif HIV (daripada jumlah kes terkumpul dari 1998-2006). Ramai yang menjadi anak yatim, kehilangan seorang atau kedua ibu bapa akibat Aids. Ramai lagi yang menghuni rumah penjagaan, dan menanggung kesan teruk stigma kerana HIV dan Aids.

"Jika pun kanak-kanak itu bukan positif HIV, kesan diskriminasi dan tidak dipedulikan memberi kesan yang teruk yang boleh mencetuskan keadaan di mana kanak-kanak itu tidak dapat menikmati alam persekolahan, terputus hubungan persahabatan dan dipinggir saudara-mara serta masyarakat," katanya.

Dalam ucapannya, wakil UNICEF di Malaysia itu turut menekankan pentingnya peranan golongan muda dalam perjuangan mengawal merebaknya epidemik HIV di negara ini.

Memandangkan jangkitan HIV semakin meningkat di kalangan wanita dalam tempoh 10 tahun lepas, kanak-kanaklah yang akan menanggung kesan epidemik ini.

"Tetapi kanak-kanak dan golongan belialah yang mempunyai kuasa untuk mengubah meminda hala tuju HIV untuk generasi akan datang," tambah Oomar.

-- BERNAMA