Saturday, April 16, 2011

PENJAGAAN KESIHATAN PEMBAWA HIV


KETENANGAN ROHANI, MAKANAN BERKHASIAT, SUPPLEMENT FOOD, SENAMAN, & KEBERSIHAN SANGAT PENTING KEPADA PEMBAWA HIV

Semua orang memang sepatutnya begitu. Cuma dalam kes pembawa HIV ianya lebih istimewa kerana imunisasi badan kami yang rendah.

Berdepan dengan penyakit yang penuh stigma ini, ketenangan rohani dan positive thinking memanglah paling asas.

Bagaimana mahu menjaga rohani? Itu semua orang tahu…selain menjaga solat fardhu, rajin-rajinlahlah baca Al-Qur’an, ayat-ayat Sifa, ayat Kursi, surah al Ikhlas, al Falaq dan an Nas. Sudah tentu bagus kalau ada doa-doa tertentu yang diajarkan oleh guru yang mursyid. Istighfar, selawat dan zikir sangat membantu.

Kalau boleh, buatlah solat sunat tahajjud & dhuha. Berdoalah, mintalah sungguh-sungguh kepada Allah. Baca Qur’an satu ayat satu hari bersama maknanya sekali taklah susah sangat kut? Solat sunat tahajjud & dhuha seminggu sekali pun sepatutnya tak jadi masalah. (Seminggu sekali? maksud aku baru-baru nak belajar buat macam aku ni lah)

Ingatlah bahawa virus juga mungkin sebahagian daripada usaha syaitan yang menumpang untuk merosakkan keimanan kita. Bila takut, hati risau, fikiran was-was dan terdesak mudahlah iblis masuk jarum. Demi hidup yang sementara, hanya dengan sedikit ujian kesihatan ramai yang sanggup jual aqidah.

Elok sangatlah rapatkan diri dengan majlis-majlis ilmu, melibatkan diri dengan urusan fardhu kifayah. Contoh membantu anak yatim, itu pun fardhu kifayah kan? Menjadi sukarelawan membantu pembawa HIV, fardhu kifayah kan? Aku tak berapa tahu, cubalah tanya alim ulama’.

Bila dah usaha tu berserah, bertawakkal dan bersangka baiklah kepada Allah. Fira’aun yang tak pernah sakit-sakit tu pun akhirnya mati berdiri. Tak payahlah risau sangat. Positif, positif, positif… okay? He3




Sepatutnya berhentilah merokok dan lain-lain bad habit. Pilih makanan yang berkhasiat. Selain makanan berkhasiat, aku memang mengambil semua supplement food yang aku paparkan dalam entry ini (sila klik) sebagai salah satu usaha menjaga kesihatan. Semuanya boleh didapati sama ada di farmasi, pembelian online atau kedai-kedai jamu terpilih. (kena rajinlah sikit mencari)

Yang aku gunakan dalam bentuk kapsul dan soft gel produk keluaran tempatan. Ringkas dan mudah. Contohnya buah peria kalau kita beli, blend dan minum tentu agak leceh kerana kita sentiasa sibuk. Bila dalam bentuk kapsul, mudah untuk digunakan bila-bila masa.

Supplement food tersebut aku ambil mengikut aturan pada botolnya. Pagi sekali dan malam sekali. Bagi pembawa HIV yang telah memulakan rawatan HAART, ianya dikatakan dapat membantu mengurangkan kesan sampingan rawatan. Wallahu a’lam, itu kena tanya doctor.

Kesannya? Alhamdulillah aku rasa lebih baik tapi tak dapatlah nak dijustifikasikan kerana terlalu subjektif. Yang penting ikhtiar.

Senaman? Ermm…, itu yang buat aku nak tergelak besar. Aku tak boleh jogging semenjak Bone Marrow Aspiration tempohari. Kalau kerja berat atau duduk lama-lama, tempat tebuk tu akan terasa ngilu dan sakit semula. Semuanya kena slow & steady.

Aku cuma mampu kayuh basikal static pelan-pelan. Masalahnya aku susah nak konsisten. Sibuk yang melampau-lampau. Kalau ada masa pun,  sekejap saja di sebelah petang. Itu sahajalah masa untuk luruskan pinggang atau teman isteri-isteri beli barang dapur, hang out dengan kawan-kawan dan sebagainya. Selepas Isya’ terus berkejar hantar anak tuition hingga 11pm. Bila setiap hari begitu memanglah aku jadi letih lesu dan liat sikit nak bersenam.

Jadi, jika berkesempatan, bersenamlah ya. He3…  

Kebersihan? Dah tentulahkan… tak payahlah aku share lebih-lebih sebab semua orang tahu. Penyakit mudah berjangkit apabila tahap imunisasi badan kita lemah. Elakkan kawasan kotor, terdedah kepada kuman dan gunakanlah mask jika perlu.

(Pernah masuk shopping complex, pak guard pandang aku ke atas ke bawah dan asyik ekor ke mana sahaja aku pergi sebab aku pakai mask dan jaket. Tak baik buruk buruk sangka gitu bang… kasihanlah aku sakit. Memanglah aku pakai jaket tapi bukan sebab aku nak curi barang! Kut ya pun menjalankan tugas, agak-agaklah bang…)


Okay, jumpa lagi. Jangan lupa makan ubat ikut arahan doktor…