Friday, April 15, 2011

DADAH: MENGENALI JENIS DAN KESANNYA



MUKADIMAH : Panduan ini bertujuan untuk memberi pengetahuan mengenai jenis-jenis dadah yang selalu digunakan.

Dadah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti opiat, kanabis, depresen, stimulan dan halusinogen.

Semoga panduan ini dapat memberi manfaat kepada individu, ibu bapa, pendidik, majikan dan semua pihak kerana dengan mengetahui jenis-jenis dadah, mereka tahu padahnya jika terlibat dengan dadah.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga mengharapkan panduan ini dapat dihebahkan kepada masyarakat, terutamanya dalam kalangan belia dan remaja, kerana maklumat ini penting untuk mereka tidak terlibat dengan gejala dadah.

Marilah kita bersama memerangi dadah.

 APA ITU DADAH?

"Dadah" ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

1.         Mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang);
2.         Digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan penggunaannya adalah dilarang;
3.         Diperolehi secara haram;
4.         Membawa kepada pergantungan fizikal dan psikologikal dan meningkatkan daya tahan terhadap dadah; dan
5.         Mendatangkan kesan-kesan buruk/bahaya ke atas kesihatan dan fungsi sosial.

JENIS-JENIS DADAH

Dadah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut:

1.         Opiat - Heroin, morfin, candu dan kodein
2.         Kanabis- Ganja, hashish
3.         Depresen - Sedatif-hipnotik jenis barbiturat dan bukan barbiturat serta tranquilizer
4.         Stimulan - Jenis amfetamin dan kokain
5.         Halusinogen - Lysergic acid diethylamine (LSD) meskalin, psilosidin.

Takrif dadah tidak meliputi bahan-bahan pelarut (gam dan petrol), alkohol dan tembakau walaupun bahan-bahan ini mempunyai banyak persamaan dengan dadah dari segi kesannya.

OPIAT

Opiat juga dikenali sebagai narkotik dan merupakan bahan yang digunakan dalam perubatan untuk menidurkan atau melegakan kesakitan, tetapi mempunyai morfin, heroin dan kodein adalah sebahagian daripada Opiat.

Candu (Opium) diperolehi daripada getah buah popi yang terdapat atau berasal daripada negara-negara Timur Tengah dan Asia. Heroin dan Morfin diperbuat daripada Opium tetapi Metadon adalah dadah sintetik /tiruan yang diperbuat daripada bahan kimia.

CANDU

Candu ialah cairan berupa susu yang kering yang dikeluarkan daripada bunga popi yang muda (papaver somniferum). Pokok ini ditanam terutamanya di negara-negara Timur Tengah dan Asia.

Candu adalah satu daripada dadah yang tertua yang digunakan oleh Manusia.
Candu terbahagi kepada beberapa jenis iaitu candu mentah, candu masak dan tahi candu.

CANDU MENTAH

Dikenali sebagai Black Stuff, Opium, Madat, Peh Yeh, O dan Tar. Apabila buah popi muda ditoreh, ia akan mengeluarkan getah putih yang bertukar menjadi pekat dan berwarna coklat atau hitam. Bahan ini dinamakan candu mentah.

Ia berbau kuat, menganjal (elastic) apabila masih segar dan menjadi keras jika terdedah pada udara.

CANDU MASAK

Candu ini adalah candu yang telah sedia untuk dihisap.
Diperolehi melalui proses ringkas melibatkan percampuran candu mentah dengan air, yang kemudiannya dipanaskan dan ditapis untuk mengasingkan kekotoran seperti habuk daun popi.

Bahan tapisan ini terus dipanaskan sehingga pekat. Ia berwarna coklat gelap dan berupa seperti tar apabila segar. Ia menjadi keras apabila dibiarkan. Candu masak kadangkala berupa seperti cerutu yang berwarna hitam, coklat atau keemasan dan mempunyai buih-buih kecil.

TAHI CANDU

Ia adalah sisa bakaran atau arang candu masak yang telah dihisap. Ia mungkin terdapat dalam bentuk until terbakar atau pun kikisan dari paip candu. Tahi candu boleh digunakan semula dengan mencampurkannya dengan air dan candu mentah ketika memproses candu mentah ke candu masak.

Candu digunakan secara dihisap dengan menggunakan paip atau dengan cara chasing the dragon dengan dadah tersebut dipanaskan dan dihidu wapnya melalui hidung atau mulut, dengan menggunakan kertas yang digulung atau lain-lain jenis alat yang berupa straw.

MORFIN

Dikenali juga sebagai M, White Stuff, White Powder, Monkey, Dreame Morpho, Tab, Morb, Cubes, Emsel dan Melter.

Morfin ialah sejenis alkaloid yang diperolehi daripada candu mentah. Dalam pasaran gelap, ia selalunya diperolehi sebagai morfin mentah, bes morfin (morphine base) atau morfin sulfat atau morfin hidroklorid.

Ia terdapat dalam bentuk blok, serbuk atau pil.

MORFIN MENTAH

Morfin mentah didapati dalam bentuk blok atau serbuk. Bentuk blok selalunya berukuran 5 cm padu, 10cm padu, 15cm padu dan beratnya di antara 1,200gm hingga 1,500gm walaupun saiz dan berat blok mungkin berbeza-beza daripada putih ke coklat gelap dan kebanyakannya mempunyai tanda 999. Blok-blok ini pada umumnya mengandungi 70% 90% morfin hidroklorid.

Dalam bentuk serbuk, morfin mentah berwarna putih atau coklat dan berbiji halus.
Bentuk ini diperolehi setelah blok morfin mentah dibahagikan atau setelah blok tersebut dihancurkan sejurus sebelum morfin mentah diproses menjadi heroin.

Di tempat-tempat tertentu di Asia Tenggara, ia kadang-kadang disebut sebagai Heroin No.1.

BES MORFIN

Bes morfin ialah sejenis alkaloid yang diperolehi secara langsung daripada candu. Kadang-kadang ia mempunyai bau seperti opium dan berupa seperti serbuk kopi halus. Kandungan morfin yang terdapat di dalamnya adalah antara 60% hingga 70%.

PIL MORFIN

Pil-pil mengandungi morfin sulfat atau morfin hidroklorid yang dikeluarkan secara sah kerapkali dipesongkan ke pasaran gelap. Pil-pil ini bersaiz kecil dan berwarna putih atau coklat pucat.

Morfin digunakan secara menyuntik larutan morfin atau menelan pil-pil morfin.

HEROIN

Heroin ialah sejenis dadah yang dihasilkan daripada morfin melalui proses kimia.
Sebanyak 10kg candu akan menghasilkan 1kg heroin.

Ia mula digunakan di Jerman Barat dalam tahun 1898 bertujuan menghilangkan gejala tarikan morfin. Heroin 20 25 kali lebih kuat daripada morfin. Ia juga dikenali sebagai H, Horse, Hard stuff, Junk, Smack, Sugar, Fit dan Joy Powder.

Penagih heroin biasanya digelar jungkies. Heroin terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu Heroin No. 3, Heroin No. 4, Heroin Brown dan Heroin Black Tar.

BES HEROIN (HEROIN BASE)

Bes heroin merupakan diasetil morfin sebelum ia diproses menjadi diasetil morfin hidroklorid yang dicampurkan dengan bahan-bahan campuran seperti kafein, striknin, kuinin dan skopolamin seperti yang terdapat dalam Heroin No.3. Bes heroin merupakan heroin yang belum siap dikeluarkan. Bes heroin kering merupakan pepejal yang boleh dihancurkan dengan tangan untuk menjadi serbuk.

Warnanya berbeza-beza dari kelabu pucat ke coklat gelap dan kelabu gelap. Di tempat-tempat tertentu di Asia Tenggara, ia dikenali sebagai Heroin No.2.

HEROIN NO.3

Di Malaysia, Heroin No.3 juga dikenali sebagai Fit, Fun, Tepung, Cik Putih, Barang dan Penang Pink kerana ia berwarna merah jambu. Tidak kira di mana ia dikeluarkan, Heroin No.3 dikenali dengan berbagai nama seperti Hong Kong Rocks, Brown Sugar, Chinese Heroin dan White Dragon Pearl.

Pada umumnya, ia terdapat dalam bentuk ketulan-ketulan walaupun kadang-kadang ia dihancurkan menjadi serbuk dan mempunyai warna berbeza-beza dari coklat muda ke kelabu gelap. Bahan campuran utama ialah kafein, walaupun kadang-kadang barbiturat dicampurkan ketika proses pengeluaran.

Ketulan heroin No. 3 mengandungi diasetil morfin di antara 25 peratus hingga 45 peratus. Kadangkala terdapat juga sempel-sampel yang mempunyai peratus ketulenan di luar lingkungan ini. Kandungan kafein dalam Heroin No.3 di antara 30 peratus hingga 60 peratus.

Mungkin terdapat juga sejumlah kecil bahan-bahan lain seperti striknin, kuinin dan skopolamin. Heroin jenis ini digunakan dengan cara menyuntik, menghidu, menghisap (menggunakan rokok) dan chasing the dragon.

HEROIN NO.4

Heroin No. 4 berbentuk serbuk halus berwarna putih atau putih kuning dengan kandungan sehingga 98 peratus diasetil morfin hidroklorid.

Hasil daripada pembersihan yang dijalankan ketika pengeluaran, heroin jenis ini mengandungi sedikit kekotoran atau bahan campuran apabila diniagakan secara haram pada peringkat borong.

Walau bagaimanapun, ia selalunya sudah bercampur dengan bahan-bahan lain seperti laktos apabila dijual kepada penagih. Heroin jenis ini selalunya digunakan secara suntikan.

BROWN HEROIN

Brown Heroin ialah heroin yang dikeluarkan melalui proses pengeluaran tanpa pembersihan. Bahan ini berwarna coklat, mengandungi ketulan-ketulan keras dan mempunyai bau seperti cuka yang kuat.

Apabila ia dicampurkan dengan bahan-bahan lain, ia kadangkala digelar sebagai street level heroin.

HEROIN BLACK TAR

Heroin jenis ini terdapat di Amerika Syarikat dan menyerupai tar dari segi warna dan kepekatan.

Ia mengandungi sehingga 90% diasetil morfin berbanding dengan 2% hingga 6% yang terdapat pada Brown Heroin.

Ia larut dalam air apabila dipanaskan dan selalunya disuntik atau dihidu oleh penagih.
Heroin digunakan secara memasukkannya ke dalam rokok dan dihisap, dibakar dan dihidu asap/wapnya (secara chasing thedragon), dihidu dengan memasukkan ke dalam lubang hidung dan dimasak hingga menjadi cecair dan kemudian disuntik ke dalam intravena menggunakan jarum hipoderma.

OPIAT SINTETIK

Opiat sintetik meliputi bahan-bahan seperti metadon dan petidin. Ia adalah dadah gantian yang diproses secara kimia dan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan bahan opiat.

Ia digunakan secara meluas di Britain dan negara-negara lain sebagai salah satu kaedah dalam rawatan detoksifikasi secara saraan (maintenance) kepada penagih dadah.

Namun begitu kaedah tersebut telah dihentikan memandangkan ia boleh menyebabkan pergantungan terus dan boleh menyebabkan ketagihan baru kepada mereka yang tidak pernah menagih apabila bekalan metadon penagih yang mendapat rawatan disalahgunakan oleh penagih tersebut.

Kaedah ini juga tidak menepati hasrat menjadikan negara bebas daripada dadah.
Cara ia digunakan ialah secara diminum bagi yang berbentuk cecair atau secara suntikan.

KANABIS

Kanabis adalah sejenis ganja yang diperolehi dalam bunga dan daun-daun pokok Indian Hemp Cannabis Sativa.

Pokok ini ditanam oleh manusia untuk mendapatkan dadah walaupun ia juga didapati tumbuh liar di kawasan-kawasan beriklim panas di Asia, Mexico, Afrika dan Timur Tengah.

KANABIS HERBA

Ianya dikenali sebagai Ganja, Marijuana/Grass, Pot/Weed, Bhang, Kif, Takrouri dan Dagga.
Kanabis herba atau ganja merujuk kepada bahagian daun dan pucuk berbunga pokok kanabis yang dikeringkan dan kadang-kadang dijadikan dalam bentuk blok atau sate.

Ia menyerupai tembakau walaupun lebih kehijau-hijauan.

RESIN GETAH KANABIS (Hashish, Charas)

Resin/Getah Kanabis atau hashish adalah getah pucuk bunga kanabis yang dikumpulkan, dikeringkan/dibakar dan kemudiannya dijadikan blok serbuk (powdery block) ataupun kadangkala dicampurkan dengan lilin.

Warna serbuk atau blok hashish berbeza daripada coklat muda ke hijau, coklat tua atau hitam. Kebanyakkan hashish berasal dari kawasan Timur Tengah.

MINYAK HASHISH

Minyak hashish merupakan minyak tar dan dihisap bersama rokok atau ganja. Ia diperolehi melalui proses kimia yang dijalankan berulangkali ke atas ganja atau hashish.

Ia tidak larut dalam air dan menjadi bertambah pekat apabila terdedah kepada udara. Hanya setitik sahaja akan mendatangkan kesan halusinasi kepada pengguna.

Cara Kanabis digunakan adalah mengikut bentuk-bentuk seperti di atas. Bagi Kanabis Herba, ia dihisap dalam rokok atau paip atau digunakan sebagai salah satu bahan dalam makanan.

Kebiasaannya digulung dalam daun nipah atau dalam kertas rokok dengan kedua-dua hujungnya digentel-gentel. Ini dinamakan Joints, Budha Stick atau Reefers dan ia menyala lebih terang dan lebih panas dari rokok tembakau.

Charas digunakan oleh orang-orang Arab sebagai ganti alkohol dan ia dimakan bersama kacang dan madu sementara itu minyak Hashih pula biasanya dicampurkan dalam minuman.

DEPRESAN

Bahan ini memainkan peranan yang penting dalam bidang perubatan. Walau bagaimanapun, ia tergolong sebagai dadah apabila disalahgunakan.

Bahan-bahan ini dikelaskan seperti berikut:

SEDATIF-HIPNOTIK (BARBITURAT)

Seperti sodium pentobarbital (Nembutal), dan secabarbital (Seconal)
SEDATIF-HIPNOTIK (BUKAN BARBITURATE)

Seperti methaqualone (Mandax atau Mx) dan glutethimide (doriden)
Barbiturat Ia dikenali sebagai barbs, Downers, Down, Goofballs, Redbird, Yellow, Yellowjacket, Nambies, Blue,Rainbows, M.Pills dan Big M.

Jenis yang selalu disalahgunakan ialah amobarbital (Amytal), pentobarbital (Nembutal) dan Secobarbital(Seconal).

Ia biasanya dijual dalam bentuk kapsul atau tablet dan kadangkal dalam bentuk cecair ataupun suppositories.

Terdapat juga dadah-dadah lain menyerupai sedatif-hipnotik yang mempunyai kesan dan ciri yang lebih kurang sama seperti contohnya antihistamine dan decogestants yang boleh menyebabkan seseorang itu lali dan mengantuk.

CARA IA DIGUNAKAN BOLEH DISALAHGUNAKAN DENGAN CARA-CARA BERIKUT:

Kapsul barbiturat dipecahkan dan isinya dilarutkan di dalam air, lalu disuntik.
Ini menggalakkan jangkitan penyakit melalui alat-alat suntikan kotor yang digunakan secara berkongsi.

Barbiturat juga digunakan selepas amfetamin untuk menenangkan diri.
Barbiturat dicampurkan dengan heroin untuk melebihkan keuntungan penjual/pengedar.

TRANQUILIZER (BENZODIAZEPINE)

Seperti diazepam (Valium), flurazepam (Dalma-dorm), flunitrazepan (Rohyphnol), chlorazepate (Tranxene), dan chlordiazepoxide (Librium).

TRANQUILIZER JENIS BENZODIAZEPIN

Ia mempunyai nilai klinikal dalam mengurangkan ketegangan perasaan dan kebimbangan pesakit.

Diazepam juga digunakan untuk merawat penyakit neurologi seperti sawan.
Cara pengambilan adalah dengan cara menelan tablet atau secara suntikan bagi yang berbentuk cecair.

STIMULAN

Merupakan bahan kimia psikoaktif yang merangsangkan aktiviti sistem saraf pusat secara keseluruhan. Terdapat dua jenis stimulan iaitu jenis amfetamin dan kokain.

AMFETAMIN

Ia mula dihasilkan dalam tahun 1920 bagi kegunaan perubatan. Ia terkenal dengan kebolehannya sebagai penahan rasa mengantuk dan keletihan serta boleh memberi keyakinan diri.

Dengan kebolehan dadah jenis ini menyebabkan ia selalu disalahgunakan oleh pelajar dan pekerja. Contoh-contoh stimulan jenis amfetamin ialah amfetamin (Benzedrine), dextroamftemin (Dexedrine), metham fetamin (Methedrine,Desoxyn) dan phenmetrazine (Preludin).

Lain-lain jenis bahan yang menyerupai amfetamin dari segi kesannya termasuk diethypropion, phentermine dan ephedrine.

Ia terdapat dalam berbagai bentuk pil dan kapsul.

Cara ia digunakan adalah secara dimakan sama ada dalam bentuk tablet atau kapsul dan terdapat juga dalam bentuk cairan yang disuntik ke dalam intravena tetapi ia bukanlah satu cara yang lazim digunakan.

SYABU (METHAMPHETAMINE HYDROCHLORIDE)

Merupakan satu lagi jenis dadah yang berada dalam kumpulan stimulan. Ia dikenali dengan nama Ice, Crystal ataupun Kaca.

Kebanyakan dadah jenis methamphetamine termasuk syabu diproses secara haram di dalam clandestine laboratories oleh mereka yang tidak terlatih.

Kualiti syabu boleh dikategorikan kepada tiga kategori. Syabu yang paling berkualiti berwarna putih kristal diikuti dengan yang berwarta putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya pula mempunyai rasa yang pahit.

Cara ia digunakan adalah secara chasing the dragon tetapi biasanya ditagih dalam bilik atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap candu.

KOKAIN

Kokain berasal daripada daun koka atau Erythroxylon coca dan lain-lain jenis pokok Erythroxylon yang terdapat di Peru, Bolivia dan Colombia di Pergunungan Andes, Amerika Selatan.

Bahan ini kebanyakannya digunakan di Amerika Syarikat.

JENIS-JENIS KOKAIN

DAUN KOKA (COCA LEAF)

Daun koka adalah daun pokok Erythroxylon Coca yang tumbuh di kawasan Pergunungan Andes, Amerika Selatan.

PES KOKA (COCA PASTE)

Ia adalah bahan ekstrak pertama daun koka selepas daun tersebut dituai. Ia diperolehi dengan mencampurkan daun koka hancur dengan alkohal/benzol, asid sulfurik dan nartium karbonat serta menapis dan mengeringkan campuran tersebut.

Ia kebanyakkannya mengandungi alkaloid koka dan juga dikenali sebagai bes koka atau base (dalam bahasa Sepanyol, disebut sebagai bah-say).

Ia dihisap bersama ganja atau tembakau. Pes koka dibersihkan untuk dijadikan kokain.

KOKAIN

Kokain adalah serbuk habluran putih dan tidak berbau yang dihasilkan daripada pes koka. Ia seringkali didapati dalam bentuk kokain hidroklorida dan merupakan bahan stimulan yang kuat.

Ia selalunya dihidu (untuk kokain yang sehingga 82% tulen) atau dihisap (lihat cocaine freebase). Ia juga kadangkala dicampurkan dengan heroin (speedballing) dan disuntik ke dalam pembuluh darah (mainlining) atau di bawah kulit (skin-popping).

KOKAIN FREEBASE

Kokain ini adalah bes kokain yang bebas daripada segala bahan campuran dan dihisap dalam bentuk tulen.

Ia diperolehi dengan melarutkan kokain, yang biasanya tidak lebih daripada 50% tulen, ke dalam air yang mana kemudiannya diekstrak dengan menggunakan bahan kimia yang mudah terbakar/meletup.

Kokain jenis ini dihisap dengan menggunakan paip khas.

KOKAIN CRACK

Kokain ini juga dikenali sebagai kokain Rock adalah nama untuk sejenis kokain tulen (Freebase) yang dihisap. Kokain Crack ini adalah campuran kokain dengan baking powder yang dihasilnya berbentuk granules.

Crack yang mempunyai ketulenan sehingga 90% adalah sangat berbahaya kerana ia mendatangkan ketagihan teruk selepas penggunaan yang agak singkat.

HALUSINOGEN

Halusinogen adalah jenis dadah asli dan sintetik yang mengubah pencerapan deria (sensory perception). Ia mengubah pandangan visual dan menyebabkan ilusi sehingga amat susah membezakan yang benar dan yang tidak.

Jika diambil dalam dos yang tinggi, bahan-bahan ini menyebabkan halusinasi.

JENIS-JENIS HALUSINOGEN

LSD (LYSERGIC ACID DIETHYLAMIDE)

Singkatan daripada nama Jerman dadah tersebut ialah Lyserg Saure Diethylamid. Ia juga dikenali sebagai Lysergide dan LSD-25.

Merupakan serbuk habluran yang tidak berwarna atau berbau dan larut dalam air dan alkohol. LSD selalunya dijumpai dalam bentuk cecair, serbuk atau dititik ke atas gula dadu, gelatin atau kertas blotter dan hanya sedikit sahaja diperlukan untuk mengeluarkan kesan halusinasi.

DMT (DIMENTHYLTRYTAMINE)

Ia adalah bahan habluran tidak berwarna yang berasal daripada pokok-pokok tertentu di West Indies dan Amerika Selatan.

Ia juga boleh dikeluarkan secara sintetik. Biji-biji yang dihancurkan dihidu dan dikenali secara popular di Haiti sebagai cohoba.

PCP (PHENCYCLIDINE, ANGEL DUST)

Ia dikeluarkan secara sah digunakan sebagai ubat pelali (anaesthetic) binatang. Ia juga dikeluarkan oleh makmal-makmal haram dan kadangkala dijual sebagai LSD, THC atau meskalin.

PCP boleh dimakan atau dihisap selepas ditaburkan di atas ganja atau tembakau.

MESKALIN

Diperolehi daripada kaktus peyote yang asalnya digunakan oleh orang Indian Aztec di Mexico beribu-ribu tahun lalu. Ia masih digunakan dengan sah oleh orang Indian Amerika dalam upacara keagamaan.

Dikeluarkan secara sintetik dan penggunaannya adalah dengan cara dimakan. Terdapat juga analoq-analog meskalin iaitu derivatif amfetamin yang mempunyai kesan serupa seperti meskalin. Di antaranya ialah TMA (3,4,5 trimethoxyamphetamine).

TMA-2 (2,4,5 trimethoxyamphetamine), DOM (2,5 dimethoxy 4 methylamohetamine) dan MDA (3 methoxy 4,5 methylene- dioxyamphetamine). Analog-analog ini mempunyai kesan beberapa kali ganda lebih kuat daripada meskalin.

PSILOSIBIN DAN PSILOSIN

Berasal daripada sejenis cendawan bernama Psilochebe Mexicana yang ditanam di Mexico. Orang Indian Amerika yang menjadi ahli Native American Church turut menggunakannya dalam upacara keagamaan.

Dikeluarkan secara sintetik dan terdapat dalam bentuk serbuk putih atau sebagai larutan jernih yang tidak berbau.

DESIGNER DRUGS

Designer drugs merupakan satu kumpulan analog kepada bahan kimia yang telah terbukti mempunyai kesan farmakologi. Analog adalah bahan-bahan kimia tiruan yang hanya berbeza kecil dari segi strukturnya jika dibandingkan dengan bahan kimia induknya.

CIRI-CIRI UTAMA DESIGNER DRUGS

Dikeluarkan dengan tujuan mengelakkan kawalan undang-undang. Dadah disenaraikan mengikut nama dan struktur kimia di bawah kebanyakkan undang-undang.

Designer drugs terkecuali daripada kawalan undang-undang kerana ia merupakan bahan-bahan kimia yang baru dicipta dan seringkali diubah struktur kimianya.

Oleh itu amat rumit sekali untuk menyenaraikan bahan-bahan ini mengikut struktur kimia tertentu.

Dicipta dan dikeluarkan secara haram oleh ahli kimia yang mahir. Ahli kimia mahir dan berpengalaman mencipta dan mengeluarkan designer drugs dalam makmal secara haram dengan menggunakan peralatan yang ringkas, dan sedikit sahaja bahan mentah.

Tiada risiko yang dihadapi kerana tiada bahan mentah seperti heroin yang perlu diseludup untuk membuat designer drug. Keuntungan yang diperolehi adalah besar.

Bahan ini susah untuk dikesan dalam cecair badan kerana jumlahnya yang sangat sedikit dan identitinya yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, ia mendatangkan kerosakan tisu yang teruk dan boleh membawa maut.

Sejenis designer drug telah dilaporkan menyebabkan sebanyak 100 kes kematian di California, Amerika Syarikat. Sejenis designer drug lain (MPTP) telah mengakibatkan sejenis penyakit neurologi seakan-akan Parkinsons Disease yang mana sukar untuk diubati.

Designer Drug MDMA pula telah didapati menyebabkan keadaan psikotik seperti mana yang dialami oleh pengguna kokain dan amfetamin.

TIGA KUMPULAN UTAMA DESIGNER DRUGS ADALAH SEPERTI BERIKUT:

ANALOG FENTANYL

Contohnya 3-methyl fentanyl yang merupakan analog kepada fentanyl. Fentanyl adalah sejenis narkotik yang digunakan dalam perubatan sebagai ubat pelali (anaesthetic). Fentanyl adalah 100 kali lebih kuat daripada morfin, manakala analognya iaitu 3-methyl fentanyl yang dikeluarkan secara haram adalah kira-kira 3000 kali lebih kuat daripada morfin.

ANALOG PETHIDINE

Contohnya MPPP atau 1-methyl-4-phenyl-propionoxy-piperidine dan MPTP atau 1-methyl-4-phenyl-1,2,3,6-tetrahydropyridine yang lebih kuat daripada bahan kimia induk iaitu pethidine.

ANALOG METHAMPHETAMINE

Contohnya MDMA atau 3,4-methylenedioxyamphetamine yang juga lebih kuat kesannya daripada bahan kimia induk iaitu methamphetamine.

MDMA juga dikenali sebagai Ecstasy, MDM, Adam, XTC, Es, Ease, X, Eccies, Love drugs, Hug drug dan Disco biscuits. Awal kegunaan adalah sebagai penyekat selera makan walaupun sebenarnya ia tidak digunakan bagi tujuan tersebut.

Ecstasy dijual dalam bentuk tablet kecil atau kapsul berwarna kuning atau putih.
Cara penggunaan secara ditelan dan kesannya bermula 30 - 90 minit selepas ditelan dan dapat bertahan sehingga 6-8 jam malah kesan ini kadangkala berlarutan sehingga 24 jam.


Sumber: sini