Thursday, April 28, 2011

JENIS-JENIS UJIAN PEMERIKSAAN KESIHATAN (2)



Ujian Pemeriksaan Kesihatan merupakan sekumpulan ujian yang direka khas untuk menilai tahap kesihatan seseorang individu. Panduan ini memberikan maklumat umum tentang jenis-jenis dan kepentingan ujian yang dilakukan. Namun demikian, anda dinasihatkan untuk mendapat maklumat atau keterangan lanjut dari doktor anda.

PEMERIKSAAN DARAH PERIFERI

Red Cell Indices
Red Cell Indices memberi petunjuk tentang ketaknormalan sel darah merah.
Hematokrit (PCV)
Nilai PCV yang rendah mungkin disebabkan oleh anemia, kehilangan darah dan anemia hemolitik. PCV yang tinggi boleh disebabkan oleh polycythaemia atau macrocytosis.

Hemoglobin (Hb)
Hb berperanan sebagai pengangkut oksigen kepada sel. Nilai Hb di bawah aras normal menandakan anemia.

Sel Darah Putih
Sel darah putih (SDP) bertindak sebagai sistem pertahanan tubuh terhadap mikroorganisma yang boleh mendatangkan penyakit. Ia boleh dibahagikan kepada 5 jenis iaitu neutrofil, limfosit, monosit, eosinofil dan basofil.

Kehadiran sel yang abnormal menandakan infeksi kronik. Kehadiran sel-sel yang tak matang (blasts cells) dalam darah periferi dan peninkatan nilai SDP menandakan leukemia.

Platelet
Platelet memainkan peranan yang penting dalam mekanisma pembekuan darah bagi mengelakkan kehilangan darah yang berlebihan.

ESR
Erythrocyte Sedimentation Rate (ESR) merupakan kadar enapan komponen selular dalam plasma dalam masa satu jam.

PBF (Peripheral Blood Film)
Smear darah nipis yang diwarnakan dengan pewarna tertentu dan diperiksa di bawah mikroskop. Impression yang diberikan adalah berdasarkan smear darah dan keputusan ujian darah yang lain.

Kumpulan Darah
Dua sistem yang biasa digunakan dalam penentuan kumpulan darah adalah ABO dan Rhesus (Rh). Melalui sistem ABO, kumpulan darah boleh dibahagikan kepada A, B, AB dan O. Taburan bagi setiap kumpulan adalah A (23%), B (23%), AB (5%) dan O (49%).

Di bawah sistem Rhesus pula, darah boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu rhesus positif atau rhesus negatif.

URIN (FEME)

Urin atau air kencing dihasilkan dari proses penyaringan darah melalui ginjal. Kandungan urin bergantung kepada keadaan kesihatan dan pemakanan harian seseorang individu.

pH
Individu normal mempunyai julat pH antara 5.0 hingga 7.0. Faktor yang mempengaruhi pH urin seseorang individu adalah pemakanan harian, tempoh selepas pengutipan sampel, infeksi saluran urinari dan ketakseimbangan hormonal.

Glukos
Ujian saringan kehadiran glukos dalam urin adalah petanda seseorang individu itu mempunyai penyakit diabetes melitus. Namun demikian, kehadiran glukos dalam urin individu yang normal mungkin berlaku dalam individu yang mempunyai ambang glukos rendah; keadaan yang dikenali sebagai glukosuria.

Keton
Keton adalah hasil sampingan daripada metabolisma lemak dan dikumuhkan dalam urin. Keton biasanya hadir dalam pesakit diabetes mellitus kerana sel-sel badan tidak dapat menggunakan glukos sebagai sumber tenaga secara efektif.

Darah
Kehadiran darah dalam urin; hematuria;mungkin berpunca dari ginjal, saluran urinari atau pundi kencing. Hematuria dengan kesakitan adalah satu petanda kehadiran batu karang dalam salur urinari. Namun demikian, kehadiran darah dalam perempuan semasa haid biasanya dianggap normal.

Protein
Kandungan protein meningkat dalam individu yang mengalami infeksi saluran urinari, individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, diabetes mellitus dan penyakit ginjal.

Specific Graviti (S.G.)
S.G. adalah indikasi daya pemekatan dan perkumuhan ginjal. Individu normal mempunyai julat S.G. antara 1.015 hingga 1.030.

Mikroskopi
Permeriksaan kandungan urin di bawah mikroskop.

Sel Darah Putih (SDP)
Hitungan kurang dari 5 dalam satu HPF dianggap normal. Peningkatan SDP dan kehadiran bakteria dalam urin adalah berhubungkait dengan infeksi saluran urinari.

Ujian kultur perlu dilakukan untuk menentukan jenis bakteria dan antibiotik yang perlu diberikan.

Sel Darah Merah (SDM)
SDM menandakan kehadiran darah dalam urin.

Sel Epithelia
Hitungan lebih dari 10 dalam satu HPF adalah indikasi infeksi saluran urinari.

Casts
Kehadiran cast granular mungkin menandakan kegagalan fungsi ginjal. Cast hialin boleh hadir dalam urin individu normal selepas senaman berat atau individu yang mengamalkan pemakanan diet kaya protein.

Kristal
Kristal urin yang biasa dilihat adalah kristal asid urik dan kalsium oksalat. Kehadiran kristal triple phosphate menandakan kemungkinan besar kehadiran batu karang ginjal.

UJIAN FUNGSI HATI

Protein (Albumin & Globulin)
Kedua-dua albumin dan globulin berguna untuk mengukur status pemakanan seseorang individu. Kedua-duanya juga berguna untuk mendiagnosis penyakit hati, gastrointestinal dan ginjal (buah pinggang), ketaknormalan protein, kanser dan kegagalan fungsi sel darah.

Bilirubin
Peningkatan aras bilirubin dalam serum boleh berpunca dari kegagalan fungsi hati, obstruksi salur hempedu atau penyakit sel darah merah. Manifestasi klinikal ialah penyakit kuning.

SGOT/AST/Aspartate Aminotransferase
Enzim akan dibebaskan ke dalam peredaran darah apabila sel tercedera dan aras akan meningkat mengikut tahap kecederaan pada sel.

SGPT/ALT/Alanine Aminotransferase
Ianya selalu digunakan bersama SGOT bagi mengukur fungsi hati dan mendiagnos penyakit yang berkaitan dengan kegagalan fungsi hati.

SAP/Alkaline Phosphatase
Paras ALP yang tinggi ditemui pada kanak-kanak, penyakit hati, obstruksi salur hempedu dan penyakit tulang.

UJIAN FUNGSI GINJAL (RENAL FUNCTION TEST)

Elektrolit
Elektrolit merupakan komponen yang penting dalam cecair badan dan keseimbangannya membolehkan berbagai sel dan organ berfungsi secara normal.

Urea
Urea merupakan hasil akhir metabolisma protein dan asid amino. Ia mengukur fungsi ginjal dan hidrasi. Walaubagaimanapun, ianya tidak boleh digunakan secara bersendirian dalam penentuan fungsi ginjal (hanya untuk ujian penyaringan sahaja).

Kreatinin
Kreatinin selalunya diukur bersama-sama urea untuk menentukan fungsi ginjal.

Asid Urik
Gout merupakan sindrom klinikal bagi pesakit yang mempunyai asid urik yang tinggi dalam darah dan pengenapan kristal urate pada tisu lembut; terutamanya pada sendi mengakibatkan respons inflamasi.

Parasnya dalam darah juga dipengaruhi oleh jumlah asid urik yang dihasilkan dan kecekapan eksresi ginjal.

LIPID STUDIES

Aras kolesterol darah memberikan indikasi risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan juga berguna untuk menilai fungsi hati dan tiroid.

Kolesterol
Peningkatannya boleh mengakibatkan penimbunan pada dinding salur darah menyebabkan penyempitan dan seterusnya penyumbatan saluran darah (arhterosclerosis).

HDL-Kolesterol
Ianya dikenali juga sebagai kolesterol yang baik (good cholesterol). Ianya berfungsi sebagai pengangkut bagi mengeluarkan kolesterol yang berlebihan dari sel. Nilainya boleh ditingkatkan dengan melakukan senaman harian.

LDL-Kolesterol
Ianya juga dikenali sebagai kolesterol yang tak baik (bad cholesterol). Kolesterol yang berlebihan akan diangkut oleh LDL ke dinding arteri; mengakibatkan artherosclerosis.

Trigliseride
Trigliseride merupakan asid lemak yang ditemui dalam aliran darah. Aras yang tinggi boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.

Glukos (Kandungan gula darah)
Ianya biasa digunakan untuk mengdiagnos penyakit kencing manis (diabetes mellitus). atau bagi menilai tahap pengawalan glukos. Perubahan arasnya dalam darah bergantung kepada aktiviti individu dan juga jangkamasa selepas makan.

Individu dengan keputusan ujian glukos darah dalam keadaan puasa yang menghampiri nilai yang ditetapkan dikehendaki melakukan ujian Glucose Tolerance Test (GTT) untuk menentukan diagnosis penyakit kencing manis.

T4 (Thyroxine)
Aras T4 darah berguna sebagai ujian penyaringan bagi mengesan penyakit tiroid.

Kalsium & Fosforus
Kedua-dua ujian ini berguna bagi mengdiagnos penyakit ginjal dan penyakit tulang (skeletal disorders) serta digunakan untuk menilai elektrolit dan keseimbangan asid-bes.

HBsAg
Individu dengan keputusan HBsAg reaktif juga dikenali sebagai pembawa Hepatitis B (Hepatitis B carrier). Pembawa Hepatitis B mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit kanser hati dan kerosakan hati (cirrhosis) jika dibandingkan dengan orang normal.

Anti-HBs
Anti-HBs merupakan antibodi yang dihasilkan bagi melawan antigen permukaan Hepatitis B.

Rheumatoid Factor (RF)
RF boleh dikesan pada pesakit yang menghidap rheumatoid arthritis dan inflamasi kronik seperti sifilis, hepatitis, infectious mononucleosis dan leprosi.

VDRL
VDRL adalah ujian penyaringan bagi penyakit sifilis. Keputusan VDRL positif tidak semestinya menunjukkan seseorang individu itu mempunyai sifilis kerana kemungkinan terjadinya reaksi positif palsu. Ujian TPHA dilakukan untuk mengesahkan penyakit sifilis jika ujian VDRL didapati positif di peringkat awal.

Petanda Tumor (Tumour Markers)
Tumour markers merupakan salah satu ujian yang penting yang dapat digunakan bersama dengan ujian lain dalam diagnosis penyakit. Selain daripada mengesan dan mengikuti perkembangan sesuatu penyakit, penentuan dengan ujian petanda tumor tertentu juga dapat menolong mengdiagnos sesuatu penyakit secara klinikal.

CEA (Carcino Embryonic Antigen)
Ianya dihasilkan secara khusus oleh sel yang aktif membahagi (proliferatif). CEA dikesan dalam aras yang tinggi pada pesakit yang mempunyai tumor pada saluran gastrointestinal (pankreas, kolon, rektum), paru-paru, buah dada, kelenjar prostatik dan ovari. Parasnya dalam darah juga bergantung kepada faktor lain seperti kehadiran inflamasi dan juga tabiat merokok.

AFP (Alpha feto Protein)
AFP merupakan antigen onkofetal yang hadir pada sesetengah sel 'germ line tumour' seperti teratoblastoma, kanser testikular dan ovari, kanser hati (hepatocellular carcinoma) dan penyakit hati seperti cirrhosis, hepatitis dan nekrosis. Ujian ini biasanya digunakan secara meluas bagi mengdiagnos kanser hati.

PSA (Prostate Specific Antigen)
PSA dijumpai hanya pada tisu prostatik. Ianya digunakan untuk mengdiagnos kanser prostatik. Aras dalam darah juga meningkat pada keadaan benign seperti benign prostatic hypertrophy (BPH).

CA-125
Aras CA-125 berguna untuk mengesan perkembangan kanser dan nilainya mempunyai korelasi dengan saiz kanser.

CA-153
Aras CA-153 dalam darah meningkat dalam pesakit kanser payudara dan kanser paru-paru. Ianya digunakan untuk mengesan pertumbuhan kanser baru selepas terapi primer sebelum ianya dapat dikesan secara klinikal.

CA-199
Aras CA-199 biasanya meningkat pada pesakit dengan kanser intra-abdomen, adenokarsinoma paru-paru, perut, pundi hempedu dan kolon.

HSV II IgG (Herpes Simplex Type II IgG)
Infeksi HSV jenis II dikelasifikasikan sebagai penyakit jangkitan seksual. Namun begitu, infeksi HSV jenis I yang bukan penyakit seksual mungkin akan memberi keputusan ujian positif palsu. Ini adalah kerana kedua-dua virus tersebut mempunyai banyak persamaan (cross reactivity).

HAV IgG (Hepatitis A IgG)
Kehadiran antibodi adalah kekal dan dapat memberi perlindungan dari jangkitan berulang.

Anti HIV I & II
HIV (Human Immunodeficiency Virus) merupakan agen penyebab bagi penyakit AIDs (Acquired Immune Deficiency Syndrome). Strain virus yang utama adalah jenis I dan II.

Diagnosis serologi dan penyaringan jangkitan HIV adalah melalui pengesanan antibodi HIV (Anti HIV I & II). Pengesahan jangkitan HIV adalah melalui ujian Western Blot.

Individu dengan keputusan ujian Anti HIV I & II negatif tidak bermakna ianya tidak dijangkiti kerana ujian yang dilakukan pada window period akan memberi keputusan negatif palsu.


Sumber: sini