Sunday, April 24, 2011

RESPON PEMBAWA HIV APABILA MENGETAHUI STATUS HIV (PANDUAN BAGI MEMBANTU EMOSI & SPIRITUAL PEMBAWA HIV)


Setiap orang akan memberikan reaksi yang berbeza apabila mengetahui dirinya HIV positif. Beberapa reaksi yang akan dinyatakan nanti adalah reaksi normal yang terjadi kepada individu yang mengalami apa juga jenis tekanan mental/stress yang berat termasuk para pesakit kronik yang lain.

Reaksi pembawa HIV yang baru didiagnos mungkin akan berubah daripada satu reaksi kepada satu reaksi sebelum dapat menerima kenyataan. Reaksi  tersebut berubah-ubah mengikut keadaan.

Sebagai contoh, ada ketikanya mereka enggan menerima hakikat atau rasa kesepian tetapi 
pada ketika yang lain mereka rasa bersemangat dan penuh harapan. Mungkin hari ini mereka sangat tenang tetapi hari berikutnya bertukar menjadi marah dan gelisah.

Antara reaksi tersebut ialah:

TERKEJUT  (SHOCK)
Walau bagaimana bersedia sekalipun mental seseorang, adalah sangat sukar menerima kenyataan bahawa dirinya dijangkiti HIV. Individu tersebut merasa bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika ini mereka sangat memerlukan seseorang yang mereka percayai.

PENOLAKAN / PENYANGKALAN (DENIAL)
Mereka enggan percaya bahawa mereka mengidap HIV.  Mereka fikir bahawa mungkin berlaku human error, machine error  dan sebagainya kerana merasa masih sihat apatah lagi jika punca jangkitan tidak diketahui,


Enggan mempercayai/menerima keputusan sesuatu diagnosis boleh menjadi tekanan yang berat kepada individu. Reaksi ‘bela diri’ ini berlaku secara semulajadi bagi melindungi diri daripada HIV itu sendiri.

Anda hendaklah bersabar apabila berdepan dengan mereka yang menghadapi keadaan demikian. Cubalah bantu mereka untuk review maklumat mengenai HIV secara positif. Ini adalah cara terbaik untuk mengatasi reaksi penafian tersebut.

MARAH-MARAH
Seseorang itu mungkin marah-marah setelah mengetahui dirinya HIV positif. Keadaan ini berlaku apabila mereka menyalahkan diri sendiri atau pihak lain yang menjadi punca jangkitan HIV. Malahan ada yang sanggup  menyalahkan Tuhan!

Perasaan marah memang normal, tetapi tidak membantu menyelesaikan masalah.  Mereka kehilangan focus apabila asyik menuding jari menyalahkan itu ini sehingga gagal mengambil tindakan yang positif.


Meluahkan perasaan kepada seseorang yang dipercayai atau yang memahami masalah dapat membantu mengurangkan perasaan ini dan dapat membantu mereka untuk menerima situasi yang ada.

Kemarahan adalah reaksi yang sukar untuk diatasi terutama bila kemarahan tersebut ditujukan kepada diri sendiri. Jika berdepan situasi tersebut, anda mesti berusaha untuk memahami dan tidak menambahkan masalah dengan membalas kemarahan dengan kemarahan.

KOMPROMI (BARGAINING)
Seseorang pembawa HIV mungkin cuba berkompromi dengan diri sendiri dengan berfikir seperti: “Tuhan akan menyembuhkan aku jika aku  berhenti melanggan pelacur” atau “Aku akan sembuh dan penyakit ini akan hilang”.


Dalam keadaan ini, pembawa HIV perlu dibantu dengan memberikan penjelasan/informasi yang tepat tentang HIV supaya mereka bersikap positif, mendapatkan rawatan dan membina kekuatan rohani.

KETAKUTAN
Seseorang pembawa HIV merasa takut pada beberapa keadaan seperti penghinaan, kesakitan, hilang pekerjaan, diketahui orang lain, disisih masyarakat, ditinggalkan keluarga, anak dan kematian.

Ketakutan ini akan berkurangan bila mereka dapat berkongsi perasaan dengan mereka yang senasib atau yang dapat menangangi masalah yang ditakutkan.


Mereka perlu dibimbing supaya mereka  tahu bahawa mereka takut pada sesuatu yang tidak perlu. Misalnya dengan menunjukkan bahawa sangat ramai pembawa HIV positif yang lain mampu hidup seperti biasa, menunjukkan kasih sayang dan menggalakkan mereka melakukan kebaikan kepada orang lain. Semua pihak wajib menghapuskan stigma.

KESEPIAN
Pembawa HIV sering merasa sangat sepi. Kesepian datang dan pergi dalam tempoh yang sangat lama. Mereka sangat tergantung kepada sokongan keluarga dan teman-temannya.


Mereka perlu sentiasa diingatkan bahawa mereka tidak sendiri, dikelilingi keluarga, teman dan anggota masyarakat yang prihatin kepada mereka. Mereka juga perlu diingatkan bahawa ramai lagi orang lain yang lebih menderita atau sekurang-kurangnya senasib dengan mereka.

Kita perlu menghulurkan bantuan dengan menyebarkan maklumat kepada keluarga dan masyarakat bahawa pembawa HIV tidak patut dihukum dan didiskriminasi. Tanggungjawab ini adalah fardhu kifayah dan merupakan amalan yang sangat mulia di sisi-Nya.


Golongan yang dijangkiti pula mesti membentuk kelompok dan menyediakan keperluan sokongan antara satu sama lain.

HILANG KEYAKINAN DIRI  
Seseorang pembawa HIV mungkin berfikir bahawa orang lain takut, asyik menghakimi, memerhati dan memperkatakan sesuatu yang negative tentang dirinya. Keadaan ini menjadikan mereka menyendiri dan tidak selesa untuk bersosial.

Masyarakat dapat membantu mereka dengan cara mendorong mereka untuk terus aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Keadaan Ini dapat meningkatkan penerimaan masyarakat dengan membuktikan bahawa pembawa HIV adalah anggota masyarakat yang mempunyai nilai yang sama seperti orang lain.

Judgmental dan diskriminasi menambahkan lagi penderitaan mereka dan keluarga mereka yang tidak bersalah. Bantulah agar pembawa HIV berfikiran positif dan merasa bangga pada dirinya. Tekankan bahawa mereka masih tetap penting!

RASA TERTEKAN/DEPRESI
Seseorang dengan HIV mungkin terfikir tidak ada lagi alasan untuk meneruskan kehidupan. Mereka rasa tidak berguna, enggan keluar rumah dan berinteraksi dengan orang lain.

Depresi akan membuatkan seseorang lemah fizikal dan minda. Kita perlu membantu pembawa HIV mengatasi keadaan ini supaya mereka tidak menyerah kalah.


Galakkan mereka bersikap positif seperti berpakaian kemas, mengunjungi teman-teman, mengamalkan budaya hidup aktif, membantu orang lain dan memikirkan bahawa keluarga, anak-anak dan teman-teman yang masih memerlukan mereka.

PENERIMAAN
Setelah beberapa lama, seseorang pembawa HIV biasanya mula menerima hakikat. Ini akan membantu membuat mereka merasa lebih baik. Apabila sudah tenang fikirannya mereka mula memikirkan jalan terbaik untuk menjalani kehidupan.


Mereka mungkin akan berfikir: “Apakah cara terbaik yang boleh aku lakukan untuk mengisi sisa hidup aku?”; “Apa makanan terbaik yang dapat membantuku terus sihat?’, “Apa perancangan aku untuk masa depan anak-anak aku?” dan sebagainya.

HARAPAN
Kita semua dapat membantu pembawa HIV agar tetap mempunyai harapan seperti:


1.      Harapan agar mereka panjang umur.
2.      Harapan supaya pasangan atau bayi mereka tetap sihat.
3.      Harapan bahawa setiap kesakitan dapat diubati.
4.      Harapan bahawa mereka dicintai dan diterima seadanya.
5.      Harapan bahawa ubat yang menyembuhkan hampir ditemui
6.      Harapan dan kepercayaan bahawa ada kehidupan selepas kematian.

Adalah sangat penting untuk mempunyai harapan. Harapan dapat meningkatkan semangat dan memberikan kekuatan untuk menghadapi situasi yang sukar. Harapan dapat membantu seseorang untuk melawan HIV dan hidup dengan lebih berkualiti.

Ingat, apabila seseorang yang sihat dan mempunyai harapan pun ada kalanya keliru tentang kehidupan, inikan pula pembawa HIV. Yang penting adalah usaha untuk selalu menghidupkan harapan.


KESIMPULAN
Semua pihak perlu berubah. Pesakit mesti berubah, ahli keluarga terapat perlu berubah dan anggota masyarakat perlu berubah. Mesti dapatkan maklumat yang tepat tentang HIV. Jangan hanya tahu menghukum sehingga  terlupa sebahagian besar golongan yang dihina itu saudara seagama sendiri. Ada yang yang dijangkiti hanya kerana menjadi mangsa keadaan.

Jangan anggap anda bebas daripada soalan mengenai tanggungjawab terhadap saudara seagama di akhirat kelak. Hidup bukan sekadar urusan fardhu ain dan masalah sendiri semata-mata.
 


AHP: Bagaimana dengan peranan kita setakat ini? Jangan ditanya kepada si bodoh,  “kenapa tak belajar?” tetapi tanyalah kepada si cerdik “kenapa tak ajar?” Kalau kau dah label mereka bodoh dan hina sangat, kaulah yang ajar dan betulkan. Menghukum memang mudah, memang murah! Bila pihak gereja yang bantu, tahu pulak kau melenting? (sorry, emo) - peace!.