Saturday, April 02, 2011

CATATAN SEORANG PEMBAWA HIV (SERIBU KUNTUMAN BUNGA)


Maaf jika entry kali ini agak sarat dengan emosi.

Petang tadi, tepat ketika perasaanku sedikit tersentuh dan terganggu (Sikit je… penat dan sibuk sangat kut. Kebetulan mak aku pun sedang sakit) aku menerima komen yang sungguh bermakna dalam entry yang bertajuk 20 LANGKAH MENGATASI STRESS.

Mari kita baca komen beliau,

AHP
Orang yang tidak sakit hanya mampu melihat dan sukar untuk memahami apa rasanya menjadi sakit. orang hanya nampak kita yang sentiasa senyum bahagia, sedangkan dalam hati hujan lebat melanda. orang nampak kita kuat, tapi sebenarnya nasihat2, tulisan, kata2 +ve dsb tu antaranya adalah untuk menguatkan diri sendiri..

Allah je yang tahu bebanan, tekanan di dalam hati tiap hari. Semua yang diperlihatkan secara luaran adalah untuk menguatkan diri sendiri, keluarga dan sahabat yang melihat (yang mana tahu tentang kita).

Paling penting adalah redha..redha dan redha..dan sabar itu bukan suatu pilihan, it is a must as Muslims. Teruskan bersikap +ve, Allah sahajalah yang memegang dan membolak balikkan hati2 ni..


p/s: speaking as a chronic pain sufferer, makes me not to feel guilty writing like this. I think this is true, at least, for me. Take care AHP!


Terima kasih As, moga Allah melimpahimu dengan seribu rahmat dan ketabahan.

Sebenarnya semakin lama blog ini wujud, semakin aku mengenali dan mempelajari pelbagai ragam dan karenah manusia. Semuanya bagus untuk aku memuhasabah diri.

Segala perkongsian kisah peribadi bukan untuk membuka aib sendiri tetapi supaya insan lain mempelajari sesuatu di sebalik ujian hidup ini. Jauh sekali untukmeraih simpati atau bermegah-megah tentang itu ini.

Jika sesekali aku lambat membalas emel dan tidak memberi respon terhadap komen-komen yang ditinggalkan, maafkanlah aku. Jika ada di kalangan pembawa HIV sendiri yang  terasa hati dan menganggap aku tidak memahami penderitaan sesama pembawa HIV, pun maafkanlah aku.

Jika ada masanya secara tiba-tiba aku enggan bekerjasama, maafkanlah aku. Aku hanya membantu mereka yang mahu berubah dan sedia berubah. Jika asyik menyalahkan itu ini, sentiasa mahu difahami, dibelai dan dibantu, itu bertentangan dengan prinsip aku. Ramai lagi yang lebih malang tetapi sangat tabah dan memerlukan bantuan. Jangan bazirkan masa sendiri, masa aku dan masa orang lain.

Kemampuan aku amat terhad. Aku tiada kepakaran. Yang ada cuma kesudian berkongsi pengalaman dan rasa hati. Selalunya dalam ketawa atau gurau senda, ada tekanan yang cuba disembunyikan. 

Kepada yang terasa hati kerana aku kongsikan kisah mereka di sini, pun maafkanlah aku. Kadang-kadang dalam ghairah untuk membantu, tersentuh dengan rayuan atau permintaan mereka yang memerlukan panduan, aku tersasar juga. Maafkan aku atas kekhilafan itu.

Yang penting bukan niatku untuk mengaibkan sesiapa. Kisah-kisah tersebut telah aku olah semula supaya insan lain jadikan pedoman, tidak mengulangi kesilapan dan semoga pahalanya Allah sampaikan kepada para pembaca budiman.

Jangan lupa bahawa kisahku sendiri turut ku kongsi. Kadang kala terlalu peribadi tapi aku rela demi rujukan dan pedoman. Jangan tak tahu bahawa beberapa orang pembaca blog ini merupakan kenalan dan rakan-rakan lamaku yang dapat meneka siapakah aku. Cuma mereka tidak berani mengesahkan 100% bahawa AHP adalah aku.

Kalau ditanyapun aku takkan mengaku. Biarlah mereka berteka teki. Biarlah rahsia! Hehe... Bahkan mungkin di kalangan pembaca adalah majikanku, majikan isteri-isteriku, rakan atau kenalan anak-anakku, saudara mara atau sesiapa sahaja.
       
Usah risau kehadiranku di sini mungkin tidak lama. Targetku cuma 1000 entry sebelum memperlahankan rentak atau mengundur diri. Entry selamat tinggal telahpun tersedia jika secara tiba-tiba aku tidak lagi berdaya atau terpaksa pergi menyahut panggilan Ilahi. Aku mahu hadiahkan 1000 entry ini menjadi 1000 kuntuman bunga yang kutinggalkan untuk semua.

Tidak, aku tidak berputus asa tetapi aku sangat realistic. Ramai yang tidak tahu bahawa, seorang doctor muda pernah mengatakan bahawa hayatku mungkin sekitar 2,3 tahun sahaja lagi kerana dianggap suspek multiple myeloma. (baru suspek tetapi doctor tersebut dah tergamak berkata begitu kepada aku)  

Apabila aku didiagnos HIV positif dan dikatakan mampu hidup seperti biasa (insya-Allah), perkara positif pertama yang aku pelajari ialah ianya merupakan bonus berganda kepadaku.

Masih jelas di fikiran ketika terbaring di High Dependency Ward (HDW) kerana suspek denggi berdarah, aku memohon diberikan-Nya peluang memperbaiki diri dan Alhamdulillah doa-doaku Allah makbulkan. Sebab itu apabila aku disahkan hiv positif, aku buat sujud syukur…
  
Tiada seorang pun tahu termasuk isteri-isteri dan anak-anakku (sekarang mereka dah tahulah sebab aku dah buat pengakuan di sini) bahawa sejak aku disahkan HIV positif, daripada takut kepada kematian perlahan-lahan akhirnya aku menjadi rindu pada kematian.

Kadangkala aku betul-betul rindukannya (tolong jangan kaitkan dengan niat membunuh diri) dan berdoa semoga aku dianugerahkan sebaik-baik pengakhiran (husnul khatimah). Aku redha bila-bila masa sahaja kerana aku sudah menempuh pelbagai perkara indah dalam hidupku.

Setelah aku tiada, aku yakin hanya Allah sebaik-baik Penjaga dan Pemelihara. Semoga segala dosa-dosaku diampunkan. Semoga terpelihara segala aib, maruah dan semoga ujian-ujian ini tidak merosakkan iman kami sekeluarga terhadap-Nya.

Walaupun begitu, selagi kesempatan diberi, aku akan terus menyemai kuntuman bunga untukku hadiahkan kepada sesiapa sahaja yang sudi menerimanya di sepanjang perjalanan. Demi segala-galanya yang Allah pinjamkan dan demi keluarga tercinta, aku mahu hidup seribu tahun lagi berkongsi saat-saat indah bersama mereka.  Itu tanda syukurku kepada-Nya.

Kepada yang prejudice dan sinis terhadap semua pembawa HIV, ini jawapan rasmiku, "No retreat no surrender!"