Saturday, April 30, 2011

HIV TERUS HANTUI DUNIA.



IBU insan paling istimewa di dunia. Bukan saja kerana beliau perlu melalui kegembiraan dan kesukaran ketika hamil dan menjalani proses bersalin, sebaliknya atas dedikasi hidupnya dalam mendidik dan menjaga anak-anak, demi memastikan jiwa, emosi serta kesihatan tubuh badan berada dalam keadaan sihat sempurna.

Bagaimanapun Wakil Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) ke Malaysia, Youssouf Oomar, berkata realiti perlu dihadapi dunia hari ini ialah peningkatan jumlah ibu yang hidup dengan HIV, tetapi pada masa terpaksa membesarkan anak yang masih kecil.

"Kira-kira 15.5 juta wanita kini hidup bersama HIV dengan separuh daripada semua golongan dewasa pula hidup bersama virus. Kebanyakan daripada wanita ini sudah menjadi ibu, dan ada antara mereka sudah membesarkan jutaan kanak-kanak.

"Mengambil epidemik yang semakin meningkat itu, generasi ibu dan anak-anak akan datang, sudah pasti paling merasai keperitan itu," tegas Youssouf yang juga Wakil Khas Unicef ke Brunei.

Di Malaysia, gambaran membimbangkan mengenai virus itu ialah bilangan jangkitan HIV di kalangan lelaki mahupun wanita membabitkan jurang yang besar.

Kementerian Kesihatan dan Unicef dalam laporan 'Wanita dan Kanak-kanak Perempuan: Konfrontasi Antara HIV dan Aids di Malaysia' mendedahkan jangkitan HIV di kalangan wanita meningkat secara mendadak, dengan 1.2 peratus jumlah keseluruhan kes baru pada 1990 ke 10.8 peratus pada 2004.

Pada Disember 2008, data mendapati pembahagian jangkitan baru di kalangan wanita berbanding lelaki turut meningkat kepada 19 peratus.
Youssouf berkata, punca utama kepada krisis berkenaan ialah ketidaksamaan gender yang secara tidak langsung menyebabkan wanita lebih berisiko dijangkiti HIV.

"Sekiranya dibandingkan dengan lelaki, wanita lebih tidak mampu untuk mengawal tubuh badan dan kehidupannya," katanya.

Bagaimanapun kelainan berkenaan sebenarnya memberikan pengaruh lebih besar, dibandingkan dengan sekadar perhubungan seksual. Ini kerana apabila wanita bergantung sepenuhnya terhadap kewangan lelaki, mereka mempunyai risiko lebih terus, iaitu penderaan kuasa.

Keganasan serta layanan juga membataskan kebolehan wanita untuk melindungi diri mereka daripada dijangkiti HIV. Malah wanita mungkin berdepan risiko keganasan sekiranya berkeras meminta perlindungan.

Wanita mungkin hidup dalam 'perhubungan yang ganas' kerana merasakan anaknya memerlukan bapa dan disebabkan perasaan itu, besar kemungkinan wanita sanggup memenuhi keinginan lelaki untuk melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan, walau mengetahui bahaya menanti.

Sebaik dijangkiti HIV, wanita berdepan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran yang boleh mengganggu kemampuannya untuk terus mendapatkan rawatan diperlukan.

Dalam keadaan tertentu, wanita khususnya, mungkin dipersalahkan pula kerana membawa HIV ke dalam isi rumah dan paling malang sekiranya ia mungkin berakhir dengan lebih serius apabila dijauhi anggota ahli keluarga, termasuk suami sendiri.

KEHILANGAN IBU UMPAMA TRAGEDI BAGI ANAK

BAGAIMANAPUN kanak-kanak sebenarnya yang menanggung beban berat ekoran penderitaan kehidupan ibu yang dijangkiti HIV.

Ibu dijangkiti, tetapi tidak menyedari mengenai status HIV pula menanggung risiko memindahkan virus berkenaan kepada anaknya ketika tempoh kehamilan dan kelahiran.

Tanpa penjagaan sebelum dan selepas kelahiran, satu pertiga daripada kanak-kanak lahir bersama ibu yang hidup dengan HIV boleh dijangkiti virus itu.

Walaupun kanak-kanak berkenaan lahir sebelum ibu mereka dijangkiti, dan disahkan sebagai HIV negatif, status kesihatan wanita terbabit akan semakin menurun. Selalunya keadaan itu menyebabkan berlakunya pertukaran tanggungjawab yang di mana kanak-kanak pula memainkan peranan menjaga ibu yang sakit kerana tahu ibu mereka akan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Youssouf berkata, selain masalah emosi, kehilangan ibu pada usia muda bagi kanak-kanak mendatangkan kehancuran yang tidak dapat dimaafkan oleh si kecil.

"Kehilangan ibu satu tragedi bagi si cilik. Malah kematian ibu menafikan kehidupan semula jadi zaman kecilnya, pengasuh utamanya, selain memberi kesan berbahaya yang teruk kerana tidak mendapat akses pendidikan dan penjagaan kesihatan. Ramai kanak-kanak yang hidup tanpa ibu juga mempunyai masalah emosi," katanya.

Laporan Kawalan Mengenai Kanak-kanak dan Aids UNAids dan Unicef 2008 menganjurkan banyak boleh dilakukan seperti melakukan ujian HIV ke atas ibu hamil dan memberi mereka peluang mendapatkan penjagaan serta rawatan.

Ujian untuk si ibu seharusnya menjadi keutamaan kerana ia memberikan kesan langsung ke atas kesihatan kandungan. Rawatan untuk ibu ketika kehamilan dan kelahiran pula akan membantu mengurangkan jangkitan HIV ke atas bayi.

SIMPAN JANJI KITA KEPADA KANAK-KANAK

SEMENTARA itu, Youssouf berkata, jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan ialah pendidikan.

"Didik wanita bagaimana mencegah daripada dijangkiti HIV, melewatkan aktiviti seksual dan mengambil langkah melindungi kesihatan diri sendiri. Lelaki juga perlu diberikan pendidikan supaya mereka menerima pesanan melindungi wanita daripada terus dijangkiti.

"Sebagaimana kita mendakap Konvensyen Hak Kanak-kanak 20 tahun lalu, janganlah kita melupai janji memberi komitmen memastikan kanak-kanak hidup bebas daripada HIV dan kesan buruk jangkitan," katanya.

Strategi untuk menangani HIV, rawatan dan khidmat sokongan untuk wanita dan gadis mesti diteruskan ke dalam pelan dan bajet AIDS kebangsaan, dan menjadi rujukan kepada semua Strategi Pembangunan Kebangsaan. Langkah ini seharus diperluaskan ke peringkat masyarakat, komuniti masyarakat, dan sebagainya.

Hari Ibu pada 10 Mei diikuti rapat dengan Hari Keluarga Antarabangsa pada 15 Mei. Bersama tema tahun ini, 'Ibu dan Keluarga: Cabaran mendepani perubahan dunia' bagaikan satu peringatan dan cabaran kepada kita semua untuk bangun bersama wanita dan kanak-kanak.

"Sekiranya bertindak sekarang, kita mampu melindungi lebih banyak gadis dan wanita daripada terus dijangkiti, mendapat sakit atau menderita akibat AIDS. Justeru kita perlu berganding tangan menjayakan misi dan matlamat, kita mampu mengotakan janji kita kepada kanak-kanak," katanya.


Sumber: sini