Tuesday, April 26, 2011

HIV- INGATAN SEBELUM MEMULAKAN RAWATAN HAART

Apabila mula menjalani rawatan HAART, antara perkara yang sangat penting ialah mematuhi jadual pengambilan dan memilih masa yang sesuai.

Memandangkan rawatan HAART perlu diambil tepat setiap 12 jam, pilihlah masa yang paling bersesuaian dengan diri sendiri. Sebagai contoh, aku pilih pukul 9 pagi dan 9 malam. Pilihan ini diambil setelah mendapat pandangan daripada beberapa orang teman pembawa HIV yang lebih berpengalaman.

Rasionalnya, jika kita menetapkan pengambilannya semasa waktu puncak (katakanlah pukul 8 pagi dan 8 malam), berkemungkinan kita sering terlewat mengambil HAART. Pagi akibat kesibukan untuk memulakan kerja, terperangkap di jalanraya dan sebagainya. Malam pula mungkin kerana saja baru pulang kerja, masih di masjid dan urusan-urusan lain.

Untuk meminimakan risiko terlupa mengambil HAART, salah satu cara terbaik ialah set masa dan aktifkan alarm hand phone. Masa tidak boleh ditukar sesuka hati tanpa nasihat doktor.

Sentiasa bawa bekalan air kosong untuk keperluan mengambil HAART. Setidak-tidaknya bekalan air kosong mesti ada berdekatan atau di dalam kenderaan masing-masing. Individu yang rapat dengan pembawa HIV pula sangat penting berperanan sebagai reminder.

Jika perlu melakukan perjalanan jauh seperti ke luar negara, balik kampung atau melancung, anggaplah HAART seperti international passport atau lesen memandu anda. Ianya mesti dibawa. Keperluan mengambil HAART mengikut jadual adalah mandatory.

Gagal mematuhi disiplin dan aturan pengambilannya boleh meningkatkan risiko virus resistant terhadap HAART. Segeralah berbincang dengan doktor anda jika keadaan tersebut berlaku.

Tertekan kerana rutin pengambilan HAART?

Usahlah risau. Positif dan jangan terlalu memanjakan diri. Terimalah hakikat bahawa kita memerlukan rawatan tersebut sebagai satu usaha untuk menjaga kesihatan. Dos yang diberikan adalah berdasarkan kajian, justification  serta testimonial secara professional.

Bandingkan situasi anda dengan pesakit-pesakit kronik lain yang lebih menderita di luar sana. Mereka sangat tabah dan survive. Masalah HIV cuma stigma. Stigma masyarakat dan stigma dalam diri sendiri. Ramai pembawa HIV telah membuktikan bahawa mereka mampu hidup seperti biasa.


Minda AHP:

Selalu juga pembaca bertanya, apakah sebenarnya pilihan utama rawatanku? Sebenarnya dalam entries yang lepas aku pernah menjelaskannya.  

Banyak pihak memperkata dan mempertikaikan tentang keberkesanan serta kesan sampingan HAART. Malahan apa juga kaedah perubatan moden turut jadi pertikaian tetapi apakah alternative yang mereka cadangkan? Jika ada bagaimana dengan justification dan testimonial?

Sama ada perubatan alternative atau modern, masing-masing ada ‘naga’ yang menunggu peluang atau menjadi dalang. Umat Islam perlu bangkit menjadi pelopor sehebat Ibnu Sina, Al-Razi dan Al-Zahrawi bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah.

Doctor hanya mampu mencadangkan rawatan. Pilihan di tangan sendiri. Aku menghormati pilihan masing-masing. Berusahalah kerana yang menyembuhkan hanya Allah. Yang penting jangan berputus asa.

Secara peribadi aku selesa dengan rawatan complementary (modern & Islamic and herbs) kerana itu cara yang aku yakin. Kalau ada pilihan yang terbukti berkesan, siapa yang mahu menjadikan dadah kartel itu sebagai ubat? Ini cuma pendapat dan aku bukan pakar. Wallahu a’lam!