Friday, July 01, 2011

HIV- SOLAT ADALAH SUMBER KEKUATAN MENENTANG VIRUS


Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi,
Sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah, kita telah diperintahkan untuk mengabdikan diri kepada Nya pada setiap masa dan ketika. 

Malah inilah sebenarnya tujuan utama kewujudan kita dan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi oleh Allah. Firman Allah bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Al-Zariyat : 56 )

Memperhambakan diri dengan melaksanakan segala kewajipan sepatutnya menjadi satu kemestian kepada setiap umat Islam.

Ia perlu dilakukan dengan penuh ketekunan, kesabaran dan juga dengan istiqamah demi mendekatkan diri kepada Allah, selain dari mengharapkan ganjaran daripadaNya.

Sama ada kita insan berdosa atau mulia, tujuan mendekatkan diri pada Allah, sewajarnya menjadi satu tekad dan keazaman kepada setiap orang yang beriman.  Sebagaimana maksud Firman Allah:
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-An’am :162)

Selain sebagai satu kewajiban, ibadah-ibadah yang disyariatkan ke atas umat Islam mempunyai terlalu banyak nilai positif dan manafaatnya bagi yang melaksanakannya.

Solat adalah TIANG agama. Ibadah solat bukan sahaja lambang pengabdian tetapi dapat meningkatkan kekuatan rohani kerana penuh dengan doa dan syifa’. Ianya dapat mengembalikan keyakinan diri.

Rohani yang mantap membantu meningkatkan imunisasi fizikal dan mengukuhkan kekuatan mental termasuk menentang bisikan syaitan yang sentiasa membolak balikkan hati semasa berdepan dengan setiap ujian Allah.

Dengan bersolat, kita dapat memperkukuh minda dan kesegaran tubuh badan. Ini kerana solat menuntut agar setiap muslim berdisiplin, menjaga kebersihkan rohani dan jasmani serta bersemangat dalam menghadapi kehidupan dengan lebih bermakna.

Rasulullah SAW melalui sunnahnya juga telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat perlu dilakukan dengan tegap dan dalam posisi yang lurus. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan yang tenang dan tidak kelam kabut.

Bermakna, selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah tubuh badan harian yang tersusun. Memberikan kerehatan jiwa dan juga kecergasan jasmani.

Sahabat-sahabatku pembawa HIV yang dikasihi,
Dengan menunaikan ibadah solat lima waktu juga  akan menanamkan dalam hati tentang kesedaran adanya pengawasan, rahmat dan kebesaran Ilahi yang sentiasa menyayangi kita.

Manusia menjaga tetapi hanya Allah yang Maha Menjaga dan Memelihara. dan hanya Allah yang mampu menyembuhkan kita. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku." (Surah al-Syu'ara: 80)

Menurut riwayat Abu Daud:
Apabila Rasulullah s.a.w. mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, baginda saw akan berkata kepada Bilal: 
Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan solat.”

Jelas di sini bahawa ibadah solat turut memberikan kita kekuatan kerohanian, mental dan fizikal serta menjadikan kita seorang yang lebih positif berdepan ujian.

Tidak ada kejayaan dan  kemenangan pada diri kita selagi kita tidak mengubah diri kita. Sesungguhnya solat dan doalah sumber kekuatan sebenar. Yang dapat menghindari diri daripada berburuk sangka terhadap Allah dan perkara-perkara yang merosakkan keimanan.

Semoga dengan benar-benar menghayati ibadah solat, kita para pembawa HIV akan menjadi masyarakat contoh dalam menghargai segala didikan Allah.

Sesungguhnya kita insan istimewa dipilih Allah untuk menerima segala teguran dan didikanNya dan usahlah bertangguh kerana esok lusa belum tentu kita berpeluang dan mampu menunaikan segala ibadah sama seperti insan lain.

Akhir kata, marilah teman-temanku. Marilah kita mendirikan solat kerana inilah sumber utama kekuatan kita. Amin Ya Rabbal Alamin.


Ada yang bertanya, apakah perkara yang paling aku takutkan setelah didiagnos HIV+?

Satu-satunya perkara menakutkan aku hanyalah jika tidak cukup tabah dan redha menghadapi ujian Allah sehingga merosakkan keimanan terhadapNya. Lain? Lain tak ada. Berilah apa saja, insya-Allah aku redha kerana apa lagi yang lebih hebat selain mendapat keredhaanNya?