Ramai yang bertanya, kenapa aku tidak kongsikan berita terkini kehidupanku seperti biasa?
Ermmm… memang beginilah fasa baru blog AHP. Entry peribadi hanya bila betul-betul perlu seperti semasa aku menghadiri temujanji dengan Dr. Iskandar dan perkara-perkara yang difikirkan bermanafaat untuk dikongsikan.
Kenapa? Kerana hampir segala-galanya telahku ceritakan sebelum ini. Kerana kisah hidupku terlalu biasa-biasa saja. Tiada apa-apa yang menarik. Aku sedang menjalani kehidupan normal seperti insan lain. Medan perjuangan ‘underground’ ku di sini membantu rakan-rakan senasib dan mereka yang memerlukan.
Urusan harianku sekadar berkisar tempat kerja, proses memuhasabah diri dan ‘memberi’ sekadar yang termampu. Aku selesa dengan caraku. Privasi dan sendiri.
Masalah dan cabaran?
Sudah tentu ada. Sama seperti pembawa HIV yang lain aku punya kerisauan dan menghadapi cabaran-cabaran tertentu. Hidup tanpa masalah dan cabaran tidak bermakna.
Ada bermacam-macam cabaran tapi manusia mana yang hidup tanpa masalah? Aku takkan izinkan virus ini memusnahkan kehidupan. Aku takkan biarkan ujian yang begitu begini menjadikan aku resah dan berputus asa. Sudah tentu tidak!
Perkara yang paling menyeronokkan ialah aku kini mampu kembali ke surau dan masjid. Bayangkan hampir 7 bulan aku tidak bergaul dengan ahli kariah disebabkan virus ini kecuali untuk bersolat Jumaat.
Bayangkan selama 7 bulan aku hilang tiba-tiba. (Akibat HIV pula tu….) Aku hanya menunaikan solat berjemaah bersama family dan hanya mewakilkan mereka jika ada jemputan kenduri kendara di peringkat kariah.
Kenapa? Di peringkat awal kerana aku kebingungan, keliru dan tidak tahu bagaimana mahu menghadapi semua dugaan ini. Selain itu kesan Bone Marrow Biopsy turut menyebabkan aku tak selesa duduk lama-lama.
Walaupun nampak aktif berblog, kononnya mampu memberikan sokongan terhadap rakan-rakan lain, aku sebenarnya tenggelam dalam resah yang panjang. Setiap nasihat dan dorongan sebenarnya adalah untuk mengingatkan diri sendiri. Pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah kesihatanku menyebabkan aku semakin tertekan.
Memangpun selama ini aku seorang yang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Apabila ditimpa dengan ujian ini, semua isu perbualan di sekelilingku dirasakan terlalu ringan. Mereka bergembira sedangkan aku berdepan dengan ‘virus maut’ yang penuh stigma, diskriminasi dan judgmental.
Terlalu ingin berkongsi tetapi bagaimana? Terlalu rindukan kegembiraan seperti dulu tetapi bagaimana?
Seterusnya kesan-kesan sampingan rawatan HAART turut menghalangku berada bersama masyarakat. Bengkak bibir, ulcer, ruam teruk, rasa ‘lalok’ dan sebagainya yang aku kongsikan sebelum ini menghalang niatku.
Kadang-kadang seperti terasa-rasa ahli kariah memanggilku hadir bersama mereka dan mendoakan kesihatanku. Terasa-rasa gemaan hadiah doa dan alfatihah di cuping telingaku sehingga menitiskan air mata.
Alhamdulillah aku kini mampu kembali. Masa depanku biarlah Allah yang tentukan. Selagi berkesempatan, aku mahu jalani hidup dan terus ‘memberikan’ sesuatu sebagai hadiah setelah ketiadaanku. Aku mesti rebut kesempatan dan peluang yang Allah berikan.
Pertama kali kembali ke surau, terasa sangat malu dan rendah diri. Aku tekadkan hati bahawa aku lakukan Lillahi Taala. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Apabila melihat senyum kegembiraan dan riak ceria di wajah para jemaah menyambut kehadiranku, terasa aku memiliki kembali kekuatan yang telah lama hilang.
Sekurang-kurang aku berusaha untuk ‘pergi’ dalam keadaan mengingati Allah bukannya sebagai seorang pengecut atau terus lalai dalam maksiat setelah diberi didikan yang sangat berharga ini. Sangat indah rasanya bersama seisi keluarga berada dalam jemaah.
Cuma ada jugalah sedikit sebanyak masalah penyesuaian diri. Contohnya, aku tidak lagi sentiasa berupaya menjadi ‘imam’ solat kerana aku cepat kepenatan sedangkan mereka asyik suruh. Duduk lama-lama mendengar ceramah & tazkirah boleh melemahkan pinggangku. Yang penting, aku buat setakat yang termampu.
Selain daripada itu, (agaknya sebab mereka nampak aku ‘sihat’), mulalah mereka ajak aku macam-macam. Jemput hadir mesyuarat badan khairat kematianlah, gotong royong membersih kuburlah dan sebagainya. Sedangkan aku bukanlah selarat manapun.
Katakan sebelah pagi aku ok, tengahari nanti mungkin aku terasa sangat kepenatan. Tengahari aku kepenatan tetapi mungkin malam nanti aku cergas. Hari esok terasa sihat, lusa mungkin aku terasa lemah-lemah badan. Belum betul-betul konsisten. Masih yoyo… walaupun ada tanda-tanda semakin positif.
Serba salah juga dibuatnya dan setakat ni aku masih belum mampu lasak-lasak sangat. Masih perlukan sedikit masa untuk melawan virus ini. Apa-apapun kena sabar dan insya-Allah lama kelamaan masalah tersebut akan dapat diatasi.
Jadi kepada rakan-rakan yang aku janji dan setuju begitu begini tetapi jika sampai masanya aku tak mampu tunaikan janji tersebut, fahamilah, orang tua ini masih dalam proses menyesuaikan diri dan berjuang. Mungkin ketika itu berdepan masalah tetapi sengaja tidak diperbesar-besarkan.
Akhir kata, alhamdulillah aku tetap bahagia walaupun ada HIV. Tolong doa-doakan…
p/s- Kami tinggal di kampung bersempadan dengan bandar tetapi masih tebal nilai kekampungannya. Sekarang musim buah kat kampung. Makcik Nab hadiah 3 biji durian, Pak Ngah Shuib pula hantar 4 biji, Cu Dollah sedekah seplastik besar manggis, Kak Aini beri seplastik buah kuinin, Abang Li kirim sebesen ikan sungai dan Aki Bilal kasi 1 tupperware besar tempoyak baru.
Aku sepatutnya pantang dan jaga diet sebab ada diabetes tapi semua tu makanan kegemaranku. Habis benda dah depan mata, aku pejam mata jelah. Seperti biasa, masa nak telan aku teringat muka Dr. Iskandar, masuk je mulut aku lupa… alamak, lupa lagi!