Saturday, July 16, 2011

PENCARUM YANG MENGIDAP AIDS BOLEH KELUAR KWSP UNTUK KOS RAWATAN

KUALA LUMPUR: Pesakit Aids dan 15 penghidap penyakit lain dibenar mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun Dua di bawah Pengeluaran Kesihatan bagi mengurangkan beban membayar kos rawatan perubatan, berkuatkuasa hari ini.

Penyakit lain adalah pulmonari obsruktif kronik teruk (COPD), bronkiektasis, fibrosis paru-paru, apnoea tidur obstruktif, radang usus kronik, kalkuli ginjal memerlukan intervensi pembedahan serta abnormaliti urinari kongenital memerlukan intervensi pembedahan segera dan major.

Turut dibenarkan membuat pengeluaran menerusi skim KWSP itu adalah penyakit sklerosis sistematik dengan hipertensi pulmonari, limfoma, talesemia major memerlukan agen pengkelat, pemindahan sel stem hematopoetik serta tiga penyakit mental iaitu skizofrenia, mood bipolar dan kemurungan major.

Tambahan 16 penyakit itu dimasukkan ke dalam senarai penyakit kritikal selepas Faedah Pengeluaran Kesihatan dikaji semula yang menyaksikan peningkatan daripada 39 kepada 55 jenis penyakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, berkata di bawah Pengeluaran Kesihatan, ahli boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun Dua bagi membayar kos rawatan perubatan penyakit kritikal untuk diri sendiri atau keluarga termasuk pasangan, anak, anak tiri atau anak angkat yang sah, ibu bapa, ibu bapa mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah serta adik beradik.

KWSP turut membenarkan ahli membeli peralatan bantuan kesihatan untuk merawat penyakit kanser, kardiovaskular, sistem respiratori, sistem saraf, sistem muskuloskeletal dan telinga.

Senarai penyakit kritikal terkini yang diluluskan dan senarai peralatan bantuan kesihatan serta maklumat lanjut mengenai cara memohon Pengeluaran Kesihatan boleh diperoleh dengan melayari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my selain menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 atau mengunjungi cawangan berdekatan.

FAKTA: Tambahan 16 penyakit kritikal

1.      AIDS
2.      Pulmonari obstruktif kronik teruk (COPD)
3.      Hipertensi pulmonari sekunder
4.      Bronkiektasis
5.      Fibrosis paru-paru
6.      Apnoea tidur obstruktif
7.      Penyakit radang usus kronik
8.      Kalkuli ginjal memerlukan intervensi pembedahan
9.      Abnormaliti urinari kongenital memerlukan intervensi pembedahan segera dan major
10. Sklerosis sistemik dengan hipertensi pulmonari
11. Limfoma
12. Talesemia major memerlukan agen pengkelat
13. Pemindahan sel stem hematopoetik
14. Skizofrenia
15. Mood bipolar
16. Kemurungan major

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tambahsakitkronik_/Article/index_html