Thursday, July 07, 2011

LAWATAN KERJA KE MAJLIS AIDS MALAYSIA

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jakim telah mengadakan lawatan kerja ke Majlis AIDS Malaysia (MAC) diketuai Y.Bhg. Tn. Hj. Ghafani bin Awang Teh, Pengarah Bahagian Kesuma diiringi Y.Bhg. Us Zakuan Sawai, Ketua Penolong Pengarah, Caw. Pembangunan Sosial dan barisan pegawai-pegawai Caw. Pembangunan Sosial dari Bhg. Kesuma, Jakim.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat korporat MAC oleh En. Bakhtiar Talhah, Ketua Pegawai Eksekutif MAC dengan dibantu oleh En. Parimelazhayan Ellan, Eksekutif Bhg. Kebajikan Dan Khidmat Sokongan MAC dan En Jasmin Jalil, Eksekutif Bhg. Advokasi MAC.

Majlis AIDS Malaysia mula ditubuhkan pada 1992 atas inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha menangani penularan HIV/AIDS yang mula dikesan sejak 1986. Turut ditubuhkan Yayasan AIDS Malaysia bagi penyelarasan sumbangan badan korporat. MAC merupakan organisasi induk badan-badan bukan kerajaan berkaitan isu HIV/AIDS di Malaysia.

Sesi taklimat turut melibatkan penerangan Pelan Strategik MAC 2008-2010 yang memberi fokus kepada lapan isu utama iaitu: Advokasi, Pembangunan Organisasi, Injecting Drug Users (IDU), Wanita, Remaja, Men Sex With Men (MSM), Pelacur (Pekerja Seks) serta Transeksual, dan Rawatan serta Kebajikan Sokongan.

Objektif lawatan adalah bagi mewujudkan penyelarasan serta perkongsian kepakaran antara Jakim dan MAC di samping meningkatkan jalinan kerjasama perlaksanaan program yang telah terjalin selama ini. Rombongan Jakim turut diberi penerangan mengenai program Pertukaran Jarum Dan Alat Suntikan atau Needle & Syringe Exchange Programme (NSEP) yang dilaksanakan oleh MAC dalam usaha membendung penularan HIV/AIDS dikalangan kumpulan sasar terutama pengguna dadah terlarang.

NSEP ialah program nasional yang diselaras dan dibiayai oleh kerajaan Malaysia dengan penglibatan pelbagai Agensi Kerajaan dan badan bukan kerajaan diterajui Kementerian Kesihatan Malaysia. Program ini juga merupakan salah satu usaha pendekatan pengurangan kemudaratan (Harm Reduction) serta program terapi gantian iaitu methadon.

Perbincangan mengenai program-program kerjasama yang bakal dilaksanakan kelak oleh Jakim dan MAC turut diselaraskan. Lawatan kerja ini diakhiri dengan jamuan tengahari dan penyampaian cenderamata daripada Pengarah Bahagian Kesuma, Jakim kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAC.



AHP: Aku memang mengalu-alukan sikap positif yang ditunjukkan oleh mana-mana Jabatan Agama dan NGO’s Islam yang semakin sedar dengan tanggungjawab ini.