KUALA LUMPUR: “Saya ingat lagi bagaimana tujuh adik-beradik saya sanggup datang dari kampung ke sini semata-mata ingin menyelamatkan saya. Ketika itu hospital tidak ada simpanan darah yang saya perlukan.”
Demikian kata Suhairi Zahari, 33, ketika berkongsi detik cemas mengenai peristiwa yang hampir meragut nyawanya sendiri ketika menghidap penyakit denggi berdarah, enam tahun lalu.
“Saya memerlukan banyak darah akibat diserang penyakit berbahaya itu. Mujurlah keluarga sanggup datang dari Gerik, Perak untuk menderma darah bagi menyelamatkan saya. Malah, ada antara mereka turut pengsan disebabkan kekurangan darah selepas menjalani proses berkenaan.
“Disebabkan peristiwa itu, saya datang ke sini untuk menderma darah. Saya mengalami saat getir berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan darah. Saya berharap dengan cara ini, saya boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain seperti mana yang pernah saya alami dulu,” katanya.
Suhairi salah seorang yang hadir menderma darah di Hospital Pantai sempena kempen Hari Derma Darah Sedunia di hospital itu, baru-baru ini. Niat murni Suhairi turut dikongsi Sahrudin Sokri, 35, yang sudah lebih 13 kali menderma darah.
“Selain dapat membantu orang lain yang memerlukan darah, saya juga dapat menjaga kesihatan diri. Badan terasa ringan selepas menderma selain dapat menghasilkan darah baru bagi menggantikan darah lama. Kita tidak tahu esok lusa, mungkin orang yang memerlukan bekalan darah itu adalah keluarga kita sendiri, siapa tahu.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah ketika menderma. Malah, masalah berat badan meningkat yang sering dikaitkan dengan aktiviti ini juga tidak pernah dialami,” katanya.
Bagi Rosni Jaly, 34, pengalaman kali pertama menderma darah cukup mendebarkan. Namun, dia yang ditemani sahabatnya, Harizan Derani, 43, memberanikan diri datang menderma darah.
“Sebelum ini saya sangat takut kerana bimbang ia menyakitkan. Tapi sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana rasa sakit hanya sikit dan sekejap saja.
“Malah, rasa gembira dan seronok kerana dapat melakukannya dan akan menderma lagi. Saya juga menggalakkan anak menderma darah kerana ia satu perkara yang baik,” katanya.
Sebanyak 80 peket darah dikumpulkan dalam program yang mendapat kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) itu.