SOALAN
SAYA baru saja memulakan pekerjaan di Kuala Lumpur dan ada rakan lelaki bernama S. Kami kenalan lama dan menjadi lebih rapat selepas menghadiri kursus anjuran syarikat.
Perhubungan kami bermula apabila S meminta nombor telefon sewaktu kursus dan sejak itu kami mula berbalas mesej. Hubungan kami terjalin dengan baik hinggalah S mula menunjukkan perubahan yang membabitkan seksual iaitu onani.
S memberitahu dia terlalu naif mengenainya dan sering dipersenda rakan sekerjanya kerana dikatakan terlalu kolot. Saya tanpa mengesyaki menerangkan kepadanya dan sebagai lelaki, mengaku ada melakukannya.
Alangkah terkejutnya saya apabila S mula berani meminta sesuatu lebih daripada itu iaitu inginkan kami melakukan seks oral. Pada mulanya saya berat hati dan marah padanya apatah lagi S memberitahu dia pernah membayangkan saya sewaktu melakukannya.
Bagaimanapun, saya tewas dengan pujukan S dan kami melakukannya semasa saya tinggal di hotel kerana dihantar bertugas. Saya tegaskan pada S inilah kali pertama dan terakhir kami lakukannya.
Janji tinggal janji apabila kami terus ketagih untuk mengulanginya meskipun jauh di sudut hati rasa jijik melakukannya dan sedaya upaya berhenti. Iman kami lemah meskipun saya tegaskan pada S tidak mahu melakukannya lagi.
Sekarang saya sudah berpindah ke tempat kerja baru tidak terlalu jauh dari rumah S. Ini sangat merisaukan saya kerana S setiap hari mengajak saya datang ke rumahnya.
Saya tidak mahu dan berikan alasan sibuk tapi tidak logik juga jika menggunakan alasan itu setiap minggu. Saya datang juga dan kami lakukan hubungan itu. Saya ketagih untuk dibelai meskipun sebenarnya rasa jijik.
Saya serba salah kerana S selalu mengeluarkan belanja dan melayan saya seperti seorang kekasih. Dia sangat mengambil berat dan menjadikan saya sangat terhutang budi padanya.
Baru-baru ini, saya beritahu S sudah jatuh hati pada seorang wanita namun dia tinggal di selatan. Saya beritahu S tidak mahu lagi lakukan perkara terkutuk itu kerana takut rahsia kami terbongkar.
S sedih dan dia dapat menerima penjelasan saya cuma masih mengharapkan hubungan kami sebagai kawan diteruskan selain masih sudi melakukan perbuatan itu biarpun jarang-jarang.
Saya buntu apatah lagi hubungan jarak jauh dengan teman wanita sangat berisiko. Ini memberi kebebasan kepada saya untuk terus melakukannya dengan S.
Saya kini juga semakin keliru dengan identiti saya dan takut sebenarnya saya tidak menyintai teman wanita. Hubungan saya dengan S juga sudah semakin jauh hingga kami sudah sampai peringkat hampir melakukan hubungan seks.
Apa yang perlu saya lakukan? Kalau boleh saya tidak mahu mengabaikan S kerana kasihan padanya. S memberitahu hidupnya sunyi dan banyak masalah keluarga. Saya pernah bertanya pada S adakah dia gay namun menafikannya. Dia hanya mahukan seorang teman baik saja.
Bagaimana saya ingin lari daripada masalah ini? Saya takut menghadapi masa depan.
Tertekan,
Kuala Lumpur.
JAWAPAN
DIRI adik terpenjara dengan pelbagai konflik. Diikat dengan perasaan kasihan, (keseronokan) melakukan aktiviti seksual bersama S serta suka ditaja dalam menikmati kesenangan hidup. Pada masa sama, perasaan berlawanan seperti berasa jijik dengan aktiviti seksual dan keinginan menjalani kehidupan normal begitu jelas sekali memerangkap adik.
Walaupun adik bersama S melakukan aktiviti seks, tetapi perasaan sayang adik terhadap S tidak wujud. Malah adik berasa jijik apabila seolah-olah dipaksa melakukan aktiviti itu hanya kerana terhutang budi. Apabila banyak keinginan berlaku serentak, apatah lagi kehendak berlawanan, tentu sekali adik berada dalam kebuntuan kerana jalan bersimpang-siur.
Untuk adik keluar daripada perasaan simpang-siur ini, adik perlu membuat pilihan dalam hidup. Pilihan yang dibuat perlu memihak kepada adik kerana ini adalah persoalan diri adik, bukan orang lain, terutama S. Dalam membuat pilihan, tentunya banyak perkara perlu dikorbankan dan akan kehilangan. Yang jelasnya, adik tidak boleh mendapat semua perkara dalam waktu yang sama.
Buatlah keputusan terbaik. Satu cara terbaik untuk tidak terbabit dengan aktiviti seksual dengan S, ialah membuang perasaan kasihan kepadanya serta jarakkan perhubungan. Ia bukan soal mengabaikan S, tetapi apa yang adik inginkan. Satu pandangan mengatakan antara cara paling mudah untuk membuang tingkah laku yang menjurus kepada aktiviti homoseksual ialah lari daripada hubungan homoseksual itu. Agama melarang aktiviti homoseksual.
Adik rasa kehilangan banyak perkara seperti keseronokan melakukan aktiviti seks, ditaja percuma. Namun, adik akan mendapat lebih banyak keuntungan dari aspek lain. Contohnya, dapat membina hubungan normal dengan wanita dengan perasaan yang jelas. Adik juga dapat membina kehidupan berkeluarga sama seperti kawan-kawan adik yang lain. Lelaki yang bermaruah ialah lelaki yang berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan keringatnya sendiri.
AHP: Aku bukan bermaksud memperlekehkan rakan-rakan gay tetapi sekadar ingin mengajak para pembaca berfikir bahawa sebenarnya dalam beberapa situasi masalah ini dapat dielakkan jika pemuda ini tidak terlalu naïf dalam membuat keputusan. Beliau terbukti dilahirkan sebagai lelaki tulen, tanpa apa-apa naluri semulajadi terhadap aktiviti homosexual pada asalnya. Beliau bukannya remaja belasan tahun, tidak diperkosa tetapi kalah dengan bisikan nafsu sendiri. ‘Kasihan’ katanya...