Saturday, July 16, 2011

ANCAMAN HEPATITIS B


PETALING JAYA: Kira-kira 80 peratus penghidap kanser hati di negara ini sukar dirawat berikutan gagal menjalani pemeriksaan kesihatan awal selain mengambil mudah kesan penyakit merbahaya itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, biarpun kanser hati boleh dicegah dan dirawat, sikap sambil lewa ditonjolkan masyarakat hari ini cukup membimbangkan.

“Hepatitis B sangat mudah berjangkit dan kebanyakan orang tidak sedar mereka membawa virus berkenaan kerana tidak mengalami simptom jelas.

“Orang ramai perlu tahu pesakit yang menderita hepatitis B kronik bakal berdepan masalah perubatan serius termasuk masalah hati seperti sirosis, kanser, kegagalan organ dan kematian awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘9th Liver Update - Hepatobiliary Medicine - Charting The Course’ di Sunway Resort Hotel and Spa anjuran Malaysian Liver Foundation di sini, semalam.

Menurutnya, selain hepatitis B pihaknya juga bimbang dengan peningkatan jumlah individu yang mengalami masalah hati berlemak.

“Keadaan ini terjadi akibat amalan gaya hidup tidak aktif dan pemakanan tidak sempurna masyarakat di Malaysia.

“Jika obesiti atau kegemukan di kalangan rakyat negara ini terus mencatatkan peningkatan, ia secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa masalah hati berlemak meningkat,” katanya.

Sementara itu, Liow turut menasihatkan orang ramai memastikan pengambilan air mencukupi bagi menjamin kesihatan ketika keadaan cuaca tidak menentu dan jerebu.

“Ketika Julai hingga September keadaan cuaca biasanya tidak menentu dengan panas dan hujan diikuti masalah jerebu hasil pembakaran terbuka di negara jiran,” katanya.