Mungkin ada yang berbisik menyatakan bahawa lorong kotor dan jijik lagi hamis jangan didekati. Ia penuh dosa, noda dan makhluk jahat yang akan menarik hamba bertaqwa untuk bersama-sama bersekongkol dengan Si Taghut. Tetapi, mereka yang diselaputi mindanya dengan bayangan keruh itu terlupa, di lorong itu ada insan cipaan Illahi yang mendambakan bantuan untuk melepaskan diri dari bencana agar dapat mentaqarubkan diri kepada Pencipta.
Rentetan dari kepercayaan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus berani berkubang bersama para peserta Bengkel Fasilitator Manual Islam & HIV AIDS Peringkat Negeri Kelantan ke lorong-lorong gelap untuk mendekati penghuninya. Penghuni yang hidup dengan pelbagai fantasi hingga langit ke tujuh, bergelumang hidup dengan najis dadah dan amat mengharapkan ada insan yang bercita-cita memimpin mereka untuk keluar membebaskan diri. Itulah sebahagian daripada nukilan peristiwa yang berlangsung sepanjang Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam & HIV/ AIDS Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung pada 21 hingga 24 Mai yang lalu.
Bengkel yang mensasarkan peningkatkan kefahaman dan kesedaran pemimpin agama berkenaan masalahan HIV/AIDS di dalam masyarakat itu bukan sekadar telah memecahkan tembok konkrit fahaman kurang tepat peserta mengenai HIV/AIDS, akan tetapi ia telah mendapat perhatian akhbar. Ini dapat dilihat melalui liputan yang diberikan oleh akhbar-akhbar perdana di negara kita seperti News Staits Times, The Star, Utusan Malaysia dan Kosmo yang mampu menarik pembaca sehingga 309,904.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Tuan Haji Othman Bin Mustapha, dalam ucapan perasmiannya, bengkel yang diadakan ini merupakan salah satu langkah JAKIM bagi membawa semua pihak berkerjasama menghadapi permasalahan HIV/ AIDS di negara kita. Ini kerana tanpa kerjasama daripada semua pihak JAKIM tidak akan mampu mencapai matlamat yang disasarkan. Hadir bersama di dalam majlis perasmian tersebut adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Hussein dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan Bin Rahim Khan.
Melalui Bengkel tersebut para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengetahuan berkenaan HIV/ AIDS. Ini dapat dilihat melalui sesi pembelajaran yang disampaikan oleh barisan penceramah pakar berkenaan bidang Islam dan HIV/ AIDS antaranya, Datuk Mahamud Abdul, Datuk Zaman Khan, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman dan lain-lain lagi. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada barisan kepimpinan agensi-agensi agama di Negeri Kelantan telah menyertainya.
AHP: Isu lain yang sering diabaikan, betapa silapnya kita menghukum mereka sedangkan mereka punya isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang tidak berdosa. Tergamakkah ditambah penderitaan insan-insan yang tidak berdosa ini dengan hinaan dan cercaan mebuta tuli?