Jakim sebagai Agensi agama tertinggi di Malaysia yang mengendalikan pengurusan Hal Ehwal Islam tidak terlepas dari tanggung jawab mengendalikan isu HIV/AIDS yang menular di kalangan umat Islam. Maka dua orang peserta dari Jakim, Ustaz Zakuan bin Sawai dan Ustaz Mohd Zaki bin Mat Salleh dari Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti telah diberi peluang menyertai persidangan ini.
Delegasi dari Malaysia diketuai oleh Prof. Dr. Adeeba Kamaruzzaman; Mantan Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC). Beliau juga merupakan Pengarah Bersama persidangan tersebut. Peserta dari Malaysia yang menyertai persidangan antara lain ialah, Datuk Zaman Khan; Presiden MAC, Encik Bakhtiar Talhah; Ketua Pegawai Eksekutif MAC dan Dr. Shaari bin Ngadiman; Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain daripada itu, terdapat juga peserta dari Malaysia yang mewakili Organisasi Bukan Kerajaan berkaitan HIV/AIDS yang berpusat di Malaysia dan Asia Tenggara menghadiri persidangan tersebut seperti Yayasan Pink Triangle, dan Jaringan Pekerja Seks Asia Tenggara.
Seramai 25,000 peserta dari seluruh negara dijemput menghadiri persidangan yang berlangsung selama 6 hari ini. Pendaftaran peserta/ delegasi dimulakan pada 17 Julai jam 12.00 tengahari hingga 8.00 malam, manakala perasmian persidangan di adakan pada 18 Julai pada jam 5.45 petang hingga 10.00 malam. Perasmian tersebut di sempurnakan oleh Presiden Austria; H.E. Dr. Heinz Fischer.
Pada persidangan yang diadakan selama 6 hari tersebut, pelbagai isu yang dibincangkan melalui seminar, bengkel, dan forum. Isu perjuangan hak asasi orang yang hidup dengan HIV/AIDS menjadi tema program pada kali ini iaitu “Right Here, Right Now” paling banyak diperbincangkan yang merangkumi: Hak kepada Akses Rawatan dan Kesihatan, Hak kepada Perundangan dan Hak untuk Bebas dari Stigma dan Diskriminasi.
Persidangan tersebut juga banyak berbincang serta bertukar pandangan mengenai pengalaman negara masing-masing dalam menangani HIV/AIDS. Harapan Jakim agar peluang sebegini akan diteruskan pada pertemuan-pertemuan yang seterusnya dan sebagai wakil agensi agama Islam, Jakim dapat memainkan peranan yang lebih tinggi dan meluas di dalam isu ini baik di dalam negara, mahupun di persada dunia.
Maklumat lanjut program sila layari: http://www.aids2010.org/
AHP: Aku memang seronok bila golongan agama menunjukkan kepekaan terhadap isu yang melibatkan lebih 70% daripadanya muslim. Akidah mereka perlu dijaga, diberikan bimbingan wajar kembali ke pangkal jalan dan menempuh ujian Allah. Jangan lupa ada mangsa atau keluarga yang tidak berdosa dan ini tuntutan Fardhu Kifayah yang sering diabaikan yang perlu kita jawab di akhirat kelak.