Wednesday, July 13, 2011

HIV & BONE MARROW BIOPSY (1)


7 Oktober 2010

Lebih kurang pukul 9:40 pagi (Khamis) aku disorong ke bilik rawatan. Sambil-sambil menunggu doktor, aku cuba tenangkan diri. Perasaan bercampur baur. Berbekalkan maklumat yang aku google di internet dan melalui perkongsian pengalaman peribadi beberapa orang yang pernah melaluinya, aku cuba kuatkan hati. Video prosedur bone marrow biopsy yang aku tonton di youtube berlegar-legar di fikiran.

“Sekejap je, kalau kanak-kanak dan perempuan mampu tempuh, takkan aku tak mampu. Apalah sangat sakit ni berbanding ibu-ibu yang bersalin”. “Orang yang patah tulang tu lagilah teruknya, ditariknya tulang yang patah mentah-mentah”, aku pujuk diri sendiri.

Tidak lama kemudian, 5 orang doctor tidak termasuk jururawat mula memasuki bilik. Hanya ada seorang doctor lelaki berbangsa Cina dan seorang pegawai (juga lelaki) dari makmal. Beberapa kantung platelet dan plasma tersedia kerana aku berkemungkinan berdepan dengan masalah pendarahan.

Oksigen dilekatkan ke hidung dan aku disuruh meniarap. Doctor cuba menenangkan aku tetapi apabila melihat muka doctor pelatih yang muda-muda, aku cuak dengan pengalaman mereka. Suka atau tidak, aku sudah tiada pilihan. Persetujuan telah ditandatangani. Sampai sekarang aku tidak faham kenapa aku dikerumuni seramai itu.

Rasa malu dan serba salah kerana terpaksa mendedahkan punggung tidak terkira tetapi aku tidak sempat memikirkannya. Sesekali aku jeling peralatan, ya Allah... ngerinya. Macam bentuk screwdriver besarpun ada dan aku tahu itulah yang akan ditusuk ke punggungku!


Ketika itu isteriku masih sempat memerhati dari luar.

Pintu bilik ditutup. Doctor menyapu iodine dan menutup punggung dengan sehelai kain khas berbentuk 4 segi kecuali bahagian yang akan ditebuk. Kemudian doctor cina muda tersebut menanda bahagian kiri punggung dan bermulalah proses bius di bahagian yang akan ditebuk.

Aku tidak boleh dibius sepenuhnya kerana mempunyai masalah diabetes dan kata orang jika dibius penuh, ianya mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada kesan bius tersebut. Wallahu a’lam!

Bersambung...


AHP:

Jika anda seorang pembawa hiv, salah satu risiko jangkitan oportunistik ialah kanser. Untuk mengesahkannya, punca masalah tersebut boleh diketahui apabila ujian terhadap sample daripada ‘kilang penghasilan darah’ iaitu air sum-sum @ bone marrow biopsy dilakukan.

Pengalaman ini pernah aku kongsikan di sebuah laman web yang lain. Ketika itu aku belum didiagnos sebagai pembawa hiv tetapi sebagai suspek pesakit kanser dan semasa prosedur tersebutlah aku telah menjalani pemindahan darah. 

Ianya bukan bertujuan menakut-nakutkan sesiapa yang bakal menempuhi prosedur yang sama tetapi sekadar perkongsian pengalaman dan supaya kita sama-sama berfikir dan menghargai nikmat kesihatan yang Allah pinjamkan.

Semua perkongsian ini berdasarkan perspektif dan pengalaman peribadi aku sebagai pesakit, bukannya sebagai pengamal perubatan.