Thursday, July 14, 2011

‘HOTEL’ GELANDANGAN


KUALA LUMPUR: “Ada yang datang untuk memohon kad pengenalan, ada juga meminta bantuan kewangan bagi membiayai majlis perkahwinan.

“Peranan kami membantu, tetapi tak sangka ada pula yang salah faham,” kata Pegawai Operasi, Anjung Singgah, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Ahmad Daniel Pui Abdul Rahim Pui.

Menurut Ahmad Daniel Pui, Anjung Singgah berfungsi sebagai pusat rujukan untuk membantu golongan yang ‘tersepit’ di ibu kota termasuk tidak mempunyai tempat tinggal dan memerlukan pekerjaan, selain masalah kebajikan untuk dirujuk kepada agensi berkaitan.

Antara agensi terbabit termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Sejak beroperasi April lalu hingga pertengahan Jun lalu, seramai 155 orang mendaftar masuk ke Anjung Singgah dan daripada jumlah itu hanya 11 kes dirujuk ke JKM manakala selebihnya ingin mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal.

Ahmad Daniel Pui berkata, berdasarkan statistik berkenaan seramai 70 penginap mendapat pekerjaan termasuk dalam bidang pengedaran, perkilangan, sektor keselamatan, restoran dan katering.

“Kami sentiasa mengemaskini senarai pekerjaan bagi membantu golongan gelandangan yang mahu membaiki kehidupan mereka terutama lelaki berusia 19 hingga 78 tahun.

“Anjung Singgah hanya menawarkan penginapan sementara kepada golongan berkenaan bukan selama-lamanya, paling maksimum dua minggu sebelum mereka mendapat kerja,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Anjung Singgah tidak menetapkan sebarang syarat dan bayaran terhadap individu yang memerlukan bantuan termasuk penginapan dan makanan, kecuali mengajukan kad pengenalan dan berkongsi masalah mereka.

Anjung Singgah yang terletak di Jalan Hang Lekiu, di sini, menawarkan tempat penginapan bagi 76 orang dalam satu-satu masa dan makanan disediakan tiga kali sehari sepanjang berada di situ.

Selain itu, Anjung Singgah menawarkan perkhidmatan kaunseling, sesi temuduga untuk mendapatkan kerja, seminar kesedaran dan bengkel pembinaan peribadi sebagai persediaan ke alam pekerjaan.

Selain membantu penginap sedia ada, golongan gelandangan di kaki lima turut diberi makanan percuma setiap Selasa, Rabu dan Sabtu, bermula jam 12 hingga 1.30 tengah hari dengan syarat mempunyai kad pengenalan.

Anjung Singgah turut mengalu-alukan masyarakat luar bandar yang gagal mencari kerja di ibu kota datang ke premis berkenaan untuk mendapat pertolongan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Anjung Singgah boleh melayari laman web www.ykn.gov.my atau hubungi talian 03-20260264 (24 jam).