Friday, July 15, 2011

PANDUAN SOLAT BAGI PESAKIT


Aku rasa terpanggil untuk menyediakan entri ini sekadar yang terdaya mengikut kemampuanku. Ianya daripada pemerhatian ketika aku berada di hospital.

Sebenarnya aku sedih bila melihat ramai pesakit yang masih mampu berjalan, berbual dan ketawa tetapi berani mengabaikan solat sedangkan ketika itu kita telah diberi peringatan melalui kesakitan yang dihadapi.

Barangkali mereka bukan tak mahu solat tetapi mungkin mereka tak tahu bagaimana mahu berwudhuk, bertayamum, solat duduk, solat jamak, bersuci dan sebagainya.

Kita yang melawat (terutamanya anak-anak) perlulah sentiasa ingatkan. Kalau kita pun tak tau, bertanyalah kepada orang-orang alim dan dapatkan maklumat. Kalau betul-betul sayang dan kasihan, bantulah mereka jaga kewajiban. Kalau yang koma tu, bisikkan ke telinga (a'ah ek, baru perasan, mestilah kat telinga. Mana ada orang bisik kat siku!) mereka:

“Abah, sekarang dah Zohor....” dan seterusnya. Yang penting ada kita cuba jaga fikiran mereka supaya sentiasa dalam tuntutan Islam.

Ingat ya, barangkali ketika itu mereka sedang bertarung dengan ajal. Sedang sakaratul maut dan iblis syaitan laknatullah sedang sibuk cuba memesong akidah dan iman. Bacakan ayat-ayat suci al-Qur’an, syifa’ dan berdoa. Janganlah sekadar berdiri dan merenung pesakit. Pakcik tak suka tau, mentang2 pakcik hensem...

Terdapat tatacara yang sangat mudah untuk pesakit menunaikan solat. Walaupun tanganku ketika itu hampir sepanjang masa dipasangkan dengan intravene (IV) atau ‘botol air’, tetapi Alhamdulillah aku tidak mempunyai masalah untuk menunaikan solat. Bahkan dalam beberapa keadaan, aku rasa lebih mudah kerana mempunyai ‘kelebihan-kelebihan’ tertentu sebagai pesakit.

Memandangkan ilmu aku tak tinggi, aku google sahaja maklumat ini melalui laman web JAKIM. Di situ terdapat panduan yang lengkap. Aku sertakan beberapa petikan soal jawab ringkas tentang permasalahan solat bagi seseorang pesakit.

Nak lebih jelas termasuk bagaimana mahu solat sambil duduk, baring dan sebagainya berserta gambar sila google sendiri link yang aku berikan di bawah. Paling tidak sebagai simpanan peribadi pada masa memerlukan.

Harap ianya dapat membantu dan mohon teguran demi penambahbaikan. Kalau ada link yang lebih menarik, sila kongsi-kongsikan. Tolong sebar-sebarkan maklumat ini.


SOALAN DAN JAWAPAN BERKAITAN TAYAMMUM DAN SOLAT PESAKIT

1. Soalan:
Bolehkah orang lain (ahli keluarga) yang mahram mentayammumkan pesakit? Dan bagaimanakah caranya?

Jawapan:
Diharuskan dan caranya ialah sama seperti bertayammum untuk diri sendiri. Pesakit hendaklah berniat tayammum ketika memindahkan debu ke muka.

2.Soalan:
Bolehkah bertayammum dengan cara menepuk (bukan tepuk, sebenarnya meletakkan telapak tangan) di meja atau di dinding dan di mana-mana tempat untuk bertayammum?

Jawapan:
Harus bertayammum jika terdapat tanah yang berdebu padanya.

3. Soalan:
Apakah hukum mengelap anggota wudhu’ dengan tujuan untuk bertayammum?

Jawapan:
Harus.

4. Soalan:
Adakah wajib menyapu dengan air di atas balutan anggota wudhu’ ketika hendak bertayammum?

Jawapan:
Wajib jika tidak mendatangkan kemudharatan

5. Soalan:
Bagaimanakah seorang berhadas besar hendak menunaikan solat, di mana ia disahkan oleh doktor tidak boleh terkena air?

Jawapan:
Wajib ia bertayammum bagi menggantikan mandi hadas besar dengan niat mengharuskan fardhu sembahyang.

6. Soalan:
Bagaimanakah caranya pesakit yang berhadas besar hendak mendirikan solat sedangkan salah satu anggota wudhu’nya berbalut dan tidak boleh terkena air?

Jawapan:
Wajib mandi dan bertayammum bagi menggantikan anggota yang tidak boleh terkena air dan wajib menyapu dengan air ke atas pembalut.

7. Soalan:
Adakah terangkat hadas besar dengan bertayammum sahaja disebabkan sakit? Adakah masih wajib mandi mengangkat hadas janabah setelah pesakit itu sihat?

Jawapan:
Terangkat hadas besar dengan bertayammum dan tidak lagi wajib mandi janabah apabila sihat. (Jawapan ini aku tidak clear sebab setahu aku wajib mandi hadas seperti biasa apabila telah mampu/ sihat)

8. Soalan:
Adakah pesakit boleh mendirikan sembahyang jamak?

Jawapan:
Harus pesakit tersebut menjamak solat taqdim atau ta’khir jika timbul masyaqqah (kesulitan) solat di waktunya.

9. Soalan
Bilakah waktu bertayammum untuk mendirikan solat fardhu?

Jawapan:
Bertayammum hendaklah dilakukan setelah diyakini masuk waktu solat.

10. Soalan:
Bolehkah pesakit mengambil wudhu’ dengan cara mengelap anggota wudhu’ menggunakan tuala yang basah?

Jawapan:
Tidak sah wudhu’ kerana air tidak mengalir.

11. Soalan:
Sahkah berwudhu’ dengan merenjiskan air atau menggunakan “spray” pada anggota wudhu’ ?

Jawapan:
Sah apabila air tersebut rata dan mengalir.

12. Soalan:
Bolehkah orang yang bertayammum mendirikan solat jamak?

Jawapan:
Harus solat jamak dengan syarat 2 kali tayammum.

13. Soalan:
Pada awal memindahkan tanah ke muka tidak berniat tayammum tetapi apabila hampir tangannya ke muka barulah dia berniat berkekalan sehingga sampai tangan kena muka. Sahkah tayammum?

Jawapan:
Maka sah pemindahan tersebut dan niat ketika itu.

14. Soalan
Apakah sah bertayammum dalam keadaan terbuka aurat?

Jawapan:
Sah.

15. Soalan
Pesakit yang berwudhu’ dan bertayammum kemudian dia solat fardhu. Wajibkah pesakit memperbaharui wudhu’ dan bertayammum sekiranya dia tidak berhadas kecil?

Jawapan:
Tidak wajib dia mengulangi wudhu’ tetapi wajib mengulangi tayammum sahaja.

16. Soalan
Bagaimana cara mandi wajib dan tayammum bagi anggota yang sakit?

Jawapan:
Boleh mandi dahulu kemudian bertayammum atau sebaliknya.

17. Soalan
Adakah wajib tertib pada membasuh anggota wudhu’ dan tayammum bagi menggantikan membasuh anggota yang sakit?

Jawapan:
Wajib tertib dalam erti kata tayammum perlu dilakukan ketika membasuh anggota yang berkenaan.