My Best Doctor, Dr. Iskandar Firzada bin Osman.
Lebih kurang seminggu sebelum bekalan Combivir dan Kaletra habis, aku menghantar SMS kepada Dr. Iskandar untuk memaklum situasi tersebut. Aku berpendapat kerjasama pembawa HIV dengan doktor dalam soal berkaitan sangat penting sebagai langkah awal untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya masalah terputus bekalan HAART atau ketiadaan doctor akibat komitmen tertentu.
Tambahan lagi Kaletra tidak dibekalkan di KK berkenaan seperti yang pernah aku kongsikan di sini. Aku bergantung kepada budi bicara, kerjasama dan pertolongan Dr. Iskandar serta Pegawai Farmasi KK berkenaan untuk mendapatkannya di Hospital Negeri.
7 Julai 2011 (Petang khamis) aku ditemani isteri sampai di KK tersebut dan tidak lama menunggu, terus dijemput masuk oleh Dr. Iskandar sendiri.
Seperti biasalah, Dr. Iskandar akan memantau tekanan darah tinggi, bacaan gula, berat badan dan sebagainya.
Alhamdulillah semuanya bagus bahkan bacaan gula yang aku ambil sendiri pada waktu pagi (Fasting Blood Sugar) bacaannya cuma 5.8 mmol/l. Target yang Dr. Iskandar mahu ialah sentiasa di bawah 7 mmol/l.
Aku juga nampaknya berjaya menurunkan sedikit lagi berat badan. Jadi tiada apa-apa keperluan penambahan ubat atau dose setakat ini.
Aku juga mengadu tentang sakit-sakit otot tertentu yang aku alami lebih seminggu sebelum ini (juga aku telah kongsikan dalam entry sebelum ini) dan Dr. Iskandar tidak menganggapnya sesuatu yang serius dan berkemungkinan besar kerana cara kerjaku yang bergerak aktif atau terlalu lama mengadap PC. Maksudnya aku perlukan rehat.
Antara perkara yang aku tanyakan kepada Dr. Iskandar dalam sesi kaunseling kali ini ialah:
1. 1. Adakah warna air kencing yang keruh sejak mengambil Kaletra adalah normal atau menunjukkan symptoms kepada penyakit-penyakit tertentu?
Dr. Iskandar berpendapat ianya normal kerana beberapa ubat tertentu seperti ubat TB akan menyebabkan urine berwarna kemerah-merahan. Ini adalah petanda kepada pengamal perubatan yang menunjukkan bahawa pesakit benar-benar mematuhi jadual pengambilan ubat. Walau bagaimanapun masalah tersebut dapat dikurangkan dengan meminum air kosong dengan jumlah yang banyak.
2. 2. Adakah jika aku menjalani urine test, aku akan didapati positif heroin, morfin dan sebagainya kerana HAART adalah kombinasi dadah kartel?
Tidak kecuali beberapa jenis ubat tahan sakit (paint killer pills). Jadi kalau ada pembawa HIV yang mendakwa urine mereka positive heroin atau morfin akibat HAART, berkemungkinan dakwaan tersebut palsu.
3. 3. Adakah kesan sampingan Kaletra yang menyebabkan perutku tidak selesa akan kekal atau semakin berkurangan dan hilang?
Ya, sepatutnya begitu tetapi ketidakselesaan tersebut bergantung juga kepada jenis-jenis pemakanan yang aku ambil.
4. 4. Adakah benar pembawa HIV tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Apakah yang didefinisikan sebagai kerja berat?
Lemah badan bergantung kepada daya tahan imunisasi individu seperti CD4 dan jumlah virus. Jika mengambil HAART secara teratur, budaya hidup dan pemikiran yang positif, pemakanan yang sihat dan senaman, sepatutnya masalah tersebut tidak timbul. Pembawa HIV bebas melakukan apa saja aktiviti.
5. 5. Untuk reconfirm pertanyaan yang sama sebelum ini: Adakah aku boleh berpuasa kerana ianya melibatkan jadual pengambilan HAART?
Tidak ada masalah kepada pengambil HAART untuk berpuasa. Jadual pengambilan HAART yang sedikit berganjak dalam tempoh 2,3 jam sempena bulan Ramadhan tidak menjadi isu. Dr. Iskandar menerangkan rasional beliau dengan lebih terperinci seperti isi kandungan Combivir dan Kaletra yang dapat menangani masalah tersebut.
(Maaf, aku tak mampu terangkan secara terperinci kerana terlalu teknikal dan sila rujuk doctor masing-masing. Terpulang kepada pendapat mereka.)
Walau bagaimanapun aku yakin 100% dengan penjelasan Dr. Iskandar.
6. 6. Adakah bintik-bintik kecil hitam di kakiku sebagai tanda-tanda gangrene kepada pesakit diabetes?
Setelah meneliti keadaan kakiku dan bertanyakan beberapa soalan, Dr. Iskandar menyatakan ianya bukanlah petanda gangrene atau masalah berkaitan saraf. Ianya merupakan diabetes demonetization yang merupakan kesan yang biasa terjadi kepada kulit pesakit-pesakit diabetes.
7. 7. Adakah isteri-isteriku masih perlu menjalani ujian HIV lagi selepas ini walaupun aku sentiasa memastikan langkah pencegahan diambil semasa melakukan hubungan intim?
Terpulang kepada aku tetapi risiko jangkitan boleh dikatakan hampir sifar (doktor tidak boleh mengatakan terjamin 100%)
Jika aku menggunakan condom dengan betul dan mengambil HAART mengikut arahan, ‘termengandung’ sekalipun, risiko jangkitan virus terhadap isteri dan bayi adalah sangat-sangat rendah.
8. 8. Apakah Dr. Iskandar bersetuju dengan pandangan bahawa keputusan ujian HIV SELEPAS 3 bulan terdedah kepada jangkitan adalah konkrit?
Ya, bersetuju. Walaupun dalam sesetengah kes, kehadiran anti-body terhadap jangkitan boleh dikesan seawal 2 minggu selepas terdedah kepada risiko, screening test SELEPAS tempoh window period (3 bulan tersebut) adalah memadai kerana ianya sangat-sangat sensitive mengesan jangkitan.
Ujian selepas 3 bulan berikutnya hanyalah dilakukan atas permintaan mana-mana patient yang terlalu risau dan meminta untuk mengulanginya setelah diberikan kaunseling. (Maksudnya janganlah selepas 3 bulan ujian pertama masih melakukan aktiviti beriko! Tak aci bro...)
Ianya dianggap preliminary cautious kerana sekiranya berlaku human error atau machine error, para pengamal perubatan pula yang akan disalahkan.
Ujian-ujian lain seperti ELISA, Western Blot CD4 dan Viral Load hanya dilakukan atas keperluan rawatan jika telah disahkan HIV+ ATAU atas permintaan. (bagi yang menjalani ujian dengan pihak swasta)
Ok, itu saja kali ini. Selepas ini aku akan kongsikan info tentang Post-Exposure Prophylaxis (PEP) secara ringkas untuk makluman bersama. Semoga ada manafaatnya kepada semua pembaca.
Bagi pihak keluarga, aku sekali lagi merakamkan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Iskandar Firzada bin Osman dan seluruh KK beliau. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan dan keprihatinan beliau.
Doaku semoga Dr. Iskandar sekeluarga sentiasa berada dalam rahmat dan redhaNya.
Sebagai motivasi kepada doktor, bakal doktor dan kakitangan perubatan yang lain; aku mengenali beberapa orang pesakit kronik, pembawa HIV dan ahli keluarga mereka secara maya yang dirawat oleh Dr. Iskandar dan kesemuanya mengakui kebaikan dan memuji Dr. Iskandar tinggi melangit.
Adakah semua pengiktirafan tersebut boleh dicapai dengan mudah jika Dr. Iskandar tidak betul-betul menjalankan tugas beliau dengan professional, ikhlas dan amanah?
Sebagai manusia Dr. Iskandar pasti ada kelemahan-kelemahan tertentu tetapi kelemahan tersebut terlalu sukar dicari.
Mengenang kebaikan Dr. Iskandar seringkali membuatkan air mataku mengalir dan mengucapkan syukur dipertemukan doktor sebagus beliau. Aku tahu ramai yang tidak begitu bernasib baik seperti kami di luar sana.