Thursday, June 16, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (6) / TUKAR LAGI KOMBINASI HAART…

My Best Doctor: Dr. Iskandar Firzada bin Osman


Sebelum baca perkongsian ini, elok klik sini supaya segalanya menjadi lebih jelas.

10 Jun 2011 (Jumaat)

Ringkas cerita, selepas 2 minggu hanya menelan Combivir sahaja, akhirnya Dr. Iskandar memaklumkan bahawa stok kombinasi HAART yang terbaru telah sampai ke Klinik Kesihatan (KK) tempat aku menerima rawatan.

Pagi Jumaat itu aku ditemani isteri-isteriku bertolak ke sana. Kali ini aku bercadang supaya mereka menjalankan Ujian HIV kali kedua setelah 6 bulan aku didiagnos positif. Walaupun mengambil semua langkah pencegahan dan percaya mereka bebas HIV tetapi aku masih terdapat sedikit keraguan dengan tempoh reaktif ujian antibody mereka yang pertama.

Ujian kali kedua ini sangat penting bagi aku kerana selepas ini insya-Allah aku lebih yakin mereka selamat.

Kenapa kena tunggu sampai 2 minggu?
Pertama kerana Dr. Iskandar mahu aku betul-betul pulih daripada kesan sampingan (drug rash) akibat Efavirenz tempoh hari. Kedua kerana stok HAART yang bakal beliau cadangkan (KALETRA) tidak dibekalkan di peringkat KK.

Sepatutnya KALETRA perlu diambil di Hospital Besar Negeri sebab kosnya sangat mahal dan terkawal. Itu pun nasib baik Dr. Iskandar bersusah payah tolong usahakan untuk aku.

Bermakna rawatanku sepatutnya dipindahkan ke Hospital Besar Negeri tetapi kali ini masih dapat bertahan kerana Dr. Iskandar menyokongku. Aku memohon jasa baik Dr. Iskandar memanjangkan rayuanku kepada pihak Hospital Negeri dan semoga ianya dipertimbangkan.

Mendapatkan rawatan dengan doktor baru satu cabaran besar bagi aku sekeluarga. Asas kepercayaan aku terhadap Dr. Iskandar sudah cukup tinggi.  

Selagi hayatku ada dan selagi Dr. Iskandar bertugas di KK tersebut, biarlah aku meneruskan rawatan bersama beliau. Bukan bermaksud menafikan kelebihan doktor-doktor yang lain tetapi  ianya memungkinkan aku terdedah dengan banyak tekanan yang sukar aku jelaskan di sini. 

Disebabkan aku mengalami alahan teruk dengan kombinasi 2 NRTI + 1 NNRTI rawatan HAART, kali ini Dr. Iskandar memaklumkan bahawa aku perlu menukar kombinasi kepada 2 NRTI + 1 PI (Protease Inhibitor) iaitu KALETRA yang aku nyatakan tadi.

Setiap botol KALETRA yang mengandungi 120 biji, harganya ialah RM 1250. Tiada yang generic seperti kombinasi HAART sebelum ini. Anggaran sebiji kosnya RM 10.40 sen. Perlu ditelan 2 biji setiap 12 jam bersama Combivir.  Besar pula tu. Bayangkan bila dicampur kos Combivir setiap bulan.  

Pening tentang NRTI, NNRTI dan PI? Tak mahu buat researchlah tu. Disebabkan ianya memang agak complicated, tak apalah kali ni aku cuba terangkan. Baca pelan-pelan, cuba fahamkan betul-betul. Lepas ni kalau tanya lagi, jawapan aku, “sila cari maklumat dalam entries lama.”

NRTI ialah Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors. NNRTI ialah Non-Nucleoside Transcriptase Inhibitors. PI pula ialah Protease Inhibitor atau perencat protease. Ntahlah, aku pun tak pandai nak terjemahkan istilah farmasi dengan tepat, kau orang bukalah dictionary kejap.

Kombinasi 3 atau lebih ubat antiretroviral ini sebenarnya ‘dadah koktel’. Ianya terbukti berkesan untuk meningkatkan CD4 dan mengurangkan virus sehingga kurang 50 copies (seperti seolah-olah tiada HIV) dalam tubuh pembawa HIV.

Kalau aku katakan 2 NRTI dan 1 NNRTI tu maksudnya:
2 NRTI ialah kombinasi Combivir iaitu Lamivudine 150 mg dan Zidovudine 300 mg. (Dalam 1 tablet)
1 NNRTI pula sama ada Nevirapine atau Efavirenz 200 mg. (1 lagi tablet) Kalau tak faham juga tanya pakar. Itu sahajalah kemampuan aku menjelaskannya.




Okay, kita sambung cerita.

Setelah dipanggil masuk, seperti biasa Dr. Iskandar akan memantau keadaan kesihatan aku seperti memeriksa tekanan darah, suhu, bacaan gula, memeriksa mulut dan tekak serta berat badan. Beliau akan menasihatkan dan mencadangkan apa-apa yang patut untuk memastikan tahap kesihatan aku di tahap yang terbaik.

Alhamdulillah suhu dan tekanan darahku dalam keadaan baik. Bahkan ujian mandatory terhadap fungsi hati selepas 2 minggu pengambilan HAART yang lepas menunjukkan keputusan yang memuaskan. Fungsi buah pinggang dan bacaan kolestrol aku pun bagus. Hah, bayangkanlah keistimewaan pembawa HIV, seolah-olah sentiasa buat full medical check-up. Kalau kat swasta, bukan sedikit kosnya tu. 

Masalahnya cuma bacaan HBA1C (purata bacaan gula dalam darah aku selama 3 bulan) ialah 7.8 mmol/l . Sebagai pengidap diabetes aku sepatutnya kawal HBA1C  aku di bawah paras 7 mmol/l sebelum mengambil KALETRA kerana antara kesan sampingannya adalah ketidakseimbangan paras gula dalam darah dan kolestrol.

Target berat badan ideal aku pun masih jauh. Susah betul kawal diet walaupun terdapat sedikit penurunan. Maklumlah awak orang kampung. Sejak kecil diajar makan makanan berat. Pagi-pagi lagi dah makan nasi sejuk kerana perlukan banyak tenaga untuk pergi menoreh, menebas, ke sawah atau ke huma.

Macam manapun aku tak ada pilihan kecuali kawal gula betul-betul. Kalau tidak Dr. Iskandar akan beri ubat tambahan. Tak sanggup… sekarang pun dah bergenggam ubat aku telan setiap hari tak termasuk supplement food.

Doktor Iskandar juga mengingatkan aku bahawa aku perlu menjalani ujian darah semula pada bulan September nanti untuk semak bacaan CD4 dan Viral Load. Semoga ianya akan menunjukkan result yang baik, insya-Allah. Tolong doa-doakan ya…

Sesi kaunseling yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Dr. Iskandar memberi peluang aku meluahkan apa juga masalah dan pertanyaan. Info tentang ini aku ringkaskan sahaja sebab aku kepenatan untuk menaip. Antaranya:

1.   Adakah isteri-isteri saya perlu menjalani semula ujian HIV selepas 6 bulan?

Dr. Iskandar bersetuju dan alhamdulillah keputusan kedua-duanya adalah negative. Jadi terbuktilah aku baru dijangkiti HIV.

2.   Apakah punca CD4 dan virus yang menyebabkan saya sering kepenatan yang melampau?

Dr. Iskandar memaklumkan bahawa itu berkemungkinan berpunca daripada kesan sampingan HAART sebelum ianya betul-betul bertindak ataupun akibat kandungan gula (diabetis) yang tinggi.

3.   Kenapa setiap individu yang melakukan ujian HIV menunjukkan memerlukan tempoh reaktif antibody yang berbeza?

Jawapan beliau, klik sini. Kepada yang nampak susah sangat nak faham tu, baca jangan tergopoh-gapah atau sekadar scanning and skimming.  Rasional. Lapangkan dulu fikiran, baru boleh faham. Jangan terlalu fikirkan masalah sendiri je bro…

4.   Apa jenis makanan yang patut dihindarkan untuk kurangkan kesan sampingan HAART?

Makanlah apa sahaja asalkan fresh, berkhasiat dan jika tiada apa-apa alahan.

5.   Adakah pembawa HIV boleh hamil?

Risiko jangkitan ibu pembawa HIV kepada anak adalah anggaran 30% tetapi jika mereka mengambil HAART risiko jangkitan adalah hampir tiada. (Tapi jangan tak pakai condom bro… maksud aku kalau-kalau termengandunglah)

Itu sahaja perkongsian pengalaman kali ini. Masih terlalu awal untuk aku kongsikan kesan sampingannya. Jika perlu, insya-Allah akan aku kongsikan nanti. Kesan sampingan luaran tidak pernah menggentarkan aku. Sakit sikit-sikit tu biasalah. Sacrifice! Aku lebih bimbang tentang kesan sampingan terhadap kandungan gula, kolestrol, fungsi hati dan sebagainya.  

Selain itu aku betul-betul berharap kombinasi HAART aku kali ini berjalan lancar. Aku bimbang jika pihak Hospital Negeri meminta rawatanku dipindahkan ke  sana disebabkan isu kawalan KALETRA yang aku katakan tadi. Bagi aku itu sekadar masalah birokrasi.


AHP: Kepada kawan-kawan yang mempelawa aku joint facebook, aku mohon maaf kerana aku memang tidak ada akaun facebook. Entah kenapa sejak dulu aku tak berminat tentang facebook. Terima kasih atas jemputan.