Tuesday, June 21, 2011

GOLONGAN MAKNYAH PERLU DIDEKATI BUKAN DISISIH


Ketua Penolong Pengarah Sosial, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zakuan Sawai, berkata golongan mak nyah perlu dibantu membina semangat baru yang positif dan keluar daripada kepompong membelenggu hidup mereka.

Katanya, golongan itu perlu ditarik untuk kembali kepada ajaran agama melalui pendekatan yang sesuai kerana bukan mudah meninggalkan kebiasaan dan tidak mungkin mereka bersedia melakukan perubahan secara drastik.

“Mereka perlu dilayan dengan penuh kasih sayang, pujukan rohani yang lembut sehingga usaha ini mampu mendekatkan diri kepada Allah dan meninggalkan kegiatan mereka secara perlahan-lahan. Mereka sedih dianggap sampah masyarakat kerana terjebak kerja maksiat,” katanya.

 Beliau yang ditemui ketika Program Mukhayyam Bersama Mak Nyah di Agro Resort Semuji, Kuantan, berkata usaha perlu dilakukan supaya golongan mak nyah tidak rasa terpinggir dan membuka jalan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Seramai 30 mak nyah sekitar Pahang menyertai program empat hari anjuran KSK JAKIM dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia (MAC), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dagang Halal dan Drug Intervention Community (DIC) Pahang.

Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya merentas hutan, merentas halangan, memanjat tembok, tarian poco-poco, ceramah HIV/AIDS, peluang kerjaya, motivasi diri, tayangan video serta slot menyelami diri bersama fasilitator.


Sumber asal: Berita Harian.

Terima kasih kepada,
http://sayurlemak.blogspot.com/2011/05/dari-berita-hariangolongan-maknyah.html