Sebelum ini saya pernah berkongsi pengalaman dengan pembaca tentang keadaan abang yang disahkan HIV positif.
Kini, setelah enam bulan abang disahkan positive HIV, berbagai dugaan telah abang tempoh. Walaupun abang yang berdepan dengan cabaran sebenar tetapi sebagai isteri, saya melihat sendiri bagaimana abang menghadapi situasi tersebut. Terus-terang saya kagum dengan semangat yang telah abang tunjukkan.
Mula-mula dahulu, memanglah agak sukar bagi abang untuk menerima kenyataan memandangkan abang bukanlah golongan yang berisiko untuk dijangkiti.
Nak dijadikan cerita masuk hospital katanya atas sebab demam denggi. Bila keluar dari hospital ditakdirkan menanggung penyakit yang berbeza dan merbahaya akibat daripada kecuaian pihak hospital.
Cubalah bayangkan, masuk hospital untuk sembuh tetapi sakit yang dapat. 3 liang doktor tebuk tulang sum-sum kononnya untuk kesan penyakit itu ini tetapi tak tahu apa satupun hasil kecuali kesakitan. Saya melihat sendiri beberapa peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku di hospital daerah kami dan di Hospital Ampang.
Pada peringkat awal mendapat jangkitan dulu memang agak susah untuk abang menghadapinya. Mungkin abang keliru dan tidak dapat menerima berita itu. Kebetulan berita tersebut pula diterima dengan cara yang tidak menyenangkan.
Sewaktu berita tersebut disampaikan, saya ada bersama abang dan diminta oleh doctor untuk keluar seketika. Rasa berdebar ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Walaupun menunggu di luar bilik, saya masih dapat mendengar nada doctor tersebut menyampaikannya.
Sebagai isteri saya sendiri memanglah ada kebimbangan tersendiri tetapi sangat risau akan penerimaan abang terhadap penyakit tersebut. Saya juga risau bagaimana abang akan menghadapinya memandangkan masyarakat kita masih beranggapan penyakit tersebut adalah berpunca daripada amalan yang tidak baik.
Dalam masa yang sama abang sangat lega apabila kami bebas HIV. Abang kata tak mengapa abang menanggungnya asalkan kami sekeluarga selamat.
Sedikit demi sedikit abang dapat menerimanya. Abang banyak membuat rujukan di internet. Berbagai maklumat tentang HIV dan AIDS dicari. Sesekali ada juga abang meragam tetapi sebagai isteri, kami kenalah faham akan keadaannya. Ada masa abang sangat tertekan dan menangis.
Pernah berlaku ketika abang mencari maklumat di internet, abang terus masuk ke bilik dan menangis teresak-esak. Setahu saya abang seorang yang sangat cool menerima apa saja ujian sebelum ini tetapi kali ini abang berbeza.
Abang menyatakan semakin banyak maklumat yang dibaca, abang semakin takut untuk menghadapi HIV. Saya pujuk abang supaya bijak menyaring segala maklumat. Alhamdulillah lama kelamaan abang dapat mencari kekuatan dan berjaya mengatasi keadaan tersebut.
Saya faham bukan mudah menerima berita tersebut ketika badan masih sihat dan abang cuma ada penyakit kencing manis. Kerana kekurangan maklumat jugalah kami tidak tahu bahawa pesakit kencing manis mempunyai imunisasi badan yang rendah dan mudah mendapat jangkitan melalui pemindahan darah.
Abang mahu ada sebuah blog yang menempatkan segala maklumat asas tentang HIV dikumpulkan, itu adalah antara matlamat abang. Abang mencari kekuatan dengan menulis blog dan kelihatan gembira apabila dapat membantu rakan senasib. Semakin lama abang semakin positif dan dapat menerima keadaan dengan lebih baik.
Abang sangat menjaga solat dan hubungan sesama manusia. Abang boleh bekerja seperti biasa, cuma kadangkala terpaksa cuti sakit bila perlu menghadiri temujanji doctor atau akibat kesan sampingan rawatan HAART. Bahkan abang lebih bersemangat menghadapi kehidupan dan lebih komited terhadap kerjaya.
Perbezaan ketara selepas disahkan HIV positif dan menjalani Bone Marrow Biopsy ialah abang cepat keletihan. Kalau dulu abang sangat aktif dengan landscaping, membersih keliling rumah dan kereta, kali ini abang mengaku kalah. Barangkali kesan virus di dalam tubuh abang. Contohnya kalau pagi abang cergas, tengahari belum tentu.
Abang mengadu keletihannya mungkin 3,4 kali ganda berbanding sebelum ini tetapi sekarang sedikit demi sedikit abang mula berjaya mengawal kesihatan dan keadaan. Tak mengapalah asalkan abang sihat.
Abang juga lebih menjaga soal pemakanan. Memilih makanan berkhasiat dengan kuantiti yang berpatutan adalah sebahagian daripada diet tetap abang. Setiap hari abang cuma bersarapan dengan susu diabetic dan oat atau roti kaya serat. Makan nasi beras tanpa kanji
Abang juga perlu rehat dan tidur yang cukup serta terpaksa mengelakkan kerja berat lebih daripada orang biasa. Berat badan abang juga agak menurun kerana doktor sentiasa memantau dan menasihatkan abang agar menurunkan berat badan hingga ke tahap yang ideal.
Selain itu, selepas mendapat rawatan di klinik dan mendapat jagaan yang sepenuhnya dari doctor, abang lebih gigih berusaha untuk menurunkan Viral Load dan menambahkan CD4. Berbagai makanan tambahan abang makan. Berbagai kesan sampingan telah abang hadapi semasa mengambil ubatan HAART, tapi abang sabar demi survive untuk sembuh.
Setakat ini memang abang sangat berdisiplin memakan ubat walaupun setahu saya dulunya abang seorang yang penakut makan ubat-ubatan hospital. Walaupun kelihatan muak, abang tetap makan ubat. Semoga kombinasi HAART terbaru mendatangkan hasil yang sepatutnya.
Alhamdulillah, sekarang abang kelihatan lebih segar dan bertenaga berbanding sebelum. Mungkin kombinasi ubat tersebut sesuai untuknya.
Doa saya agar abang terus positif dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Semoga kami terus bahagia di dunia dan akhirat. Semoga pengidap HIV positif tidak lagi didiskriminasi dan diterima sepenuhnya oleh masyarakat.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Doktor Iskandar dan para pembaca blog ini atas segala doa dan sokongan. Sokongan pembaca banyak membantu abang. Tidak ada apa yang merisaukan sangat menjadi pembawa HIV dan menjadi pasangan hidup mereka seperti kami asalkan bersikap positif.
Doa-doakanlah…