Kita sebagai makhluk-Nya wajib meyakini tentang qadha’ dan qadar Allah SWT sebagaimana terkandung di dalam rukun iman yang enam. Beriman kepada qadha’ dan qadar ertinya kita percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT telah menentukan tentang segala sesuatu bagi makhluk-Nya.
Di dalam Masyarakat Melayu kita istilah qadha’ dan qadar kadangkala disebut dengan “Takdir Tuhan” atau “Ketentuan Tuhan”. Kedua-duanya memberi maksud qadha’ dan qadar.
Berkaitan dengan qadha’ dan qadar, Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang itu diciptakan dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah, 40 hari menjadi segumpal darah, 40 hari menjadi segumpal daging, kemudian Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh ke dalamnya dan menuliskan 4 ketentuan, iaitu tentang rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya, dan (jalan hidupnya) sengsara atau bahagia.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dari hadith tersebut dapatlah kita ketahui bahawa nasib manusia telah ditentukan oIeh Allah Subhanahu Wata’ala sejak sebelum ia dilahirkan. Walau pun setiap manusia telah ditentukan nasibnya, ianya tidaklah bererti bahawa manusia hanya duduk diam menunggu nasib tanpa berusaha dan berikhtiar.
Walau apa pun keadaannya, manusia tetap berkewajipan untuk berusaha, sebab kejayaan sesuatu itu tidak akan datang dengan sendirinya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Ar-Ra’du ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain Dia.”
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain Dia.”
Berdasarkan ayat yang dibacakan tadi jelaslah bahawa setiap perkara yang berlaku merupakan ketentuan Allah SWT, namun hakikatnya manusia tetap diberikan peluang oleh-Nya untuk terus berusaha mengubah sesuatu keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik.
Kita harus yakin dengan sepenuh hati bahawa segala sesuatu yang terjadi pada diri kita, baik yang menyenangkan mahu pun yang susah adalah atas kehendak Allah SWT.
Kejadian bencana yang sering berlaku seperti banjir besar, gempa bumi, ombak besar Tsunami dan sebagainya hendaklah diterima dengan penuh keinsafan dan meyakini kesemuanya itu adalah ujian daripada Allah SWT.
Kita juga mesti meyakini bahawa di sebalik kejadian-kejadian itu ada hikmah yang amat bernilai, seumpama khazanah yang tersimpan di dalam perut bumi yang perlu digali untuk mendapatkannya.
Segelintir masyarakat kita pada hari ini menjadikan takdir dan ketentuan Tuhan itu sebagai alasan untuk malas berusaha dan berbuat kebaikan. Segelintir yang lain pula meletakkan kesalahan dan kejahatan yang mereka lakukan kepada takdir dan ketentuan.
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan seperti ini merupakan satu fitnah yang boleh menjejaskan kemuliaan agama Islam itu sendiri. Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya malas berusaha. Islam juga tidak pernah menyuruh umatnya melakukan sebarang bentuk kejahatan.
Pernah terjadi pada Zaman Khalifah ‘Umar bin Al-Khattab, seorang pencuri tertangkap dan dibawa ke hadapan Khalifah ‘Umar. Beliau bertanya:
“Mengapa engkau mencuri?” Pencuri itu menjawab: “Memang Allah sudah mentakdirkan saya menjadi pencuri.” Mendengar jawapan demikian, Khalifah ‘Umar pun marah lalu berkata: “Pukul sahaja orang ini dengan cemeti setelah itu potonglah tangannya.” Orang-orang yang berada di situ bertanya: “Mengapa hukumannya diberatkan seperti itu?” Khalifah ‘Umar menjawab: “Ya, itulah yang setimpal. Ia wajib dipotong tangannya sebab mencuri dan wajib dipukul kerana berdusta atas nama Allah”.
Di dalam sebuah kisah yang lain pada Zaman Nabi Muhammad SAW pernah terjadi di mana seorang Arab Badwi datang menghadap Nabi. Orang itu datang dengan menunggang kuda. Setelah sampai, ia turun dari kudanya dan terus menghadap Nabi, tanpa terlebih dahulu mengikat kudanya. Nabi menegur orang itu, “Kenapa kuda itu tidak engkau ikat?” Orang Arab Badwi itu menjawab: “Biarlah, saya bertawakkal kepada Allah.” Nabi pun bersabda: “Ikatlah kudamu, setelah itu bertawakkallah kepada Allah.”
Terdapat banyak hikmah yang amat berharga bagi kita apabila kita meyakini dan redha dengan sepenuhnya segala ketentuan Ilahi. Di antara hikmah tersebut ialah:
1. Melatih diri untuk bersyukur dan bersabar.
Firman Allah SWT. dalam Surah An-Nahl ayat 53:
“Segala nikmat yang ada kepada kamu, maka adalah daripada Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”
2. Menjauhkan diri dari sifat sombong dan putus asa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Muslim bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sebiji sawi dari sifat kesombongan.”
3. Memupuk sifat optimis dan giat bekerja.
Manusia tidak mengetahui takdir apa yang terjadi pada dirinya. Semua orang inginkan keberuntungan tetapi ianya tidak datang begitu sahaja. Ia haruslah diusahakan. OIeh sebab itu, orang yang beriman kepada qadha’ dan qadar sentiasa optimis dan giat bekerja untuk meraih kebahagiaan dan keberuntungan itu.
4. Dapat menenangkan jiwa. Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27 – 30 bermaksud:
“Wahai jiwa yang tenang!, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah engkau di dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia; dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
Sebagai orang beriman, kita harus redha menerima segala ketentuan Allah S.W.T. kepada kita. Di dalam sebuah hadith Qudsi Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang maksudnya:
“Siapa yang tidak redha dengan qadha’ dan qadar-Ku dan tidak Sabar terhadap bencana-Ku yang Aku timpakan atas-Nya, maka hendaklah mencari Tuhan selain Aku”. (Riwayat At-Thabrani).
Takdir Allah merupakan kehendak-Nya semata-mata. OIeh sebab itu takdir tidak selalu bersesuaian dengan keinginan kita. Tatkala takdir kita sesuai dengan keinginan kita, hendaklah kita bersyukur kerana hal itu merupakan nikmat yang diberikan oIeh Allah kepada kita.
Ketika takdir yang kita alami tidak menyenangkan atau merupakan musibah, maka hendaklah kita terima dengan sabar dan ikhlas. Kita harus yakin, bahawa di sebalik musibah itu ada hikmah yang kita belum mengetahuinya.
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan-Nya.