SEBUT HIV/AIDS memang cukup menggerunkan sesiapapun. Bagaimanapun sekadar gerun sahaja masih tidak mencukupi kerana apa yang penting setiap anggota masyarakat harus berusaha untuk bersama-sama menangani gejala ini dengan lebih serius.
Ini memandangkan semakin hari jumlah pembawa dan penghidap HIV/AIDS di negara ini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Kali pertama HIV dikesan di negara ini pada tahun 1986 hanya melibatkan tiga pesakit sahaja tetapi pada 2008 meningkat kepada 84, 630, manakala pesakit Aids pula daripada seorang pada tahun 1986 telah meningkat kepada 11,234 orang pada 2008.
Mungkin ada sebilangan penghidap HIV/AIDS bernasib baik dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan.
Namun nasib tiga wanita penghidap HIV/AIDS yang menjadi kumpulan wanita pertama yang diterima sebagai penghuni Rumah HIV Darul Ukhuwwah di Lorong 4/48C, Seksyen 4, Petaling Jaya, Selangor, sejak awal Januari lalu, agak kurang bernasib baik kerana dipinggirkan keluarga.
Tetapi sekurang-kurangnya masih ada pihak yang sudi untuk berkongsi masalah yang dihadapi dan menjalani kehidupan lebih baik dengan berpandukan ajaran agama Islam yang suci.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm