Kenapa semacam pula tajuk entry aku kali ni kan?
Tak ada apa-apalah, aku sekadar share apa yang pernah aku lalui dan pembawa-pembawa HIV yang lain alami. Hakikat sebenarnya pihak berkenaan sahaja yang lebih mengetahui.
Terdapat banyak NGOs yang kononnya bersedia dan sudi membantu pembawa HIV/AIDS. Ada yang secara senyap-senyap, low profile dan berdikari. Ada pula yang grand.
Yang grand ni, perancangan dan program yang mereka laksanakan memang kelihatan sangat gah dan mendapat liputan media. Tenaga professional yang menganggotainya bukan calang-calang kelayakan. Geran dan peruntukan tahunan yang dimiliki pun bukan sedikit. Tenaga sukarelawannya ramai. Prihatin tahap gaban!
Websites, blogs, emel dan nombor telefon mereka terpampang dan kelihatan sungguh bersedia bila-bila masa sahaja untuk dihubungi. Kira memang hebat dan tip toplah. Pembawa HIV, ahli keluarga dan sesiapa sahaja yang kelemasan dalam menghadapi masalah berkaitan boleh menghubungi mereka bila-bila masa. Sekurang-kurangnya mereka mungkin membantu memberikan 2nd opinion.
Tetapi betul ke emel tersebut akan dibalas? Betul ke semua nombor telefon tersebut akan dijawab apabila dihubungi? Wallahu a’lam! Berdasarkan pengalaman peribadi dan ramai rakan pembawa HIV yang lain, tak berjawab sampai ke sudahlah jawabnya.
Tapi nanti dulu… itu pengalaman peribadi kami. Mungkin juga kerana kami tersalah dail nombor atau tersilap sent emel. Mungkin juga tersalah prosedur dan jahil birokrasi atau kerana bukan somebody atau VVIP. What ever! Lain orang lain pengalamannya.
Mungkin NGOs tersebut ada rasional dan prosedur tertentu. Mungkin juga kerana pembawa HIV ni banyak benar songehnya. Semua nak dilayan macam baby. Asyik-asyik tanya soalan yang sama biarpun maklumat di hujung jari, lama-lama muak juga. Biarkanlah mereka dengan rasional mereka dan jalankan tanggungjawab mereka.
Kepada semua pembawa HIV, sebaik-baiknya marilah kita berdikari. Kalau perlu juga khidmat sokongan, pergilah ke hospital. Apabila kita menjalani rawatan dan perlukan itu ini, mungkin atas recommendation doktor, pihak hospital akan berikan cadangan tertentu.
Apa masalahpun tak usahlah terlalu harapkan senarai NGOs yang panjang berjela tu akan bantu anda serta merta. Kelak merana sendiri. Biasalah selagi dinamakan dunia dan makhluk.
Akhir kata, ayuh berdikari. Lawan, lawan dan lawan virus ini selagi terdaya. Perjuangan dan hidup mesti diteruskan. Aku lebih rela tergolek di tepi jalan daripada merayu bantuan daripada pihak yang tak sudi. Aku takkan sesekali akan menagih simpati. Masalah tanggung sendiri. Kita ada maruah diri, anak isteri atau suami yang tidak berdosa.
HIV bukan kenal mangsa sama ada mangsa tersebut penagih atau doktor, umara’ atau ulama’, tua atau kanak-kanak, penjenayah atau pendakwah dan sebagainya. Bila Allah kata “kun” maka berlakulah sebab musabab yang mendatangkan akibat.
AHP: Kita tengok, ada tak sesiapa wakil NGOs akan tinggalkan komen nanti.