Tuesday, June 21, 2011

PENGHIDAP HIV/AIDS CEKAL TEMPUH HIDUP


Mampu jalani kehidupan seperti manusia lain

KUALA LUMPUR: “Saya anggap semua itu takdir yang sudah ditetapkan Allah kepada saya dan perlu kuatkan semangat demi untuk melihat masa depan anak-anak terjamin,” kata Nor Lela Mokhtar, 46, ibu kepada empat cahaya mata yang menghidap HIV/Aids.

Nor Lela disahkan menghidap HIV sejak 10 tahun lalu selepas mengahwini bekas suami, seorang penagih dadah tegar, yang juga cinta pertamanya sejak berusia 16 tahun.

Selepas dua kali gagal dalam berumah tangga, dia kini bahagia dengan perkahwinan barunya. Beliau tidak pernah berputus asa walaupun menghidap penyakit maut itu, malah cekal mengharungi hari seperti biasa dan kini bergelar Eksekutif Rawatan, Penjagaan dan Sokongan di Majlis Aids Malaysia.

“HIV/Aids memberi kekuatan kepada saya kerana tanpa penyakit ini, mungkin saya hanya menjadi manusia biasa tanpa memahami nilai hidup sebenar. Doa saya kepada Allah ketika tenat dulu supaya diberikan tempoh sekurang-kurang lima tahun untuk terus hidup demi melihat anak-anak membesar dan hayat saya masih panjang hingga kini,” katanya.

Nor Lela kini bangga kerana melihat kejayaan anaknya, malah sempat menyaksikan perkahwinan anak sulung perempuannya yang berusia 25 tahun dua minggu lalu. Semua anaknya berjaya dalam pelajaran iaitu yang pertama lulusan politeknik, anak perempuan kedua berusia 23 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM), ketiga di Akademi Felda dan yang bongsu di sekolah tahfiz.

Beliau sering tampil di kaca televisyen bagi berkongsi kisah hidupnya, sekali gus membantu insan senasib bangkit mengubah diri, malah melalui pembabitannya bersama pertubuhan bukan kerajaan, dia turut berpeluang menyertai konvensyen di Nepal, Indonesia dan Thailand.
“Tanggapan ramai orang terhadap HIV/Aids perlu diubah kerana ia bukan balasan akibat dosa tetapi sama seperti penyakit lain, justeru, kesedaran mengenai kaedah pencegahan perlu disebarkan secara meluas dan tanggungjawab itu saya galas atas dasar tanggungjawab,” katanya.

Tanpa segaris kegusaran untuk berkongsi cerita, malah raut wajahnya penuh sifat keibuan tenang menceritakan detik awal disahkan positif HIV sejurus ditemui selepas menjayakan teater Life Sdn Bhd 5: I’m Positive yang dipentaskan berdasarkan kisah benar anjuran The Actors Studio dan Majlis Aids Malaysia, di sini, malam kelmarin.

“Siapa sangka selepas 10 tahun, saya masih dipanjangkan umur, malah mampu menikmati hidup seperti manusia lain,” katanya yang kini bergantung kepada pengambilan ubatan khas rejim kedua.

Sementara itu, bekas penagih dadah dan penghidap HIV/Aids mengakui kesal kerana terlalu mengikut ajakan kawan sehingga terjebak dengan masalah dadah.

“Saya menyesal kerana terbabit dengan penyalahgunaan heroin sejak di institusi pengajian tinggi di ibu kota dan pernah keluar masuk pusat serenti sebanyak tiga kali tetapi sayangnya ia tidak mampu mengubah diri saya untuk meninggalkan najis dadah.

“Kejutan berlaku apabila hasil ujian darah mengesahkan saya positif HIV dan selama enam tahun saya cuba meninggalkan tabiat itu dengan mendekatkan diri kepada Allah. Hanya pada 1997 saya berjaya meninggalkan dadah sepenuhnya bagi memberi peluang kepada diri menjalani kehidupan seperti manusia lain,” kata Alias Abdullah, 55.

Kini, selepas 19 tahun menghidap HIV/Aids, Alias bersyukur kerana masih diberikan ruang untuk meneruskan hidup, malah hasil perkahwinannya dengan pesakit HIV/Aids, Noraini Abdullah, 32, dia kini dikurniakan seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang bebas daripada jangkitan HIV.