Ketepikan dakwaan maksud sudah terhantuk baru terngadah. Bagi adiwira HIV dunia yang juga merupakan seorang penghidap HIV positif, Nicholas Snow, 49, dia begitu lantang menyuarakan ideologi tersendiri berkenaan isu seks selamat melalui perspektifnya tersendiri.
Baginya, penaklukan minda manusia pascamoden kini perlu didaki secara halus dan perlahan-lahan ke dalam jiwa. Pastinya mesej daripada irama dan lagu adalah medium paling dinamik. Itulah antara sumbangannya yang terkini selain daripada siri ceramah kesedaran yang diperjuangkannya.
Agenda aktivis HIV dari Arizona, Amerika Syarikat yang kini menetap di Bangkok, Thailand itu mahu menyedarkan orang ramai bahawa langkah membendung penyebaran wabak HIV lahir daripada diri sendiri.
Sedar akan kepentingan niat dalam diri, Snow mengambil langkah proaktif dengan mencipta lagu dan liriknya sendiri demi menyampaikan pesanan kepada penduduk Asia khasnya mengenai kepentingan hubungan seks selamat dan pemeriksaan HIV.
“Lagu berjudul The Power To Be Strong sememangnya ditujukan khas kepada semua mangsa HIV positif yang kini menjalani kehidupan masing-masing dengan cara tersendiri. Diharapkan lagu ini mampu menyuntik motivasi untuk tidak berputus harap,” ujar jejaka yang tidak lokek dengan senyuman.
Lagu unik yang dirakamkan di Thailand itu disampaikan Snow dalam versi bahasa Inggeris menggunakan vokalnya sendiri dan diterjemahkan pada 18 sarikata berbeza mengikut negara yang dikunjunginya.
“Versi ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan terkini dengan suntikan sedikit elemen tempo rancak dan koreografi tarian kreatif dan unik,” tambah bekas wartawan penyiaran itu.
Menjejaki pengalaman hidupnya yang bergelumang dengan AIDS, tanpa silu Snow menyelak satu persatu kepada penulis.
“Saya syak diri saya dijangkiti virus HIV pada Ogos tahun 2007 apabila terlanjur dengan pasangan saya tanpa menggunakan sebarang perlindungan (kondom).
“Kemudiannya, pada 3 Januari 2008 saya disahkan menghidap HIV positif dan semenjak itu saya menyedari bahawa saya juga perlu bertindak untuk mengelakkan lebih ramai individu lain menderitai dilema hidup seperti saya,” katanya yang pernah diselar keluarga dan rakannya sendiri.
Namun, dalam pada diri direnjat kenyataan pedih itu, hanya seorang individu yang tidak jemu memberikannya semangat, kasih sayang, sokongan dan nasihat. Snow merujuk kepada ibu kandungnya, Elizabeth Magnuson, 70.
“Belum puas saya mengecapi nikmat kasih sayang sebenar daripadanya, dia pergi meninggalkan saya selamanya dua tahun lalu semasa saya berada di Thailand,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu sambil menyeka air mata.
Bak hilang punca bergantung dalam pengharapan mencari sinar baru, Snow kembali bangkit meneruskan matlamat hidup membantu insan yang berisiko diancam HIV dengan mengembara ke setiap benua.