Lumrah manusia, apabila diuji sering merasakan kita sahajalah antara insan paling malang dan menderita. Apabila memberikan sumbangan, kita cenderung pula merasakan kitalah yang paling banyak berjasa. Kalau orang lain tidak menyedari kebaikan yang kita lakukan, kita mungkin kecewa.
Persoalannya, redha dan ikhlaskah kita?
Sakit dan ujian Allah boleh terjadi dengan pelbagai punca. Ada sebab musabab, punca dan akibat. Tetapi semuanya punya hikmah yang tersembunyi.
Jika tipis iman, kita menjadi terlalu menggelabah dan gelisah apabila menghadapi ujian. Segala masalah dan ujian kalau boleh mahu diselesaikan sekelip mata. Kita tak suka, kita mahu ianya pergi secepat mungkin dan tidak mengganggu kehidupan kita.
Siapa yang mahu sakit dan susah? Kalau boleh tua dan & mati pun kita tak mahu walaupun tiada siapa mampu menghindarinya.
Sebenarnya jika diamati dengan mendalam, semuanya ketentuan dan takdir Allah. Berterusan gelisah dan memberontak seolah-olah kita mempertikaikan qadha’ qadhar, kebesaran dan rahmat Allah. Bukankah mempertikaikan kebesaran dan sifat Allah seolah-olah mempertikaikan Allah?
Istighfarlah wahai sahabat. Ianya boleh merosakkan akidah!
Perlukah aku menyertakan segala dalil naqli dan aqli untuk mempertahankan pendirianku ini?
Jika kita hebat dan bijaksana pula, bandingkan dengan mereka yang lebih istimewa. Barulah kita dapat improve diri dan menyuburkan rasa rendah di sisiNya. Jangan angkuh kerana itu pakaian dan sifat kebesaran Allah.
Jadi bertenang dan bersabarlah. Usahlah resah gelisah melulu kerana masih terlalu banyak nikmatNya yang kita nikmati berbanding sedikit derita.
Jika sakit dan diuji, mari kita bandingkan ujian kita dengan mereka yang lebih menderita. Barulah terasa betapa kita masih beruntung. Marilah belajar daripada ketabahan insan lain.
Antara rakan-rakan pembawa HIV yang berhubung denganku, ramai yang memberikan aku inspirasi supaya menjadi lebih tabah. Kali ini aku kongsikan pengalaman dan ujian yang rakan kita ini hadapi.
Selain sebagai pembawa HIV, beliau juga pesakit AVM Malformation dan telah 2 kali menjalani pembedahan. Masalahnya terdapat tanda-tanda AWM Malformation itu menyerang kembali. Apabila keadaan ini berlaku, beliau terdedah kepada risiko saluran darah ke otak pecah yang boleh membawa kepada stroke atau meninggal.
Selain itu beliau juga mengidap sakit tulang belakang yang berpanjangan dan doktor sedang berusaha untuk melakukan ujian darah untuk mencari puncanya. Jika berkaitan kanser, mungkin doktor akan mencadangkan Bone Marrow Aspiration.
Beliau kelihatan sungguh tabah (walaupun dalam hati siapalah yang tahu) dan lebih risau memikirkan jika masalah yang beliau hadapi boleh mendatang keaiban kepada keluarga.
Sebagai rakan, marilah kita sama-sama mendoakan syifa’ kepada beliau, dianugerahkan ketabahan dan dijauhkan daripada segala gangguan iblis dan syaitan yang cuba merosakkan iman di saat menghadapi ujian Allah.
Di samping itu semoga kita semua pergi dalam keadaan dipelihara segala aib dan maruah serta mendapat husnul khatimah. Ameen…
Tahu apa itu AWM Malformation? Secara ringkasnya mari baca…
APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?
Oleh – Hesmel Faznee Ahmad Faisal
Kebanyakan daripada masyarakat kita secara amnya sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit Arteriovenous Malformation atau secara singkatnya, AVM.
Penyakit ini, boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukanlah “migrain” seperti yang sering diberitahu oleh doktor menerusi pemeriksaan doktor biasa dan bukannya doktor pakar.
Arteriovenous malformations merupakan gumpalan urat yang tidak normal dan ianya tumbuh di dalam otak. Ia terdiri daripada saluran darah normal yang dipanggil “nidus” dan ia melalui arteri (urat) yang disambung terus kepada urat utama dan melalui saluran urat kecil, dipanggil “cappillaries”.
Kebanyakan daripada kita, dilahirkan mempunyai urat “nidus” namun semakin usia kita meningkat, disebabkan oleh aliran darah yang semakin banyak, urat yang tipis ini tidak dapat menerima tekanan darah tersebut dan akhirnya akan mengakibatkan urat tersebut bergumpal dan menyebabkan berlakunya pendarahan otak atau “hemorrhage”. Kebanyakan daripada kes-kes ini berlaku ketika pesakit berusia di dalam lingkungan 10-55 tahun dan besar kemungkinan pendarahan ini akan berlaku.
AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, sama ada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan “hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM.
Antara tanda-tandanya ialah kesakitan dibahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan CT scan ataupun MRI (Magnetic Resonance Imaging)
Berikut ialah penjelasan secara ringkas tentang A.V.M.
Apa yang penulis ceritakan nanti ialah bagaimana pengalaman penulis sendiri apabila didapati bahawa penulis sendiri mengidap penyakit A.V.M. Ia berlaku pada tahun 1998, semasa penulis baru memulakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Universiti Sains Malaysia, di dalam jurusan Seni Halus (pengkhususan dalam Teater dan Drama).
Penulis masih ingat lagi, pada bulan Julai 1998 semasa penulis sedang sibuk menjalani persiapan untuk pementasan teater NASIB karya Dr. Hatta Azad Khan. Penulis merupakan salah seorang daripada pelakon pementasan tersebut dan penulis tiba-tiba jatuh dan muntah tanpa henti semasa sedang berlatih bagi adegan di dalam drama tersebut.
Dipendekkan cerita, penulis terus dibawa ke hospital dan menjalani rawatan imbasan MRI. Melalui imbasan tersebut keluarga penulis mendapat tahu bahawa pendarahan tersebut telah sampai ke tahap kritikal dan pembedahan segera perlu dilakukan dengan secepat mungkin.
Menurut Dr. Kazem Djavadkhani, pakar neuro yang melakukan pembedahan ke atas penulis, seseorang pesakit yang mengidap AVM perlu dibedah bagi membuang gumpalan urat yang ada di dalam permukaan otak. Melalui pembedahan sahajalah, penyakit ini dapat disembuhkan.
Diringkaskan cerita, penulis menjalani pembedahan tepat pada jam 6.00 pagi dan pembedahan tamat sejurus selepas solat Jumaat. Alhamdullilah, proses penyembuhan mengambil masa hampir 6 bulan di mana pada masa tersebut penulis benar-benar perlu berehat sepenuhnya dan terpaksa menangguhkan pengajian selama 1 sidang.
Secara ringkasnya, nasihat penulis kepada para pembaca yang sering mengalami sakit kepala atau sebarang masalah yang berkaitan dengan pening kepala yang kerap, mereka perlu menjalani rawatan imbasan CT ataupun rawatan MRI.
Perlu diingatkan; penyakit AVM ini boleh digolongkan di dalam kategori “the silent killer” kerana ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan ianya juga terdiri daripada penyakit yang kronik dan merbahaya.
- The article above is part of a contribution by me for KTM's internal magazine, Rentas. Being a patient who had the experience in AVM, I decided to share on the particular matter with the rest with hope, some of the more conscious readers will have some extra informations about this disease. Many may be in a state of denial about them having diagnosed with AVM, but the fact is AVM is a serious disease.