Wednesday, June 08, 2011

PENYAKIT KELAMIN HUBUNGAN SEKS

SEKS!

Satu perkataan tabu, janggal dan sukar dibincangkan kebanyakan rakyat negara ini. Namun, realitinya tetap sama. Kebanyakan anak muda di Malaysia kini mengambil jalan mudah ‘mencuba sebelum memahami’ sehinggakan begitu banyak kes anak luar nikah, pembuangan bayi mahupun ditangkap khalwat.

Bukan sahaja yang muda, yang sudah berusia juga ada ditangkap berkhalwat mahupun melanggan pelacur, pondan mahupun ‘spesies’ manusia songsang lain yang memberi perkhidmatan ‘istimewa’. Oleh itu, tidak begitu menghairankan penyakit sebaran hubungan seks (STD) terusa menular di kalangan penduduk negara ini.

STD (Sexually Transmitted Disease)

Penyakit yang disebarkan melalui hubungan seks (STD) melibatkan bermacam jenis kuman. Jangkitan bakteria (gonorea, siflis), fungus, virus (HIV, HPV, HBV, EBV, CMV, herpes), parasit (skabies) mahupun protozoa (Trichomoniasis).

Hakikatnya, kebanyakan kuman berkenaan lebih biasa ditemui di Barat dan dibawa masuk ke rantau ini melalui darah atau hubungan bebas dengan penduduk tempatan.

Hakikat bahawa kuman terbabit masih menular dan semakin banyak dalam komuniti masyarakat Timur menunjukkan gaya hidup bebas di Barat telah menapak di sini. HIV juga dikesan di negara Malaysia tidak lama selepas penemuannya di Eropah sekitar pertengahan 1980-an, mungkin menandakan tahap keterbukaan di Malaysia tidak begitu jauh bezanya dengan negara Barat.

Dalam konteks keterbukaan seksual, sudah tentu melibatkan hubungan seks bebas, ‘fikiran terbuka’ mahupun kerap bertukar pasangan. Amalan ‘one night stand’ di Barat sebenarnya telah lama diamalkan di Malaysia, cuma tidak begitu didedahkan dan kurang diketahui kebanyakan rakyat Malaysia.

Bergantung kepada peribadi individu dan ketebalan kepercayaan agama mereka serta faktor persekitaran, isu hubungan seks bebas mungkin sesuatu yang biasa dan dianggap remeh berbanding jenayah, isu ekonomi mahupun keselamatan negara.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa hampir setiap bentuk tingkah laku seksual kini dikesan membawa risiko STD. Di kalangan anak muda yang mencapai kemuncak hormon perkembangan seksual, aktiviti ‘ringan-ringan’ menjadi permulaan ke arah hubungan bebas, terutamanya tanpa pemantauan ibu bapa.

Virus Epstein-Barr (EBV) dan Cytomegalovirus (CMV) menjadi contoh virus terawal yang disebarkan dengan mudah melalui air liur. EBV menyebabkan penyakit Mononukleosis yang juga dikenali sebagai penyakit ciuman. Sentuhan antara kulit pula dengan mudah menyebarkan fungus (kulat), bakteria dan parasit, terutamanya di sekitar kemaluan.

Di peringkat hubungan seks, sudah pasti begitu banyak penyakit yang boleh dan dengan mudah disebarkan antara pasangan. Bagi anak muda, tindakan melulu tanpa berfikir panjang ini mungkin dihukum seumur hidup – mandul, kanser mahupun AIDS.

Balasan

Ramai yang mengaitkan kemunculan HIV/AIDS sebagai satu balasan terhadap mereka yang hidup secara rakus, semata-mata untuk keseronokan. Namun, selepas penemuan ubat yang dapat mengawal perkembangan virus HIV, dan terbaru vaksin yang dapat memberi sedikit perlindungan terhadap virus tersebut telah memberi peluang kedua kepada mereka yang ‘terkena’.

Walaupun belum ada vaksin yang berkesan sepenuhnya terhadap HIV mahupun rawatan yang dapat memulihkan semula dari jangkitannya, penemuan-penemuan baru memberi peluang mereka yang dijangkiti HIV menjalani hidup yang normal.

Selepas pandemik AIDS, satu lagi bentuk ‘balasan’ muncul di mana Virus Papilloma Manusia (HPV) yang telah lama wujud dibuktikan mampu menyebabkan kanser. Dr Harald zur Hausen dari Institut Penyelidikan Kanser Jerman di Heidelberg menerima Hadiah Nobel Fisiologi dan Perubatan 2008 atas penemuan kaitan kanser serviks (pangkal rahim) dan HPV.



Dari 130 jenis virus HPV, 12 jenis didapati meningkatkan risiko kanser serviks, kanser kedua tertinggi di negara ini. Bukan sahaja serviks, jenis virus HPV terbabit turut meningkatkan risiko kanser vulva, vagina dan anus (dubur) pada wanita serta kanser zakar dan anus bagi lelaki. HPV jenis ke-16 yang merupakan antara punca utama kanser didapati turut membawa risiko kanser oral, kepala dan leher. Kebanyakan daripada mereka yang dijangkiti juga tidak menyedarinya, terutamanya jika tidak menunjukkan sebarang gejala awal jangkitan.

Untuk itu, golongan wanita disarankan menjalani ujian pap smear secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan dalam sistem peranakan, terutamanya kanser di peringkat awal. Terbaru, pengeluaran vaksin untuk HPV jenis ke-16 dan 18 mula mendapat perhatian.

Dua jenis virus HPV ini dikatakan menjadi punca 70 peratus kanser serviks dan berisiko tinggi untuk kanser-kanser lain. Memandangkan kanser serviks kini menjadi antara kanser yang boleh dicegah, Kementerian Kesihatan Malaysia minggu ini mengumumkan penambahan vaksin HPV dalam program imunisasi untuk gadis remaja di Malaysia bermula 2010.

Kontroversi

Di awal kajian untuk mencegah dan merawat HIV/AIDS mula dijalankan, terdapat segolongan individu yang menentang kerana khuatir ‘bala’ yang diturunkan itu tidak lagi ditakuti dan ramai kembali mengamalkan gaya hidup terbuka dan bebas.

Dengan kemunculan vaksin HPV, perkara sama kini berulang. Terdapat golongan yang menentang penggunaannya atas kebimbangan serupa, terutamanya bagi umat Islam yang khuatir semakin ramai remaja dan gadis terjebak dalam hidup seks bebas.

Dari segi kos rawatan, tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia memberikan vaksin HPV dijangka dapat menjimatkan kos rawatan kanser serviks yang dua kali ganda lebih tinggi dari keseluruhan kos program vaksin HPV. Selain itu, langkah mencegah sememangnya perlu menjadi pilihan dari merawat.

Walaupun vaksin ini diharapkan dapat mengurangkan sekitar 70 peratus kes kanser serviks, golongan wanita tetap digalakkan menjalani ujian pap smear secara berkala untuk mengesan sebarang masalah dari peringkat awal.

Dalam temuramah bersama Sir David Philip Lane, antara individu yang menemui Protein 53 (p53) yang menghalang pertumbuhan sel kanser di Petaling Jaya sebelum ini, beliau sendiri membangkitkan kebimbangan mengenai pemberian vaksin HPV.

“Saya memahami mengapa pemberian vaksin HPV membimbangkan sesetengah pihak di Malaysia.

“Bukan atas faktor keberkesanannya tetapi kesannya terhadap aktiviti seksual anak remaja. Saya sendiri mempunyai anak perempuan di peringkat usia ini,” katanya.

Walaupun di Barat lebih terbuka, beliau mengakui terpaksa menilai antara baik dan buruknya keperluan memberi vaksin HPV, terutamanya kepada golongan remaja dengan ‘kepala dipenuhi hormon’.

Sebenarnya, antara melakukan aktiviti seksual atau tidak terletak di tangan individu dan amat sukar untuk menghalang pilihan yang dibuat mereka. Apa yang perlu ditekankan adalah melindungi mereka dari sebarang musibah di kemudian hari, jika mereka tetap melakukan ‘kesilapan’ di peringkat awal hidup.

Seks menjadi cara utama virus HPV dan bermacam kuman lain merebak, terutamanya di kalangan golongan muda kini. Sama ada akibat pilihan peribadi, tekanan rakan sebaya, desakan pasangan, terlanjur atau tanpa kerelaan, perlindungan dari kanser serviks menjadi hak semua gadis dan wanita.

Semestinya isu seks bebas di kalangan remaja perlu ditangani dengan segera tetapi tidak bermakna perlindungan terhadap sebarang penyakit STD perlu diabaikan. STD bukan hanya sebagai bala dan hukuman sebaliknya menjadi pengajaran kepada mereka yang menghidapinya supaya mengubah gaya hidup mereka.

Jika mereka yang ingin berubah ini dibiarkan tanpa perlindungan dan rawatan, maka sia-sialah sebarang keinsafan yang timbul.

Tambahan pula, aplikasi vaksin seperti HPV mahupun vaksin dan rawatan penyakit STD lain dapat melindungi mereka yang tidak berdosa. Mangsa rogol, isteri yang suaminya curang mahupun anak dalam kandungan ibu – bukankah mereka perlu dilindungi?

Secara peribadi, segala penentangan terhadap langkah pencegahan mahupun rawatan perlu dialihkan kepada usaha sesetengah pihak yang dilihat cuba melalikan (desensitize) masyarakat umum terhadap hubungan zina serta anak luar nikah atas dasar hak asasi dan kesamarataan hak individu melalui hiburan, fahaman songsang dan juga manipulasi undang-undang sivil ke atas hukum-hukum agama.

Tiada agama yang menghalalkan gaya hidup bebas atau songsang (gay, lesbian, pondan). Namun, dalam konteks berbilang bangsa, agama dan fahaman di negara ini, langkah pencegahan penyakit perlu ditekankan tanpa mengira latar belakang. Apa jua pilihan peribadi yang diambil, perlu dipastikan masa depan mereka tidak musnah, terutamanya golongan muda yang masih belajar membuat pilihan menggunakan akal dan bukannya mengikut kata hati.

Sumber: Arkib Utusan