Monday, June 13, 2011

BAYI HIV JANGKITI IBU


16 ibu dijangkiti HIV sebahagian kerana menyusukan anak di Kyrgyzstan

TIDAK lama dahulu Cik Dilfuza Mustafakulova dari Osh, Kyrgyzstan, adalah seorang isteri, ibu dan guru.

Tetapi, suaminya telah meninggalkannya dan beliau kehilangan pekerjaan sebagai guru setelah dijangkiti virus HIV yang membawa kepada penyakit Aids.

Bayi lelaki Cik Dilfuza juga adalah antara 72 kanak-kanak yang dijangkiti HIV di dua buah hospital di bandar Kyrgyz di negara itu.

Kyrgyzstan, sebuah negara yang lebih separuh penduduknya beragama Islam, terletak di Asia Tengah dan bersempadan dengan Kazakhstan di barat daya dan utara, dan dengan China di selatan dan barat.

Selain Cik Dilfuza, seramai 15 orang ibu lagi telah juga dijangkiti HIV, sebahagiannya semasa memberikan susu badan kepada anak mereka.

Skandal yang berlaku itu telah membawa kepada dakwaan kecuaian ke atas 14 orang pekerja perubatan di negara bekas republik Soviet yang miskin itu.

Para penyiasat mengesyaki bahawa kanak-kanak itu telah diberikan darah yang tercemar dan disuntik dengan jarum yang telah digunakan.

Meskipun jangkitan HIV menerusi susu badan jarang berlaku, ia tidak mustahil, terutama jika seorang bayi mempunyai luka dan ibunya juga mempunyai luka yang terbuka di puting, menurut pakar-pakar Aids.

Cik Dilfuza, yang bayinya berusia tujuh bulan ketika itu, memberitahu bahawa putingnya memang merekah dan berdarah.

Kes beliau dan ibu-ibu sepertinya menunjukkan bagaimana jangkitan HIV boleh berlaku melalui beberapa cara - termasuk daripada bayi kepada ibu seperti kes Cik Dilfuza.

Cik Dilfuza, yang telah ditinggalkan suami dan disingkirkan oleh mentuanya, kini bekerja bertungkus-lumus untuk membiayai tiga orang anaknya dengan bantuan yang sedikit daripada pemerintah.

Menurut data, kira-kira 1,600 orang telah dijangkiti HIV di Kyrgyzstan yang berpenduduk sekitar lima juta itu. Namun, pakar-pakar Aids menjangkakan jumlah sebenarnya hampir 6,000 dan kebanyakan kes berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

Kanak-kanak yang dijangkiti itu ketika ini diberikan rawatan antivirus HIV secara percuma, tetapi ibu-ibu mereka tidak diberikan rawatan itu.

Cik Fatima Koshokova, pengarah pusat Rainbow, sebuah agensi bukan pemerintah yang membantu ibu-ibu yang dijangkiti HIV berkata: 'Wanita-wanita ini menghadapi masalah kewangan yang besar. Mereka harus makan makanan yang berkhasiat, tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan. Jadi mereka tidak dapat menyediakan makanan yang sempurna untuk diri mereka dan anak-anak mereka.'

Masalah Cik Dilfuza bermula pada Jun tahun lalu apabila anaknya menghidap demam panas. Beliau membawanya ke Hospital Nookat dan diberikan suntikan cecair ke tubuhnya, tetapi anaknya tidak sembuh-sembuh. Cik Dilfuza kemudian membawanya ke hospital di Osh, bandar kedua terbesar di Kyrgyzstan.

Selepas lebih sebulan di hospital itu, anaknya masih tidak pulih dan beliau sendiri mula berasa lemah. Mereka kemudian pulang ke kampungnya di Zhani-Nookat, di barat daya Osh. Pada bulan Oktober mereka berdua disahkan positif HIV.

Suami Cik Dilfuza dan dua lagi anak lelaki mereka berusia enam tahun dan 12 tahun, bagaimanapun, diuji negatif HIV.

Belum diketahui lagi dari manakah punca jangkitan itu. Daripada 72 kanak-kanak yang dijangkiti, sebahagiannya hanya dirawat di Nookat dan selebihnya di Osh. Justeru, kedua-dua hospital di dua bandar itu disyaki menjadi puncanya.

'Di mana lagi saya dan anak saya boleh dijangkiti kerana saya tidak salahguna narkotik dan tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral?' kata Cik Dilfuza.

'Ia mungkin disebabkan oleh doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab,' tambahnya yang kelihatan letih dan kurus dengan mata layu.

Turut mengalami nasib serupa ialah rakan sekampungnya, Cik Zarifa Shamshiyeva. Beliau dan anaknya juga diuji positif HIV pada November lalu.

Suaminya yang tidak dijangkiti, juga telah meninggalkannya meskipun sesekali beliau mengirimkan wang untuk makanannya.

Kedua-dua wanita itu tidak layak menerima bantuan kebajikan kerana masih sah bersuami.