Disebabkan ianya mempunyai nilai-nilai positif sebagai pengajaran kepada semua, sekali lagi aku kongsikan pengalaman hidup seorang rakan pembawa HIV.
Beliau tidak meminta belas simpati dan sebagainya tetapi sebagai panduan agar mereka yang lain tidak mengulangi kesilapan yang sama. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Sebesar manapun masalah, itu bukanlah alasan untuk kita melakukan kesilapan dan dosa tetapi sebagai manusia biasa ada ketikanya kita kecundang mengikut emosi. Usahlah hukum seseorang atas kesilapan lampau yang kini tidak lagi dapat diubah.
Perjalanan hidup kita berbeza. Ujian-Nya dalam berbagai cara. Jangan mempermudahkan perjalanan hidup orang lain selagi kita belum menghadapi ujian sehebat mereka. Orang yang bijak belajar daripada kesilapan sendiri tetapi orang yang lebih bijaksana belajar daripada kesilapan orang lain. Mari baca...
Saya seorang yang kurang berjaya dalam hidup. Tidak pernah dikasihi mahupun mengasihi. Sejak usia semuda 2 tahun, saya tidak mendapat belaian kasih seorang ibu lantaran beliau kembali menemui yang Maha Pencipta.
Dalam usia 2 tahun, saya hidup menumpang kasih pada yang tak sudi. Mula-mula dengan seorang atuk saudara, ibu saudara dan akhir sekali ibu tiri. Kehadiran saya adik beradik seramai 6 orang tidak pernah diundang.
Bapa saya mengawini ibu tiri yang hanya menerima bapa sebagai suami manakala anak-anak menjadi beban kehidupannya. Bapa saya bagaikan tidak wujud dan bermulalah kisah tragis kehidupan yang saya lalui. RUMAHKU NERAKAKU.
Sumpah seranah dan wajah benci setiap hari menyambut kami. Kehidupan saya tidak ubah umpama cerita bawang putih bawang merah. Dalam usia semuda 6 tahun saya telah belajar mengurus diri serta dilayan sebagai anak kelas ke 3 berbanding adik beradik yang lain (seibu sebapa atau sebapa). Disebabkan dugaan yang amat dahsyat, saya pernah terfikir untuk bunuh diri dalam usia 9 tahun.
Dipendekkan cerita, kini saya berjaya dalam pelajaran, bekerja serta menjawat jawatan yang stabil. Namun kehidupan lampau membuatkan saya membenci wanita.
Saya tidak punya keyakinan dan rendah diri. Saya terjerumus dalam noda. Untuk menutup kelemahan, saya terjerumus dalam kancah menyekutukan Allah, amalan homosekual, ganja dan arak.
Saya membalas dendam kerana benci diperlakukan secara tidak adil oleh dunia. Saya keseorangan. Saya dahagakan kasih sayang. Terkapai-kapai dalam kesusahan tanpa sebarang simpati.
Lantaran hidup yang penuh noda dan dosa, jiwa saya memberontak. Saya kemurungan dan pernah beberapa kali memikirkan untuk menamatkan riwayat sebagai jalan penyelesaian. Hanya kerana sekelumit iman, saya tangguhkan hasrat tersebut.
Di kala berbuat maksiat, hati saya tidak lupa berdoa supaya Tuhan berikan saya penyakit supaya saya kembali tunduk kepadanya. Saya rela mengidap kanser asalkan saya dapat sekelumit hidayah.
Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pemurah. Doa hamba-Nya dimakbulkan. Maka saya disahkann hiv+ di samping bebanan penyakit-penyakit lain. Di kala orang lain gundah gulana sedih dan pilu, saya menyambutnya dengan penuh kesyukuran.
Di pagi yang hening, pertama kalinya saya sujud menyembah yang Maha Esa. Mengitung dosa-dosa setinggi gunung dan seluas lautan. Memohon rahmat dan rahimnya. Jiwa saya tenang meskipun saya menghitung hari untuk pergi mengadap-Nya bila sampai ketikanya.
Saya redha dengan perjalanan hidup saya sendirian. Ada masanya terlantar di hospital keseorangan tiada siapa peduli. Saya titipkan doa supaya di kala saya pergi, tiada siapa mengiringi seperti mananya perjalanan hidup saya yang sentiasa sendiri.
Semoga Kau ya Allah menerima permohonan keampunan dariku atas sifat Rahman Dan Rahim-Mu.
AHP: Sebenarnya sahabat tidak pernah keseorangan. Allah sentiasa temani kita dengan insan-insan mulia yang sedia membantu, menyokong dan saling mendoakan. Sahabat diuji dengan ujian yang Allah tahu ianya mampu saudara hadapi.
- Surah Ali-Imran ayat 139