Hampir setiap hari aku dihubungi oleh rakan-rakan pembawa HIV yang baru didiagnos. Mereka kebingungan dan sentiasa bertanyakan soalan yang sama. Bayangkanlah situasi sebenar jangkitan virus ini sekarang.
Bila dah selalu sangat jawab soalan yang sama, akhirnya aku penat juga. Aku sendiripun sama macam mereka. Perlu berjuang dan menghadapi macam-macam tekanan serta urusan harian.
Kepada yang baru pertama kali menghubungiku, memang aku alu-alukan. Kalau tak, takkan aku letak alamat emel aku kat wall blog tu. Aku faham kalau mereka masih menggelabah dengan macam-macam perkara. Sehabis daya setiap emel aku akan balas seberapa segera.
Masalahnya aku sangat penat kalau yang asyik-asyik tanya soalan yang sama sampai 5,6 kali. Aku jawab begini, dia tanya begitu. Aku terangkan begitu dia pula yang kata begini. Banyak pula cadangan dan permintaannya. Bila tanya, rupa-rupa baru baca 2,3 entry. Itu pun skimming dan skipping je. Jawabnya tak kuasalah aku nak layan selepas tu.
Bacalah betul-betul dulu manja! Kalau manja sibuk, aku pun sibuk juga... Bahkan berkemungkinan besar lagi sibuk tapi aku tak cerita je. Sekadar bercakap dengan buat kerja berbeza.
Jangan tersilap membayangkan bahawa setiap masa aku duduk depan PC menunggu emel. Sebenarnya kalau baca blog ini betul-betul, dah banyak kali aku kongsikan maklumat yang hampir sama.
Tapi tak mengapalah, jika masih bertanya tentang perkara yang sama selepas ini, aku copy & pastekan sahaja entry ini di emel mereka.
Mari baca balasan emel yang biasa aku hantar.
Assalamualaikum,
Setelah membaca emel sahabat, saya akan kongsikan beberapa pandangan tetapi ianya pandangan peribadi. Saya pula bukan doctor, kaunselor atau pakar tentang HIV.
Selain itu, hak utk membuat keputusan dan berubah adalah di tangan sahabat. Orang lain hanya mampu memberi pandangan atau cadangan. Maksud saya, individu itu sendiri yg bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Saya tak boleh ubah apa-apa pun kecuali berkongsi pengalaman.
Sebenarnya adalah normal jika pembawa HIV yang baru didiagnos mempunyai pelbagai perasaan seperti penafian, ketakutan, marah, bersalah, kesunyian dan sebagainya. Sila klik sini.
Langkah pertama:
Terima hakikat bahawa kita pembawa HIV. Jangan menafikan kerana ianya seolah-olah menipu diri sendiri dan menyebabkan iblis syaitan mudah merosakkan akal fikiran. Mental dan fizikal.
Langkah kedua,
Jaga hubungan dengan Allah. Bagaimana menjaga hubungan dengan Allah, sahabat fikirlah sendiri. Solat, doa, taubat, sabar, muhasabah diri, munajat, berbaik sangka dengan Allah, baca Qur’an dan sebagainya. Insya-Allah inilah kekuatan sebenar kita sebagai umat Islam.
Langkah ketiga:
Cari info sebanyak mungkin tentang HIV dan saring maklumat dengan bijak. Fahami betul-betul dan ingat bahawa HIV ni bukanlah penyakit. Di blog ini ada bermacam-macam maklumat asas tentang HIV. Antara sebab saya wujudkan blog ini ialah untuk memudahkan pembawa HIV mencari maklumat dan mengajak masyarakat memahaminya secara tepat.
Sebab itu entries awal di blog ini banyak tentang maklumat HIV, kemudian saya berkongsi tentang stigma, judgmental dan diskriminasi. Kemudian saya berkongsi tips-tips tertentu tentang rawatan dan sebagainya. Manfaatkanlah sepenuhnya. Bukan kena bayarpun...
Hubungi pakar atau pihak-pihak yang terlatih jika perlukan bantuan. Sahabat boleh dapatkan bantuan asalkan bijak mencari sumber. Banyak pihak yang boleh dihubungi dan bersabarlah sedikit jika terdapat beberapa kerenah birokrasi.
Langkah keempat:
Patuhi prosedur rawatan dan ikut saranan doctor. Jika ada masalah, bincang dengan mereka. Maksud saya, dapatkan rawatan secara professional. Kemudian jika mahu mendapatkan rawatan complementary pun terpulanglah asalkan jangan tinggalkan rawatan di hospital. Pemantauan dan ujian darah secara berkala sangat perlu untuk mengetahui jumlah CD4 dan Viral Load.
Langkah kelima:
Ambil langkah pro-aktif utk berkongsi tekanan dgn rakan senasib tetapi jangan berkongsi dengan orang sembarangan walaupun sekarang mereka adalah teman paling rapat. Esok lusa siapalah yang tahu.
Perkongsian dengan rakan senasib sangat banyak membantu. Bersikap terbuka dengan pro dan kontra. Mustahil kita betul dalam semua aspek!
Tetapi jagalah adab sopan sebab bahasa mencerminkan ketinggian akal budi seseorang. Guna perkataan kasar boleh menyebabkan orang menilai kita kurang perbendaharaan kata tetapi kalau lemah sangat semangat, lagilah bahaya. Kadang-kadang memang ada kawan-kawan yang sengaja provok tetapi niatnya supaya kita bangun ‘tidur’...
Jangan sensitive dan manja-manja sangat. Mesti berdikari dan sokong menyokong. Kalau perlukan alamat emel beberapa orang rakan yang sedia berkongsi masalah dan membantu, bagitahu saya. Tapi pandai-pandailah hormati privacy mereka.
Langkah keenam:
Positive thinking! HIV positif, mestilah positif kan? Kalau kita betul-betul faham tentang HIV, tentang tujuan dan erti hidup dan tentang kebesaran Allah, tak ada apa yang nak dirisaukan dengan HIV ni. Apa nak takut, kita bukanlah hina kerana ada HIV. Itu penilaian manusia, suka hati merekalah.
Sebagai pembawa HIV kita perlu berfikir secara positif tentang kelebihan kita berbanding orang lain. Antaranya yg paling bernilai ialah kita dididik Allah secara langsung, lebih menghargai kehidupan dan lebih peka tentang kesihatan diri.
Kita seolah-olah sentiasa buat full medical check up untuk mengetahui taraf kesihatan kita. Seolah-olah ada doctor peribadi. Orang lain kena bayar, mahal pulak tu. Biasanya mereka ingat mereka sihat, tahu-tahu kena strok!
Apa bezanya kita dengan pesakit kronik lain seperti hypertension dan diabetic? Bahkan banyak lagi penyakit kronik yang lebih berat ujiannya. Memang tak sembuh tetapi boleh dirawat dan mampu meneruskan kehidupan sama seperti orang lain.
Soal umur, ending of life dan sebagainya tu tak payahlah fikir sangat. Orang sihat pun belum tahu ending dia orang macam mana. Ramai yang dipuja dipuji, tak ada HIV tetapi mati dalam dosa. Apa guna, kan? Mati akibat ditembak semasa merompak lagi malu, tak gitu? Pagi ni bergelak ketawa dengan kita petang nanti tahu-tahu dah meninggal. Hidup ni kan lawannya mati. Realistic...
Ok, setakat itu dulu. Cool je sahabat, relax je... Kadang-kadang ketakutan tersebut adalah akibat kegagalan kita memahami HIV. Kegagalan menangani stigma, judgmental dan diskriminasi dalam diri sendiri.
Ingat ya, pembawa HIV perlu kuat JERI
Jasmani – exercise & amalan gaya hidup yang sihat, rehat yang cukup, pemakanan yang berkhasiat dan seimbang.
Emosi – semangat & positive thinking. Bijak menangani stress.
Rohani – jaga solat, hubungan dengan Allah dan hubungan sesama insan. Banyakkan memberi daripada menerima. Tak boleh asyik nak dibantu.
Intelektual – mesti bijak cari maklumat dan bijak menyaring.