Wednesday, June 29, 2011

CATATAN DAN PESANAN ANAK SULUNG KEPADA PEMBAWA HIV


Assalammualaikum w.b.t

Saya seorang anak lelaki berumur 19 tahun dan sedang menuntut di salah sebuah IPTA.
Saya merupakan anak sulung dan ingin berkongsi pengalaman melihat abah berdepan dengan virus HIV selama setengah tahun. Mungkin ada pengajarannya kepada anda.
       
Pada suatu malam selepas kami melakukan rutin harian kami dan perkara wajib di sisi umat Islam iaitu solat magrib berjemaah, abah mengajak kami sekeluarga berkumpul dan menyatakan ingin menyatakan sesuatu dan berharap saya dan adik saya bertenang. Kami berlima beranak iaitu abah, mak, umi, saya dan adik saya.

Abah memberitahu tentang status sebenar kesihatannya iaitu abah telah didiagnos sebagai seorang pembawa HIV. Sebagai anak sulung saya berasa amat terkejut dan perkara yang bermain di kepala saya adalah virus ini tidak mungkin terjadi kepada abah.

Memang saya tidak dapat menerima kenyataan ketika itu. Kemudian abah telah menerangkan bagaimana perkara ini boleh berlaku dan barulah saya faham serta dapat menerimanya.

Pada permulaannya saya berasa sangat takut dan sedih. Saya berasa takut kerana seperti masyarakat umum ketahui, kononnya HIV ini tiada penawarnya. Lama-kelamaan perasaan takut saya terhadap penyakit ini telah berkurang kerana melihat abah yang sentiasa positif tehadap ujian yang diberi oleh Allah.

Selain itu,abah tidak takut untuk makan ubat walaupun hakikatnya sebelum ini abah tidak gemar makan ubat. Sikap abah yang tabah dapat membuangkan perasaan takut saya. Sebagai ahli keluarga bagi saya kita seharusnya memberi semangat dan mendoakan mereka.

Hati siapa tidak sedih apabila mengetahui bapanya sendiri telah menjadi pembawa HIV namun semangat abah telah menaikkan semangat saya untuk memberi sokongan kepada keluarga. Banyak yang kami pelajari sejak abah menjadi pembawa HIV.

Kadang-kadang saya tidak merasa pun yang abah saya adalah pembawa HIV yang ramai orang anggap berbahaya. Saya sikit pun tidak merasa takut ataupun geli untuk menyentuh abah.

Perkara yang ingin saya sampaikan ialah janganlah  masyarakat mendiskriminasikan para pembawa HIV. Apabila mengetahui jiran atau pun rakan anda dijangkiti HIV, usah takut untuk melawat atau memberikan sokongan.

Siapa kita untuk menilai dan menghukum mereka. Lebih menyedihkan lagi apabila hingga sampai tidak mahu bersalaman langsung dan memandang hina terhadap keluarga mereka. HIV adalah sejenis jangkitan virus, jadi tidak hairanlah sesiapa pun berisiko dijangkiti tanpa mengira status.

Saya bangga kerana memiliki seorang bapa yang sangat kental semangatnya menjaga kami sekeluarga. Walaupun abah telah menghadapi dugaan yang besar namun tanggungjawabnya sebagai bapa tidak pernah beliau abaikan.

Di kesempatan ini juga saya berharap agar pembaca-pembaca dapat mendoakan kebahagiaan keluarga kami dan mendoakan agar Allah menyembuhkan abah. Juga terima kasih kepada Dr. Iskandar. Sesungguhnya Allah memberi penyakit dan Allah yang menyembuhkannya.

"ABANG SAYANGKAN ABAH."