Seperti biasa, perlu aku ingatkan bahawa perkongsian ini berdasarkan pengalaman peribadi. Lain orang, mungkin lain kesan sampingannya atau langsung tidak ada apa-apa kesan sampingan.
Masih ingat perkongsianku tentang Dr. Iskandar yang memaklumkan supaya aku menukarkan kombinasi HAART daripada Combivir bersama Efavirenz kepada Combivir bersama Kaletra? Kalau lupa, sila klik sini.
Ok, Kaletra ni berwarna kekuningan dan agak besar. Perlu diambil 2 biji setiap 12 jam. Antara kesan sampingan yang biasa terjadi seperti dalam gambar di atas.
Setelah lebih 2 minggu menelannya, alhamdulillah boleh dikatakan Kaletra tidak mendatangkan kesan sampingan kepadaku berbanding kombinasi lain sebelum ini,. Kalau adapun barangkali terlalu minima dan aku harap ianya cuma di peringkat awal pengambilan.
Seperti aku pernah bagitahu, seteruk manapun kesan sampingannya aku takkan berputus asa dan mengalah. Selain Allah, ini sahajalah peluang yang aku ada untuk survive melawan virus.
Aku lebih risaukan kesan sampingan yang aku ‘tak nampak’ seperti bacaan Viral Load, CD4, fungsi hati, buah pinggang dan lain-lain berbanding pening, mual muntah, ruam, ulcer dan sebagainya.
Sejak aku mengambil Kaletra, aku perasan air kencingku agak keruh kekuningan jika lama tidak kencing. Contohnya sewaktu bangun tidur. (Maaf, lebih sesuai aku gunakan bahasa yang mudah difahami). Tetapi kerana aku sentiasa minum air kosong dengan jumlah yang banyak, ianya tidak menjadi masalah dan akan kembali normal selepas itu.
Ada mengalami sedikit kembung perut, kadang kala kerap kentut dan rasa mahu berak tetapi tidaklah sampai tahap cirit birit. Nak berak pun boleh dikawal dan semakin hari keadaannya semakin pulih.
Mual tersebut kadangkala menyebabkan aku berasa kekenyangan umpama makanan seperti sentiasa berada di paras leher. Untuk menghilangkannya, aku makan buah-buahan.
(Kebetulan sekarang ni di kampung-kampung berhampiran adalah musim buah kuini. Ramai pula yang bersedekah kepada kami. Stok tak pernah putus. Dah depan mata, banyak pula tu dan aku pun minat, jadi aku belasah sampai 7,8 biji setiap hari. Kalau Dr. Iskandar tahu, mesti dia tegur sebab aku tak kawal gula betul-betul. Tiap kali nak makan buah kuini, aku nampak muka Dr. Iskandar tetapi bila kupas saja buah tu, terus lupa, hehehe…)
Seperkara yang bagus tentang rasa mual ni ialah dapat bantu aku mengawal diet seperti kurangkan makan nasi dan lain-lain makanan berat.
Selain daripada itu, aku rasa biasa-biasa saja. Yang penting aku berdoa ianya mampu membantu sistem tubuhku meningkatkan CD4 dan menurunku Viral Load serta tiada kesan sampingan terhadap kadar kolestrol atau diabetes aku.
Alhamdulillah dalam 2,3 hari ini juga tubuhku rasa lebih cergas berbanding sebelum ini. Semoga ianya berterusan dan sebarang perkembangan yang boleh dijadikan panduan akanku kongsi, insya-Allah… Tak sabar rasanya nak focus pada banyak perkara lain di kesempatan yang Allah pinjamkan ini.
Ingat ya, kawan-kawan pembawa HIV, hidup mesti tenang dan positif. Kunci utama, jaga hubungan dengan Allah. Jangan risau apa-apa. Selamat berhujung minggu.
p/s- Kuini ke kuinin? Buat sambal atau campur dalam gulai masak lemak pun sedap ni. hehehe…