Aku berbesar hati menerima satu lagi emel daripada seorang rakan pembawa HIV yang sudi berkongsi pengalaman berduri menempuh kehidupan. Aku kagum dengan sikap positif yang beliau tunjukkan dan semoga inayah Allah ini kekal ke akhir hayat.
Yang membuat aku agak terkilan ialah aku langsung tidak perasan dengan kewujudan blog beliau yang turut sama berjuang menentang virus dengan penuh kecekalan.
Sebagai sahabat dan sesama muslim bukanlah tugasku untuk menghukum dan menilai hina mulia seseorang di sisi Allah. Kewajibanku hanyalah membantu memberikan sokongan kepada rakan-rakan senasib yang lain meneruskan kehidupan dengan cara yang positif dan diredhai Allah.
Ujian beliau adalah ujian untuk kita juga dan kasihan kepada anak isteri beliau yang tidak berdosa. Sama-samalah kita doakan beliau sentiasa tabah mengharungi segala ujian ini.
Mari kita baca pengalaman beliau dan jika berkesempatan sudi-sudikanlah melawat blog beliau di alamat yang disertakan.
Salamun Alaik AHP,
Pertama kali saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada AHP kerana dengan blog AHP rasanya banyak yang telah mendapat manfaat daripada kewujudannya. Alhamdulillah, itu juga satu amal dan jariah AHP kepada mereka yang senasib.
Biarlah saya perkenalkan diri saya sebagai MENCARI KASIH sahaja, saya terpanggil untuk berkongsi cerita saya supaya mereka di luar sana turut mengambil iktibar dan dijadikan sempadan dalam menjalani hidup di dunia yg fana ini.
Matlamat hidup bukan di dunia ini sahaja, malah perjalanan ini bakal menjadi lebih jauh lagi iaitu untuk menuju ke jalan mengenal Rabb (Tuhan).
Kisah ini saya copy paste dari blog saya iaitu Hidayah Setelah HIV (AHP: sila klik) yang saya buka ketika saya baru didiagnos iaitu pada hujung Oktober 2010. Kiranya sebulan lebih awal daripada AHP tetapi semangat dan ketekunan AHP saya lihat lebih jitu dalam mengenal, menerima dan menyesuaikan diri setelah disahkan HIV positif.
Baiklah biar saya buka bicara dgn kisah saya.....
Hari ini hampir 7 bulan saya disahkan HIV positif. Pertama kali saya mendapat tahu saya menghidap HIV, saya rasa segala isi langit dan dunia jatuh menghempap kepala saya. Gelap hitam kabur kelam, degup jantung bagai terhenti, nafas tak mampu dihela, lutut longlai dan sememangnya itu adalah hadiah paling mahal yang pernah saya terima sepanjang 36 tahun bernafas di bumi yang fana ini kerana hari lahir saya cuma dua tiga hari bakal menjelang ketika itu.
Air mata berkaca tanpa dapat ditahan-tahan dan saya bagai anak kecil yang kehilangan ibu. Saya menangis di hadapan doktor sambil di fikiran bagaikan terbuka segala helaian gambar, satu persatu terbayangkan wajah anak-anak yang masih kecil dan isteri yang sentiasa sabar dengan kerenah saya selama ini.
Perasaan takut, bersalah, berdosa, sesal dan sedih semuanya bercampur baur. Saya hilang punca. Di saat itu terlintas ada baiknya nyawa ini terus dicabut daripada menghadapi penyakit ini...
Sambil berfikir Ya Allah inilah balasan-Mu buat diri ini, yang sentiasa tewas kepada bisikan syaitan dan nafsu. Saya tewas, tewas dan terus tewas...
Baiklah biar saya ceritakan siapa diri saya dan bagaimana saya dijangkiti penyakit ini.
Saya anak ke-4 daripada 8 adik-beradik dan sejak dari kecil saya sentiasa tahu saya berbeza daripada adik beradik yang lain. Saya lelaki tetapi mempunyai naluri yang kuat terhadap kaum sejenis. Dalam erti kata lain saya gay.
Mungkin ini ujian yang Allah berikan untuk saya atau mungkin saya mengalami kekeliruan identiti sejak dari kecil lagi.
Seawal umur saya 4-5 tahun lagi rasanya kerana saya belum bersekolah lagi ketika itu, di mana saya rapat dengan makcik saya dan dia gemar memakaikan saya dengan pakaian kakak-kakak saya dan mendandan saya dengan alat mekapnya. Ya, saya masih ingat lagi detik itu. Kemudian saya gemar memakai baju kakak saya dan berdandan...
Alhamdulillah tabiat itu tidak lama apabila saya menjejakkan kaki ke sekolah tetapi perasaan terhadap lelaki tetap ada. Dipendekkan cerita saya membesar dengan dua personaliti berbeza. Satu sebagai lelaki normal di kaca mata org luar tetapi di dalam saya menjerit-jerit meronta ingin melawan fitrah yg ada.
Saya berkahwin dengan satu-satunya wanita yang berjaya menambat hati saya dan saya percaya ini semua ketentuan tuhan. Namun sepanjang perkahwinan kami, kami lebih banyak bertengkar berbanding berkomunikasi...
Walaupun telah dikurniakan empat anak, saya tahu saya tidak berlaku adil kepadanya . Setiap kali kami bertengkar, saya menjadikan itu satu modal untuk saya berlaku curang di luar bersama lelaki. Saya berasa puas membalas dendam terhadapnya dengan membuat perkara yg terlarang itu. Berulang-ulang kali.... Saya semakin hanyut dengan nafsu saya, ditambah lagi dengan pergaulan rakan sealiran (gay).
Walaupun saya menjalankan tanggungjawab dalam soal makan pakai anak-anak dan isteri di rumah, saya tetap melayani nafsu syaitan ini tanpa mengenal hari. Saya jadi ketagih seks sesama lelaki.
Ya Allah ya tuhanku terlalu lemah dan dengan senang saya melayan bisikan nafsu. Tiap kali saya melakukan maksiat, saya akan menyesal dan rasa berdosa kepada tuhan dan keluarga tetapi bila keinginan itu timbul saya tetap melakukannya...
Setelah disahkan HIV, saya gagahkan diri mencari sokongan daripada pihak Kesihatan dan PT Foundation...
Kenapa saya kata saya mendapat hidayat selepas HIV?
Kerana buat pertama kalinya dalam hidup saya, baru saya rasa betapa dunia ini penuh kenikmatan, rahmat dan kebesaran tuhan.
Saya mula kenal kembali tikar sejadah. Saya mencari guru agama yang boleh membimbing kembali rohani saya yang telah lama kelam dan hilang.
Buat pertama kalinya saya solat berjemaah sekeluarga di rumah bersama anak-anak yang kecil itu dan isteri. Kalau dulu saya rasa malu untuk menjadi imam di rumah kerana saya tidak banyak menghafal ayat-ayat lazim tetapi kini itu bukan masalah pokok lagi.
Sedikit demi sedikit saya dapat menerima hakikat yang diri ini adalah HIV positif dan saya perlu hidup dan terus hidup untuk membesarkan anak-anak dan menjadi tempat buat mereka berlindung, bermanja dan dibelai...
Saya perlu hidup untuk mereka, untuk melihat anak-anak membesar, bekerja, mendirikan rumahtangga dan melihat cucu saya nanti. Saya perlu terus hidup untuk melindungi dan menyayangi isteri saya yang sentiasa setia berkorban selama ini.
Alhamdulillah, mungkin ini caranya untuk Allah menyedarkan saya supaya kembali ke jalan yang diredhai sebelum mata tertutup sebagai hamba-Nya yang mukmin.
Saya banyak membaca kitab-kitab agama untuk menguatkan semangat dan sebagai panduan selain daripada berguru dengan seorang ustaz mengenai agama.
Saya lebih banyak mensyukuri nikmat Allah, sentiasa memandang baik setiap kejadian yang telah ditentukan Allah, baik berupa nikmat mahupun musibah.
Allah ada berfirman yang maksudnya lebih kurangnya begini, “Jika seseorang hamba-Nya datang kepada-Nya dengan dosa setinggi langit dan seisi perut dunia sekalipun namun jika dia bertaubat maka sesungguhnya akan Allah ampunkan dosa hamba-Nya itu selagi hamba itu tidak melakukan dosa syirik.”
Saya melihat musibah yang datang ini telah mendekatkan diri saya kepada Azza Wajalla dan mereka di sekeliling saya.
Hidup di dunia ini hanya pinjaman. Yang kekal hanyalah amal yang akan kita bawa di alam seterusnya. Berjuta nikmat yang Allah kurniakan selama ini kepada saya diambil-Nya satu persatu tetapi saya masih ada beribu-ribu lagi nikmat seperti anggota tubuh badan, keluarga, udara untuk bernafas dan sebagainya.
Segala yang berlaku di dalam hidup kita telah tercatat di Luh Mahfuz iaitu ketika kita di alam roh lagi seperti siapa ibu bapa kita, adik beradik kita, siapa isteri/suami kita, anak-anak kita, nikmat dan dugaan yang akan kita tempuhi dan sebagainya.
Musibah dan nikmat ini merupakan dugaan anak Adam, di mana Allah menguji sejauh mana keimanan hamba-Nya ketika hidup di dunia ini. Maka walau bagaimana kita mengelak sekalipun, kita tetap akan menempuh perkara yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Terserah kepada hamba-hamba-Nya untuk memilih jalan penyelesaian masing-masing sama ada putih ataupun hitam. Jika putih, berbahagialah di akhirat sana. Jika hitam maka azablah yang menunggu.
Ketentuan ini merupakan Qada’ dan Qadar di dalam Rukum Iman maka sekiranya menidakkan ketentuan tuhan bererti menidakkan Allah itu sendiri. Nauzubillah... semoga Allah menjauhi musibah ini daripada isteri dan anak-anak saya.
Setelah membaca blog AHP malam tadi, saya telah menjadi kuat untuk berterus-terang dengan isteri saya mengenai status kesihatan saya. Selama ini sering kali kelu tanpa kata-kata untuk berterus-terang mengenai taraf kesihatan saya. Mungkin kerana saya terlalu takut dengan respon yang bakal saya terima daripada beliau, takut beliau akan meninggalkan saya dan membawa anak-anak jauh daripada saya.
Tetapi alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, Dia mengurniakan seorang isteri yang tabah, kuat dan solehah kerana isteri dengan tenang dapat menerima berita ini dengan baik sekali dan memaafkan segala kesilapan saya yang lalu walaupun kami basah dalam tangisan pada malam tadi.
Sebaliknya isteri pula yang memberi kata-kata semangat supaya terus kuat dan bersabar atas ujian Allah terhadap kami. Masya-Allah betapa besarnya kuasa-Mu yang mengurniakan hamba-Mu ini seorang teman hidup sejati.
Esok kami akan ke Hospital Sungai Buloh untuk berjumpa Kaunselor supaya isteri saya dapat diberikan lebih pemahaman dan supaya beliau lebih bersedia dalam menghadapi hari-hari yang mendatang dengan lebih terbuka dan redha sebelum menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadapnya pula, insya-Allah...
Di harap anda di luar sana dapat memberikan nasihat dan pandangan kepada saya dan mereka yang senasib seperti saya.
Jangan lah memandang serong kepada seseorang itu walau dalam apa keadaan sekali pun. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Wallahualam.
Sekian, wassalam
Mencari Kasih
AHP: MENCARI KASIH, sahabat tidak keseorangan di sini. Insya-Allah saya dan rakan-rakan yang lain sentiasa ada untuk berkongsi rasa dan saling sokong menyokong. Kepada rakan HIV positif yang lain yang ingin berkongsi pengalaman, sila emelkannya ke alamat emel yang yang tertera di dinding blog.