Aku menerima emel daripada seorang rakan pembawa HIV yang aku namakan ‘Hana’.
Secara ringkasnya Hana suami isteri telah didiagnos sebagai HIV positif hampir 2 tahun yang lalu. Selama hampir 2 tahun itu mereka tidak pernah berkongsi masalah dengan orang lain.
Tekanan semakin berganda apabila suami beliau enggan meneruskan rawatan HAART akibat kesan sampingan di peringkat awal rawatan dan atas sebab-sebab tertentu.
Selain itu suami beliau nampaknya masih enggan menerima hakikat hidup sebagai pembawa HIV dan mula menunjukkan tanda-tanda major depression.
Memandangkan kisah beliau antara dilemma dalaman pembawa HIV yang patut dijadikan renungan dan panduan bersama, aku kongsikan di sini balasan emelku kepada beliau.
“Waalaikumussalam wrh. wbk.
Terima kasih kerana Hana sudi menghubungi saya. Saya hargai kepercayaan Hana terhadap saya. Saya memahami situasi tersebut. Sebagai pembawa HIV memang kita perlu berkongsi masalah dengan rakan senasib. Saling belajar dan sokong menyokong.
Elok diingatkan, apa pun pandangan saya, ianya bukan pandangan pakar. Ianya sekadar pandangan peribadi. Seperkara lagi ialah saya cuma mampu memberikan pandangan. Hak menentukan keputusan dan membuat perubahan terletak di tangan Hana suami isteri.
Pertama sekali sebagai tanda kasih sayang, wajib saya mengingatkan diri saya dan mengajak Hana suami isteri bertaubat dan merapatkan diri kepada Allah. Bila saya katakan begitu bukan bermakna saya anggap Hana suami isteri orang berdosa. Sebagai hamba-Nya kita memang perlu sentiasa berasa hina di sisi Allah S.W.T.
Syukurlah kita dipilih Allah melalui ujian ini. Kita anggaplah ianya sebagai ‘special treatment’ dan didikan Allah untuk menghapuskan dosa-dosa kita serta untuk meningkatkan darjat diri kita di sisi-Nya.
Cuba bayangkan ada orang lain yang berterusan hidup dalam maksiat sehingga ke akhir hayat tanpa sebarang peringatan Allah. Alangkah malangnya, kan? Hana tahu bahawa Allah takkan uji kita dengan perkara yang tak mampu kita tempuh. Allah Maha Adil dan Maha mengetahui.
Kedua, kita mulakan daripada basic tentang HIV/AIDS. Hana suami isteri perlu betul-betul clear tentang HIV dan AIDS itu sendiri. Ianya bukan penyakit tetapi virus yang melemahkan sistem pertahanan badan dan sekumpulan penyakit yang berisiko kita tanggung jika tanpa rawatan awal. HIV tidak kenal mangsanya sama ada orang berdosa ataupun tidak.
Ianya memang penyakit kronik, tidak boleh sembuh tetapi boleh dirawat sama seperti diabetes dan darah tinggi. Bahkan dalam beberapa keadaan merawat HIV lebih mudah berbanding merawat diabetes.
Ianya memang penyakit kronik, tidak boleh sembuh tetapi boleh dirawat sama seperti diabetes dan darah tinggi. Bahkan dalam beberapa keadaan merawat HIV lebih mudah berbanding merawat diabetes.
Bezanya HIV boleh berjangkit dengan cara yang kita sedia maklum. Jadi sepatutnya masyarakat tidak perlu risau bergaul dengan pembawa HIV jika mereka faham tentang HIV. Banyak lagi penyakit yang jauh lebih berbahaya dan mudah berjangkit seperti H1N1, Influenza, Adenovirus, hepatitis dan sebagainya. Bezanya penyakit tersebut tidak dikaitkan dengan judgmental, stigma dan diskriminasi.
Ketiga tentang stigma, judgmental dan diskriminasi yang saya sebutkan tadi. Ianya berada dalam minda pembawa HIV dan minda masyarakat. Minda masyarakat kita susah dan mungkin tak dapat nak ubah tetapi siapa yang boleh halang kita ubah mind setting sendiri? Maksud saya jangan sesekali hukum, buruk sangka dan berfikiran negatif terhadap diri sendiri.
Masyarakat yang berfikiran negatif usahlah fikirkan sangat. Doakan semoga Allah ampunkan mereka. Kasihan mereka kerana buat dosa kering dan mungkin mereka perlukan rawatan kaunseling atau psychiatry.
Sentiasa menoleh ke belakang ketika musuh berkumpul di hadapan kita tidak ada gunanya. Sejarah tak boleh diubah tetapi masa depan boleh dirancang. Untuk apa menyalahkan dan menghukum diri sehingga menghilangkan focus untuk memperbaiki diri, menikmati kehidupan secara berkualiti dan merapatkan diri ke jalan Allah? Depressi akan merosakkan JERI. Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual seseorang.
Akui hakikat kita memang ada HIV dan perlukan rawatan. Semakin kita menafikan dan menganggap seolah-olah tiada masalah yang berlaku bermakna semakin besar penafian dan penipuan terhadap diri sendiri. Selama mana kita mampu menipu diri sendiri sedangkan semakin hari semakin rasa tertekan dan bermasalah. Nafikanlah bagaimanapun, bila terlewat akhirnya di hantar ke hospital juga... makin kuat kita menafikan, makin kuat tekanan dan makin mudah iblis syaitan merosakkan iman dan akal kita.
Sekurang-kurang Hana suami isteri sekarang berpeluang menikmati usia yang panjang, hidup bahagia, saling menyokong dan berkualiti. Kenapa pilih jalan berliku sedangkan Hana suami isteri ada peluang memilih jalan lurus dan luas terbentang di hadapan? Tak ada bayar tol pun...
Keempat, dapatkan rawatan. Apalah sangat kesan sampingan HAART berbanding dengan peluang yang mungkin kita boleh dapat. Ianya teruji dan terbukti secara klinikal. Jangan cepat mengalah. Selebihnya ketentuan Allah.
Bacaan CD4 dan VL Hana suami isteri masih bagus berbanding saya dan sesetengah rakan pembawa HIV yang lain. Saya ni dahlah berumur, bacaan CD4 dan VL pula tak berapa bagus. Ada pula diabetes. (Bermakna imunisasi badan saya memang tak sekuat orang hidup tanpa diabetes)- sila rujuk entries sebelum ini dalam kategori ‘AKU’ untuk mengetahuinya. Peluang Hana suami isteri hidup seperti orang lain sangat cerah.
Sehingga sekarangpun saya masih mengalami kesan sampingan HAART dan di peringkat kajian resistant tentang kombinasi HAART. Memanglah para pembaca blog AHP nampak saya aktif berblog tetapi kalau nak cerita tentang masalah dan kalau saya berfikir secara negatif, Tuhan dan keluarga saya sahaja yang tahu tekanan saya. Insya-Allah saya akan lawan selagi terdaya dan berpeluang. Jangan berputus asa daripada rahmat Allah, berikhtiar dan berdoa.
Kesan sampingan HAART berbeza-beza bagi setiap individu. Ada yang memerlukan sedikit masa untuk serasi dengan badan dan ada yang tidak mengalami kesan sampingan langsung. Sebagai suami, (maaf ya) saya jujur mengatakan bahawa suami Hana sepatutnya lebih kuat semangat dan lebih positif berbanding Hana.
Selain rawatan klinikal, Hana dan suami akan diberikan rawatan kaunseling. Rawatan kaunseling sangat banyak membantu saya dan saya percaya jika suami Hana bersikap positif, beliau memahami betapa perlunya rawatan tersebut. Jika tidak hadir untuk rawatan bagaimana doctor dapat membantu?
Untuk mengatasinya Hana berbincanglah elok-elok dengan suami. Jika beliau tetap enggan, Hana ada hak untuk tetap memilih mendapatkan rawatan. Jangan sesekali bergantung dan percaya 100% kepada supplement food atau ubat-ubatan tradisional yang menjanjikan macam-macam pemulihan selagi tidak dijustifikasikan dengan pemantauan ujian darah secara berkala.
Akhir sekali, tolong ambil langkah pencegahan kehamilan selagi Hana suami isteri tidak bersedia dari aspek JERI. Berdasarkan pengalaman yang Hana kongsikan dengan saya, situasinya menunjukkan begitu terutama suami Hana. Sekalipun bersedia, kena berbincang dengan doctor terlebih dahulu tentang situasi tersebut.
Hana dan suami ada beberapa kelebihan. Antaranya sama-sama pembawa HIV (bermakna ada seseorang yang sama isu dan situasi untuk berkongsi masalah), masih muda, CD4 dan VL masih stabil dan logicnya masih panjang perjalanannya. Ramai kawan-kawan kita yang solo dan hidup sendirian sampai ke sudah sebab bimbang untuk berkahwin.
Usah fikir terlalu jauh ke hadapan dengan membuat pelbagai andaian mendahului hak Allah. Berbaik sangka dengan keadilan-Nya. Gunakan kelebihan tersebut dan bergembiralah dengan kehidupan Hana suami isteri. Mari kita lihat segalanya secara positif.
Ok, sampai sini dulu, maaf jika ada yang terkasar bahasa. Teruskan berhubung jika ianya dapat meringankan sedikit bebanan yang Hana tanggung. Silaturrahim tinggi nilainya di sisi Allah. Selagi diizinkan dan berkemampuan, saya sentiasa ada sebagai rakan.”
AHP: Sekali lagi aku kongsikan, jika diuji Allah dengan kesusahan, bandingkan dengan ketabahan dan nasib mereka yang lebih teruji dan menderita. Bila mahu meningkatkan ilmu dan iman, kita kena bayangkan dengan mereka yang jauh lebih berilmu dan beriman supaya kita dapatkan upgrade diri. Betul ke tak ni, As? Kepada sesiapa lagi yang sudi, silalah kongsikan pandangan menyokong Hana.