Thursday, June 02, 2011

KEPENTINGAN HUBUNGAN ANTARA DOKTOR (KAUNSELOR) DENGAN PEMBAWA HIV

My Best Doctor: Dr. Iskandar Firzada bin Osman


Sebaik sahaja didiagnos sebagai HIV positif, terdapat dua jenis rawatan yang pembawa HIV perlukan. Pertama, rawatan perubatan biasa seperti ujian darah untuk memantau  bacaan CD4 atau Viral Load, anti-biotic, HAART dan lain-lain keperluan. Kedua ialah rawatan kaunseling.

Rawatan jenis pertama sebenarnya tidaklah terlalu menyukarkan pembawa HIV kecuali di peringkat awal rawatan. Selepas doctor dapat mengenalpasti dengan tepat keperluan dan kesesuaian rawatan, segala-galanya menjadi semakin  mudah.

Selepas itu, temujanji dan pemantauan hanya perlu dilakukan dalam tempoh yang difikirkan sesuai sahaja.  Paling asas dalam jenis rawatan pertama ini kepatuhan pembawa HIV terhadap temujanji dan kehendak rawatan yang doctor cadangkan. Jika menghadapi sedikit masalah seperti mengalami kesan sampingan di peringkat awal rawatan HAART, jangan cepat berputus asa dan menyerah kalah.

Insya-Allah selepas itu pembawa HIV mampu meneruskan kehidupan seperti biasa bahkan taraf kesihatan mereka mungkin lebih baik berbanding sebahagian daripada anggota masyarakat yang lain. 

Rawatan kedua pula tidak melibatkan ubat-ubatan secara klinikal tetapi saling melengkapi dengan jenis rawatan yang pertama. Ianya lebih kepada keperluan sokongan psikologi.

Setiap pesakit chronic terutamanya pembawa HIV akan melalui beberapa fasa tekanan emosi. (sila klik sini Segala tekanan tersebut jika tidak ditangani dengan baik akan memberi kesan terhadap kesihatan mental dan fizikal. Bahkan ada segelintir yang terfikir untuk membunuh diri akibat stigma, diskriminasi dan judgemental tersebut. (bukan disebabkan HIV)

Alangkah malang jika kerana depressi, pembawa HIV berputus asa untuk berjuang dan bersikap negative menjalani kehidupan.  Ingatlah setiap pembawa HIV ada naluri, maruah keluarga dan peribadi. Mereka mungkin pernah tersilap langkah tetapi apakah peranan kita untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan secara berkualiti?

Cemuhan dan diskriminasi hakikatnya turut dialami oleh isteri/suami dan anak-anak mereka. Seperti yang selalu aku perkatakan, semua kedunguan tersebut tidak perlu.



Rawatan kaunseling sebenarnya berkesan untuk memulihkan semangat dan mengembalikan keyakinan diri pembawa HIV. Hubungan antara doctor/kaunselor dengan pembawa HIV bukan sekadar hubungan antara patient-doctor tetapi lebih jauh daripada itu.

Berdasarkan pengalaman peribadi, doctor yang merawat aku merupakan kaunselorku. Beliau adalah Doctor Pakar Keluarga dan aku fikir lebih kurang sama sahaja sistemnya di seluruh negara.

Adalah sangat penting bahawa doctor yang sama merawat patient yang sama setiap kali temujanji kerana kepercayaan tidak mungkin terjalin dalam waktu yang singkat. Patient perlukan masa untuk memberikan kepercayaan kepada doctor yang merawat mereka.

Jika tidak, hubungan antara patient-doctor menjadi sekadar memenuhi tuntutan keperluan rawatan. Tidak mustahil akhirnya patient hilang minat untuk berkongsi masalah atau gagal meneruskan rawatan.  

Melalui pengalaman peribadi, doctor aku bukan sekadar doctor. Beliaulah pembantu, teman rapat, kaunselor, motivator dan individu yang paling dipercayai. Dalam beberapa perkara, beliau lebih mengenali dan banyak membantu aku berbanding adik beradik sendiri.

Mungkin Allah limpahkan inayah-Nya dengan mengetemukan aku sekeluarga dengan doctor yang sebaik dan sehebat Dr. Iskandar.

Pertolongan Allah melaluinya tidak terhitung dan sesungguhnya hanya Allah sahajalah yang mampu membalas segala kebaikan beliau. Setiap kali doa dalam sujud akhir solatku, doa sentiasa kupohon agar rahmat dan kebahagiaan untuk beliau sekeluarga.

Bahkan melalui perkongsian pengalaman aku bersama beberapa orang rakan lain yang turut mendapatkan rawatan dengan beliau, masing-masing mengakui bahawa keprihatinan beliau sangat banyak membantu. Tidak mustahil jika tanpa doctor sehebat beliau, ramai yang enggan meneruskan rawatan.

Point aku ialah, begitulah pentingnya peranan antara doctor dan pembawa HIV. Rawatan terbaik dan doctor terhebat telah tersedia jadi kenapa takut mendapatkan rawatan?

Kepada semua rakan pembawa HIV, sebelum kita minta orang lain memahami kita, supaya mereka menghentikan stigma, diskriminasi dan judgmental, apa kata kita sendiri terlebih dahulu menghentikan sikap negative tersebut terhadap diri sendiri.

Prinsip aku mudah sahaja, stigma, diskriminasi dan jugmental bukan masalah aku. Itu masalah sebahagian anggota masyarakat yang perlukan rawatan kaunseling dan psychiatry.  Aku tak mahu bebankan kepalaku dengan masalah sebegitu. 

Lebih baik aku tumpukan sepenuh masa untuk memperbaiki hubunganku dengan Allah, berusaha menjaga kesihatan diri, menyumbang sesuatu kepada keluarga dan menikmati sisa-sisa hidup secara yang diredhai.


AHP: Bagaimana cara aku pergi, berapa lama hayatku, siapalah yang tahu bahagian masing-masing. Itu hak Allah, jangan kita memandai cuba ambil alih. Sesiapa saja boleh pergi dengan pelbagai cara. Jangan berputus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah, kawan. Khusnul khatimah matlamat kita.