Thursday, June 09, 2011

BERJUANG MENYEBAR MESEJ POSITIF HIV/AIDS


ISU berkaitan HIV/AIDS bukan perkara baru bagi masyarakat dunia. Ia masih berhadapan dengan pertembungan isu antara penyebab dan rawatan; stigma dan penjelasan; kesedaran dan ketidakpedulian; serta ketidakpastian dan harapan.
Begitupun, ada kenyataan yang perlu ditelan semua. Senario yang berkisar tentang isu tersebut boleh diumpamakan biduk tiris menanti karam.
Menilai perkembangan global dan statistik mengenai HIV/AIDS pada hari ini, bagai tiada daya lagi untuk menampung kembali lohong yang terbentuk akibat virus tersebut. Hakikatnya, situasi menjadi bertambah buruk dari hari ke hari.
Bukan niat menambah cuka ke hirisan luka. Namun, masyarakat kita hari ini sudah alpa dengan peningkatan angka penghidap HIV saban waktu.
Historiografi berkaitan pandemik itu tidak perlu lagi dihuraikan apa, bagaimana dan kesannya. Majoriti masyarakat negara ini secara puratanya sudah didedahkan dengan maklumat mengenainya, sementara ada segolongan lagi yang perlu buka mata lantaran kosong pemahaman terhadap HIV/AIDS.
Caranya adalah dengan cuba mengalihkan sejenak minda kita terhadap rasa empati kepada insan yang hidup dengan HIV/AIDS.


Sumber: sini