Monday, May 23, 2011

HIV- KESAN SAMPINGAN RAWATAN HAART (5)


Aku nak share sikit lagi berkaitan pengalaman aku mengalami kesan sampingan HAART seperti yang aku ceritakan dalam entry sebelum ini. (klik sini)

Ringkasnya, aku mengalami ruam teruk di seluruh badan sejak pagi sabtu. Setelah menelefon Dr. Iskandar, beliau  menyarankan supaya aku memberhentikan sementara pengambilan HAART.

Pada pagi ahad (22 Mei 2011) Dr. Iskandar bertanyakan kepadaku beberapa maklumat seperti adakah aku demam, adakah ruam  tersebut melecet dan melepuh atau sekadar merah dan di bahagian mana tubuhku ruam tersebut timbul.

Beliau juga meminta aku menghantar gambar bahagian tersebut sama ada melalui MMS dan e-mail.

Aku memaklumkan bahawa aku tidak demam cuma ruam tersebut membuatkan rasa miang dan sedikit gatal. Selain itu ianya tidak melecet atau melepuh dan bahagian yang paling ketara adalah sekitar dada, belakang dan paha.

Aku juga memaklumkan bahawa aku risau untuk memberhentikan pengambilan HAART walaupun sementara kerana bacaan CD4 ku yang rendah.

Dr. Iskandar memaklumkan pemberhentian sementara tersebut tidak perlu dirisaukan kerana aku masih baru memulakan rawatan HAART dan masih diperingkat menyesuaikan diri.

Setelah mendapatkan beberapa maklumat tersebut akhirnya Dr. Iskandar yakin bahawa aku mengalami Urticaria iaitu alahan kepada ubat Efavienz (STOCRIN) tetapi tidak mempunyai masalah dengan DUOVIR/COMBIVIR.

Adakah Urtacaria berbeza dengan drug eruptions? Itu aku tak pasti walaupun nampak macam sama. Kedua-duanya alahan pada ubat.



Beliau menasihatkan aku memberhentikan sementara pengambilan Efavirenz tetapi terus mengambil DUOVIR/COMBIVIR seperti biasa. Selepas seminggu dan jika ruam telah hilang, aku harus cuba mengambilnya sekali lagi.

Menurut beliau, masalah biasanya ruam tidak akan timbul lagi kalau dicuba kali kedua. Insya-Allah.

Walau bagaimanapun jika masih tidak sesuai, Efarvirenz akan digantikan dengan KALETRA (Lopinavir/Ritonavir). Peningkan? Pelik-pelik istilah  farmasi ni. Sebab tak cerdiklah aku tak layak jadi doctor. Hehe…

Alhamdulillah nampaknya ruam tersebut menyusut dengan pantas sebaik sahaja aku berhenti mengambil Efavirenz. Kalau tidak, badanku dah bertukar warna seperti udang kena bakar.

Nasihat dan pandangan Dr. Iskandar (walaupun sekadar melalui telefon) sangat-sangat membantu psikologiku menempuh situasi baru dan sukar ini.

Kesungguhan beliau bertanya, mengambil berat dan menghantar mesej (SMS) untuk membantu mengembalikan semangat diri yang pudar seketika. Sejujurnya air mataku mengalir kerana terharu dengan kebaikan hati beliau.

Semoga kehidupan beliau sekeluarga akan sentiasa dalam rahmat dan redha Ilahi. Aku tak mampu membalasnya.

Aku berharap sikap prihatin dan professional beliau ini menjadi inspirasi kepada kakitangan KKM yang lain. Insan yang berhati mulia seperti beliau sentiasa berada ditempat yang sangat istimewa di hati pesakit bahkan jika pembaca rajin membaca komen-komen dalam entries lama mengenai beliau, penghargaan terhadap beliau tidak pernah putus daripada mereka yang pernah dibantu.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada kawan-kawan yang lain yang bersungguh-sungguh menyokong dan mendoakan aku. Alhamdulillah semangatku pulih kembali. Dalam kehidupan ini kita sentiasa up and down. Ketika di atas hulurkan tangan membantu kerana mungkin suatu ketika kita pula perlukan bantuan.

AHP: Takut ke ambil HAART? Sesungguhnya aku takkan mengalah dan akan berjuang selagi diberi-Nya kesempatan.

_______________________________________________________________________________

SEDIKIT INFO TENTANG URTICARIA:

Apa itu Urticaria (Gatal-gatal)?
Gatal-gatal adalah bengkakan merah jambu yang gatal (wheals) dan berlaku secara setempat pada mana-mana bahagian kulit. Ianya akan kelihatan untuk beberapa minit atau berjam-jam lamanya sebelum pulih sepenuhnya dalam tempoh masa 48 jam tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Gatal-gatal merupakan sesuatu yang biasa dan berlaku kepada 15% hingga 20% daripada penduduk.

Pada kebanyakan orang, gatal-gatal akan pulih dalam tempoh beberapa hari sehingga beberapa minggu lamanya.

Adakalanya seseorang mungkin mengalami gatal-gatal untuk bertahun-tahun lamanya.
Bila urticaria terjadi di sekeliling tisu-tisu longgar pada mata atau bibir, tisu tersebut mungkin bengkak secara keterlaluan. Walaupun nampak menakutkan, pembengkakan tersebut yang dipanggil angioedema akan lenyap dalam masa kurang daripada 24 jam.

Bagaimana gatal-gatal dihasilkan?

Gatal-gatal dihasilkan akibat kebocoran cecair melalui saluran darah kecil pada kulit.Perubahan tersebut berlaku akibat pembebasan satu bahan kimia asli yang digelar histamin daripada sel mast yang terdapat di sepanjang saluran darah pada kulit.


Apakah sebab-sebab berlakunya urticaria?

Sebab-sebab biasa boleh berlakunya urticaria adalah jangkitan, makanan, ubat-ubatan dan agen-agen fizikal (contohnya kepanasan, berpeluh, senaman, pancaran cahaya, tekanan, kesejukan). Adakalanya sebabnya tidak dapat dikenalpasti.

Makanan biasa yang menyebabkan urticaria termasuk kacang, telur, buah-buahan sitrus yang segar, tomato dan kerang-kerangan. Bahan tambahan makanan dan pengawet seperti tartrazin (pewarna kuning) juga mungkin mengakibatkannya.

Banyak jangkitan boleh menyebabkan urticaria. Jangkitan viral pernafasan bahagian atas merupakan sebab yang utama, terutamanya bagi kanak-kanak. Beberapa jenis jangkitan kulat dan bakteria juga boleh menyebabkan gatal-gatal.

Ubat-ubatan yang biasanya menghasilkan urticaria termasuklah antibiotik (contohnya penisilin, sulfonamida) perubatan untuk kesakitan (contohnya aspirin, kodeina) sedatif dan diuretik. Adalah mustahak untuk memahami bahawa sebarang ubat boleh menyebabkan gatal-gatal.

Oleh itu ubat-ubatan yang boleh dibeli terus dari kaunter/kedai seperti vitamin, antasid, titisan mata dan telinga, laksatif adalah merupakan sesuatu yang berupaya mengakibatkan urtikaria. Adalah penting doktor anda diberitahu mengenai semua jenis ubat-ubatan yang anda ambil.

Sumber: sini